Selasa, 17 Julai 2012

BAHASA MELAYU MANDUL ILMU?

oleh: Ja’afar Haji Hamdan

Apabila persoalan “Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris” (PPSMI) terus diperjuangkan oleh sekelompok manusia yang semakin rakus dengan ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu, maka tercetuslah gelora pejuang bahasa untuk bertindak dengan mendukung perlembagaan dan ujaran statistik kepincangan yang dilakukan oleh PPSMI terhadap anak bangsa di Malaysia ini.

Tidak terkecuali, usaha menghalusi kerenah kelompok pelampau terhadap kefanatikan terhadap bahasa Inggeris dengan agenda mereka yang tersembunyi, turut diteliti. Maka terdengarlah desas desus bahawa isu bahasa Melayu perlu dibangkitkan semula dengan aura yang mampu menimbulkan bahang kemarahan, perlu dinyatakan dengan  suara jerit raung oleh tokoh-tokoh bahasa dengan nada gentak gempita untuk menuntut agar bahasa Melayu dimartabatkan dan berlakunya anjakan usaha yang wajar serta harus juga dimonopoli pemikir bangsa.

Pelbagai resolusi dengan penganjuran seminar, kolokium, simposium, pertemuan dan sebagainya diatur untuk mewajarkan jerit raung itu berkumandang dengan perundangan atau akta yang sedia ada. Tuding menuding dengan kasus bukti sama ada secara rujukan perundangan atau penilaian situasi, dilakukan tanpa mencari punca dan permasalahan utamanya.

            Persoalannya, apakah sememangnya bahasa Melayu tidak dimartabatkan di negara ini? Rasanya kita sudah ada jawapannya. Mungkin penilaian dan pemahaman akan berbeza kerana didasari dengan situasi dan pengalaman yang dilalui. Sedangkan perkara pokoknya tetap sama. Paling jelas, ada sekumpulan manusia yang terdiri daripada warganegara Malaysia yang turut tertakluk dengan perlembagaan sebagai warganegara Malaysia, melakukan penderhakaan terhadap martabat negaranya sendiri melalui perlanggaran akta yang jelas termaktub dalam undang-undang negara.

            Cukup jelas sekali bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang tercatat dalam perlembagaan 152. Justeru, kenapa hal ini terjadi? Apakah isu utama yang menjadi misi mereka untuk menentang dasar yang sedia ada?  Sebagai satu bentuk permasalahan negara, isu utamanya harus difahami dan diselesaikan dengan bijaksana. Bukan dengan persaingan yang penuh retorik melalui resolusi semata-mata.

            Kita percaya, kerajaan sedia ada tetap mempertahankan perlembagaan yang telah menunjangi kenegaraan Malaysia ini. Kita juga percaya masih ramai rakyat yang sedar dan tahu nilai ke pertanggungjawaban terhadap perlembagaan negara sebagai undang-undang yang cukup dominan memacukan negara bangsa Malaysia. Maka, tindakan beberapa kumpulan yang hanya dianggotai oleh segelintir manusia yang lupa sejarah, lupa jati diri dan lupa asal usul seharusnya ditangani dengan pembuktian, perancangan dan tindakan yang betul serta benar.

            Usah digambarkan suara segelintir kumpulan ini mampu merubah dasar yang sedia ada. Mereka hanya mampu bermain api untuk memberi sedikit cahaya bagi menerangi kefahaman mereka tentang perjalanan yang kononnya untuk meningkatkan keilmuan dalam diri anak bangsa demi negara bangsa. Mereka tidak menyedari bahawa api yang menjadi cahaya yang sepatutnya sebagai penerang suasana sebenarnya telah membakar mereka sedikit demi sedikit dengan kedaifan pemahaman mereka terhadap nilai negara bangsa.

Antara isu yang menjadi landasan penentangan mereka terhadap bahasa Melayu adalah pertikaian tentang kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pertikaian mereka didasari oleh perkembangan semasa yang amat menekankan teknologi maklumat yang juga didominasi oleh bahasa Inggeris. Bahkan perkembangan segala ilmu dipancarkan melalui bahasa Inggeris. Maka, mereka mempunyai kesimpulan atau membuat satu penetapan bahawa kalau mahu menguasai perkembangan ilmu, harus didukung oleh bahasa Inggeris.

Sekali dengar pandangan sebegini ada benarnya. Hampir kesemua hal atau perkara yang melibatkan ilmu baharu sememangnya dilontarkan melalui bahasa Inggeris. Paling jelas, bidang teknologi, sains dan matematik yang dianggap ilmu pembangunan dilabelkan sebagai bidang yang hanya mampu diluahkan dalam bahasa Inggeris.

Justeru, dasar pembudayaan ilmu yang diimpikan oleh kerajaan seakan termakan dengan kenyataan ini. Maka, peristiwa membenarkan PPSMI terjadi pada tahun 2003 telah membuka ruang kekeliruan semua pihak, iaitu, antara memahami kehendak berbahasa sebagai alat komunikasi dengan menyedari kehendak mendapatkan nilai ilmu sebagai pembangunan insan.

Namun, peristiwa luka itu terubat dengan pemansuhan PPSMI berperingkat-peringkat oleh kerajaan bermula tahun 2012. Pemansuhan tersebut agak menjanggalkan kerana sewaktu dilaksanakan PPSMI 2003 dahulu,  tidak timbul soal penelitian, pengujian atau bersifat percubaan. Namun apabila dikembalikan hak bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sains dan matematik, kerajaan masih meninjau-ninjau kemungkinan-kemungkinan yang tidak relevan dengan hasrat dan perjuangan negara bangsa.

Hasil kajian 2007 menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata. Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

Perubahan ketara dari segi penurunan pencapaian ini membuktikan bahawa usaha untuk mengapai keperkasaan ilmu melalui bahasa Inggeris jelas gagal dan menyusahkan para pelajar. Namun, sekelompok atau sekumpulan warganegara Malaysia yang berpusat di ibu kota, masih juga meneruskan usaha untuk menjadikan  PPSMI sebagai dasar memberi nilai ilmu kepada pelajar dalam bidang sains dan matematik, atas alasan akademik keilmuan. Maka, untuk menangani serta berdepan dengan kelompok yang keliru seperti ini, pihak berwajib harus bersedia dengan gerakan yang mampu memberi jawapan kepada kekeliruan mereka tersebut.

Pertama, perlu ada gerakan penerbitan yang menyeluruh untuk memperbanyakkan buku-buku dalam bidang sains dan matematik dalam bahasa Melayu bagi semua peringkat tadika hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Gerakan penerbitan ini, haruslah dilakukan dengan penuh terancang agar kesinambungan ilmu dari satu aras ke aras yang seterusnya mempunyai jalinan keilmuan yang saling berkaitan dan memenuhi keperluan ilmu itu sendiri.

Penerbitan buku sebegini, tidak semestinya memusatkan tuntutan ilmu sains atau matematik yang objektif, tetapi dipermudahkan dengan keperluan harian atau semasa. Pemahaman tentang ilmu sains dan matematik harus diberi perhatian bukan bentuk hafalan formula tetapi memahami tentang penggunaan formula. Maka, ciri-ciri buku sebegini meletakkan asas serta memenuhi keperluan masyarakat dan bukan mendesak masyarakat, khususnya pelajar.

Kedua, perlu ada gerakan pemikiran yang tersusun dengan melibatkan pakar bidang, khususnya bidang matematik dan sains agar mereka menulis dalam bahasa Melayu tentang perkembangan ilmu dalam bidang tersebut sama ada secara penyelidikan, kajian mahupun terjemahan. Gerakan ini juga harus menelusuri semua aspek yang mampu dijelmakan dalam kehidupan sebagai terma atau norma keilmuan. Bukan hanya melihat sains dan matematik sebagai bidang yang sempit tetapi sebagai ilmu kebenaran dan betul dalam menentukan takrif kehidupan.

Pembinaan pemikiran yang mendasari keobjektifan tanpa menekuni kekreatifan, penilaian emosi dan pemupukan spiritual akan menyebabkan berlakunya kekeliruan, di samping tiadanya keseimbangan dalam keinsanan, khususnya golongan pelajar. Perkaitan yang wajar melalui gabung jalin elemen-elemen yang mengimbangi cara berfikir dan bertindak tidak hanya terletak dalam bidang sains dan matematik tetapi juga bidang-bidang lain yang saling kait mengait.

Ketiga, perlu ada gerakan kegiatan yang merangkumi elemen-elemen sains dan matematik dalam bahasa Melayu yang melibatkan pelajar sama ada peringkat sekolah rendah, menengah ataupun pengajian tinggi. Gerakan ini harus meneliti pencernaan pemikiran yang mampu mencetuskan idea-idea baharu selaras dengan dasar kerajaan yang menekankan soal-soal kreativiti dan inovasi. Galakan bermula daripada peringkat asas atau awal ini dalam soal pengutaraan idea memerlukan usaha berterusan dengan perencanaan yang jitu dan mantap.

Sebagai contoh, kegiatan seperti pembentangan kertas kerja dalam bahasa Melayu melalui penemuan idea baharu atau penyelesaian kepada permasalahan oleh pelajar dengan menggunakan “powerpoint”,  akan merangsang keupayaan mengendalikan bahan teknologi untuk dimanfaatkan sebagai nilai perkembangan ilmu, sama ada dari segi idea atau pemikiran serta kreativiti mengolah bahan persembahan secara visual atau sebagainya.

Bahasa Melayu sebagai bahasa keluarga, bahasa yang biasa digunakan dan bahasa harian yang mendominasi pembangunan kekeluargaan sudah tentu memberi lebih manfaat sebagai bahasa yang mampu menjana pemikiran kerana dengan mudah kita memahami dan mengerti tentang sesuatu perkara. Ini bermakna pemahaman dan pengertian itu menzahirkan ilmu.

Namun, sekiranya bahasa yang digunakan untuk memahami dan mengerti tidak kita kuasai, maka akan timbul pula kekeliruan dan memungkinkan kesulitan untuk menunaskan nilai ilmu dalam pemahaman dan pengertian kita. Bandingan situasi sebegini jelas memberi gambaran bahawa ilmu diperoleh melalui bahasa yang mampu kita fahami, bukan bahasa yang hadir bersama-sama ilmu itu semata-mata.

Menurut pakar keilmuan, peranan penting bahasa keluarga dalam pembelajaran akademik, misalnya matematik dan sains, banyak dikaji. Hasil kajian ini menunjukkan kemahiran kognitif (berfikir) akademik berkembang terutama melalui bahasa pertama. Apabila pelajar cuba belajar bahasa kedua dan terus belajar misalnya matematik dan sains melalui bahasa kedua, pelajar akan menggunakan kemahiran kognitif akademik yang lemah, iaitu pelajar sukar mempelajarinya.

Pendidikan dalam bahasa keluarga amat kritikal untuk kanak-kanak mencapai tahap kematangan mental iaitu kemahiran memahami dan membina konsep secara membina misalnya proses pembelajaran dalam subjek matematik dan sains. Adalah satu 'anggapan palsu' (fallacy) bahawa kecekapan dalam bahasa Inggeris itu menjadi prasyarat penting untuk membolehkan pelajar meneruskan pelajaran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Yang sebenarnya adalah sebaliknya.

Pengetahuan yang kukuh dalam matematik dan sains pada peringkat rendah dan menengah menjadi prasyarat pengajian tinggi dalam pelbagai bidang sains dan teknologi, bukan bahasa Inggeris. Ertinya jika pelajar lemah dalam pengetahuan matematik dan sains, mereka sukar melanjutkan pelajaran peringkat tinggi dalam bidang sains dan teknologi, bukan kelemahan dalam bahasa Inggeris. Pengetahuan yang kukuh dalam sains dan matematik (sebelum terlaksana PPSMI) membolehkan pelajar kita menyambung pelajaran tinggi dengan mudah di United Kingdom, Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Korea, Jerman, Rusia, selain dalam bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia.

Dengan mudah mereka belajar bahasa kedua untuk meneruskan pengajian mereka sebab pengetahuan matematik dan sains mereka kukuh. Perkembangan latihan modal insan dalam sains, teknologi dan profesional akan terjejas teruk terutama di kalangan bangsa Melayu/Bumiputera sekiranya perkara asas dalam penjanaan keilmuan tidak difahami. Menurut Timbalan Pengarah ATMA, Prof Dr Teo Kok Seong kesal dengan keadaan polemik kedudukan istimewa bahasa Melayu di Malaysia, di mana terdapat pergolakan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang amat jelas dan tidak adil di negara tersebut.

Tegas beliau, ada kelompok yang memperjuangkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, mempunyai kelebihan apabila pandangan mereka itu diberi ruang dalam akhbar tempatan yang tertentu hingga ada pula suara yang berpendapat bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa penyatuan untuk negara ini.          

Sikap pengagungan bahasa Inggeris turut merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu. Wujudnya 'trend' penggunaan bahasa yang seolah-olah berasaskan 'stratifikasi sosial' di mana bahasa Melayu dianggap hanya seolah-olah digunakan oleh kelompok berpendidikan rendah dan rakyat biasa, manakala kelompok atasan, elit, profesional, komuniti korporat dan mereka yang berpendidikan tinggi dari luar negara lebih mesra menggunakan bahasa Inggeris.         Justeru, realitinya, di negara seperti Malaysia ini, rakyatnya terkeliru, para pelajar sentiasa menjadi bahan uji kaji, undang-undang sedang di kotak katik, sekejap didukung sekejap dipancung, ada kelompok ego memperjuangkan status elitnya, menampakkan kemodenan dengan acuan yang melencong, ada yang menuding jari menyalahkan orang lain, tanpa meneliti tanggungjawab diri dan tidak kurang yang hanya hebat di gelanggang perdebatan tetapi longlai di lapangan tindakan.

Maka persoalannya, apakah benar bahasa Melayu mandul ilmu? Atau rakyatnya mandul pemikiran kerana sudah jemu dan malu dengan haknya sendiri? Wallahualam.

 YIIB, Utusan Borneo, 16 Julai 2012

Rabu, 11 Julai 2012

LAGU PUISI: RUANG ALTERNATIF MENGINTERPRETASIKAN KARYA SASTERA DALAM KALANGAN GENERASI BAHARU

Oleh : Shamsul Idzam Jamil
Utusan Borneo ruangan YIIB 9 Julai 2012

            Apakah lagu puisi? Persoalan yang sering kali ditimbulkan apabila dikaitkan dengan persembahan, pertandingan dan penciptaan lagu puisi. Lagu itu lahir dari ruang muzik dan puisi lahir dari ruang sastera.
Muzik dan sastera merupakan dua cabang seni yang sekian lama telah wujud dalam peradaban manusia. Muziksebagai gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan manakala sastera sebagai hasil seni yang diwujudkan dalam bentuk karangan bebas atau dalam bentuk puisi.  Malah kedua-duanya juga banyak menyumbang pembentukan budaya tamadun-tamadun awal yang wujud dalam permulaan peradaban manusia.
Beberapa orang tokoh ahli falsafah dengan definisi masing-masing mengaitkan penciptaan puisi mempunyai hubungan rapat dengan muzik. Shahnon Ahmad (dalam Pradopo , 1993:6) mengumpulkan definisi puisi dari tokoh-tokoh falsafah antaranya yang berkaitan dengan unsur muzik: “Carlyle mengatakan bahawa puisi merupakan pemikiran yangbersifat muzikal. Penyair menciptakan puisi itu memikirkan bunyi-bunyi yang merdu seperti muzik dalam puisinya, kata-kata disusun begitu rupa hingga yang menonjol adalah rangkaian bunyinya yang merdu seperti muzik, iaitu dengan mempergunakan orkestra bunyi”. “Manakala Dunton berpendapat bahawa sebenarnya puisi itu merupakan pemikiran manusia secara konkrit dan artistik dalam bahasa emosional serta berirama. Misalnya, dengan kiasan, dengan citra-citra, dan disusun secara artistik (misalnya selaras, simetri, pemilihan kata-katanya tepat, dan sebagainya), dan bahasanya penuh, serta berirama seperti muzik (penggantian bunyi kata-katanya berturut-turut secara teratur)”.  Jadi istilah lagu puisi adalah sangat tepat dan memang berhubung kait di antara kedua-duanya dan tidaklah menjadi janggal apabila puisi dijadikan lagu.
            Penggabungan kedua-dua lagu(muzik) dan puisi(sastera) yang membentuk muzikalisasi puisi ataupun lebih dikenali sebagai lagu puisi di negara kita merupakan satu langkah yang baik untuk mempromosi karya-karya sastera dalam bentuk penulisan sajak atau lebih dikenali sebagai puisi moden. Ianya merupakan satu cara alternatif untuk mengetengahkan penulisan puisi selain dari bentuk asal deklamasi puisi yang sudah sinonim dengan dunia kepenyairan.
Lagu puisi pula bukan sesuatu yang baru dalam dunia seni. Malah telah wujud seiring dengan lagu-lagu yang berbagai genre dalam perkembangan seni muzik dan lagu. Apa yang saya perhatikan sepanjang penglibatan dalam dunia lagu puisi dan penulisan puisi, lagu puisi dapat menarik minat golongan muda untuk mendekati dan melibatkan diri dalam dunia sastera seiring minat mereka dalam bidang muzik dan lagu.
Bukan menidakkan tentang keupayaan bidang pendeklamasian puisi itu sendiri tetapi kita sedia maklum bidang muzik dan lagu sentiasa mendahului bidang lain dalam cabang seni itu sendiri. Bidang muzik telah banyak mempengaruhi bentuk siasah peribadi golongan muda mahupun dewasa ini. Sebagai contoh kita dapat melihat bagaimana pengaruhnya muzik rock yang sekian lama mendominasi pemikiran anak muda yang ingin bebas dan membentuk golongan-golongan yang memegang falsafah yang diketengahkan oleh muzik rock itu.
            Sebagai salah satu jenis sastera yang berdiri sendiri maka puisi mengalami perkembangannya tersendiri, sebagai sastera yang efisien dalam cara bertutur puisi bermetafora menjadi pantun, gurindam, sajak, seloka dan lain-lain untuk lebih menarik minat pemerhatinya, puisi juga berusaha memasukkan unsur-unsur muzik dalam teknik penyampaiannya, dari sinilah kita mengenal muzikalisasi puisi.
Berbeza dengan lakon teater atau seni drama, puisi sebagai pemacu kreativiti yang memiliki ruang yang boleh diolah secara maksima dan tidak memerlukan waktu yang lama, lagu puisi menjadi salah satu pertunjukan yang cukup diminati kerana menarik lebih dari sekadar pembacaan puisi biasa kerana ada paduan muzik yang melengkapinya, ia lebih sederhana dari drama kerana tidak memerlukan waktu yang lama dalam waktu penggarapannya, dengan kedua alasan ini lagu puisi memiliki daya pikat tersendiri, baik untuk pendengar mahupun pemain.     
Perkembangan lagu puisi juga seiring dengan cabang-cabang muzik yang lain walaupun tidak sehebat muzik rock, rap, blues, jazz dan pelbagai genre muzik baru seperti indie yang mengandungi pelbagai genre di dalamnya. Lagu puisi tetap ada pengikutnya tersendiri yang kebanyakannya meminati juga bidang sastera. Jadi perhatian tentang perkembangan lagu puisi ini haruslah diketengahkan dengan lebih meluas lagi sebagaimana genre-genre muzik yang lain.
Lagu puisi bukanlah terbatas dengan satu genre tetapi ianya bersifat universal. Ianya boleh terdiri daripada pelbagai genre dan cabang muzik. Sebagaimana persepsi sebahagian masyarakat yang menganggap lagu puisi hanyalah berbentuk balada yang melankolik sebenarnya ia lebih daripada itu. Saya menyifatkan lagu puisi adalah karya yang telah diberikan roh atau nafas baharu dalam bentuk melodi dan rentak muzik tidak kira bentuk genre yang telah dibawakan oleh muzik itu sendiri. Ianya terpulang kepada kesesuaian bentuk puisi itu.
            Baru-baru ini saya telah berpeluang melihat pertandingan Puisi dan Lagu peringkat Sekolah Menengah Bahagian Kuching dan Bahagian Samarahan. Dari pemerhatian saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini bidang lagu puisi semakin berkembang dan rancak di sekolah-sekolah menengah khususnya. Perkembangan positif itu telah menarik minat pelajar-pelajar menceburi bidang lagu puisi dan deklamasi puisi. Contohnya pertandingan di peringkat Bahagian Kuching pada tahun ini telah meningkat dengan penyertaan sebanyak 28 buah pasukan dibandingkan dengan tahun sebelumnya yang tidak sampai 20 pasukan.
            Kualiti serta pemahaman tentang lagu puisi juga telah meningkat dengan adanya pertandingan Puisi dan Lagu yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran setiap tahun. Pelajar-pelajar digalakkan menghasilkan puisi dan lagu mereka sendiri dalam pertandingan ini. Mereka akan berusaha memahami makna puisi dalam cubaan menghasilkan puisi dan lagu. Oleh itu, saya yakin pada masa akan datang bidang lagu puisi akan mempunyai pengikutnya yang bertambah banyak sekali gus dapat meningkatkan lagi penglibatan dan minat generasi baru dalam bidang sastera jika pertandingan ini diteruskan.
            Menceburi bidang lagu puisi ini bukanlah seperti kita menceburi bidang muzik yang lain. Ianya melibatkan penyelaman ke dasar jiwa, pemahaman yang mendalam dan penghayatan mantap dalam menghurai bentuk isi puisi yang akan dijadikan dalam bentuk lagu. Lagu puisi, seperti halnya deklamasi puisi, adalah salah satu cara yang digunakan untuk menyampaikan dan mengekspresikan puisi kepada audiens.
Dalam deklamasi puisi, penyampaiannya disesuaikan dengan syarat-syarat deklamasi seperti dengung vokal, pertuturan, ekspresi (gerak-geri dan mimik), dan bahasa badan yang baik serta tepat, sesuai dengan isi dan maksud puisi. Puisi yang disampaikan dengan nyanyian (lagu puisi), alat bantu utamanya adalah muzik (irama, nada, tempo dan sebagainya). Muzik yang digubah sedemikian rupa sebagai hasil dari pentafsiran puisi yang dilakukan oleh penggubah lagu puisi.
Penyampaian puisi dengan cara dinyanyikan puisi ini banyak jenisnya. Yang penting, muzik yang dihasilkan adalah semata-mata untuk kepentingan puisi sehingga muzik tersebut dapat menyampaikan pemahaman dan penghayatan tentang puisi itu kepada audiens yang menghargainya, seperti halnya deklamasi puisi. Oleh kerana itu, lagu puisi di dalam bidang kesenian adalah satu bentuk kesenian tersendiri.
            Proses menghasilkan lagu puisi adalah sesuatu yang sangat mencabar sifatnya kerana ianya tidak sama dengan proses penciptaan genre lagu-lagu lain selain dari lagu puisi. Bukan mudah mencipta melodi daripada sebuah puisi. Liriknya tidak boleh diubah dan bentuknya sudah berdiri sendiri dan hal ini memberikan cabaran kepada seseorang pencipta.
Sekali imbas, lagu puisi tidak banyak berbeza daripada genre lagu yang lain, namun jika dihayati sebenarnya lagu puisi memerlukan tahap pemikiran yang tinggi hasil permainan kata yang diungkapkan oleh penyair. Oleh kerana itu, bukan senang untuk menyerapkan lagu bagi sesebuah puisi jika rasa dalam puisi tidak meresap dalam jiwa penciptanya. Kalau tidak teresap apatah lagi untuk terbebas dalam kalangan pendengar. Malah apabila dilabel lagu puisi, maka haruslah beringat bahawa lagu puisi ialah membebaskan ekspresi puisi / jiwa dan rasa puisi dalam bentuk lagu. Bukan membebaskan ekspresi lagu dan muzik sahaja.
 Oleh itu dalam proses penghasilan lagu puisi, lagu atau melodilah yang mengikut bentuk puisi dan bukannya puisi yang mengikut kehendak lagu kerana puisi tidak boleh diubah dan ianya juga sudah mempunyai nada, rentak dan emosi sendiri yang terkandung dalam bait-bait yang dihasilkan.
Berbicara mengenai lagu puisi sebagai medium seni, lantas menyedarkan kita tentang pemahaman kesedaran akan ‘ruang seni’, yang terkandung di dalamnya iaitu ruang ’muzik’ dan ruang ’puisi’ yang bersatu di dalam interaksi ‘kerangka situasi’ sebuah persembahan. Dua entiti seni tersebut menjadi medium pokok interpretasi di dalam penggarapan karya lagu puisi, tentu di dalam proses kreatifnya akan memiliki perbezaan-perbezaan karakter yang berorientasi ke dalam konsep persembahan.   
Tidak semua puisi dapat dihasilkan dalam bentuk lagu. Oleh itu cara pemilihan puisi untuk dibuat lagu juga amat penting. Puisi-puisi yang berbentuk dialog sangat susah untuk dihasilkan menjadi sebuah lagu puisi.
Sebagaimana yang kita ketahui puisi mempunyai kebebasan tersendiri dalam penulisannya yang tidak boleh dinikmati menjadi muzikalisasi puisi. Lagu puisi memerlukan bait-bait yang akan bersangkutan dengan tangga nada, intonasi dan aturan dalam dunia muzik lainnya.
Puisi-puisi yang mempunyai rangkap yang seimbang akan membantu para komposer menterjemahkannya ke dalam muzik. Puisi yang berbentuk seperti itu juga dikenali bagai ‘puisi lirik’ dan memudahkan dalam penghasilan lagu puisi.Walaupun dalam penggarapan dilihat mudah, tetapi ada beberapa unsur yang harus diperhatikan sebelum kita mencipta lagu puisi.
Pemahaman naskhah puisi adalah bahan mentah berupa puisi saja untuk menjadikan sebagai lagu puisi kita wajib memahami naskhah tersebut secara menyeluruh, tiap-tiap bait puisi dihuraikan , diserap maknanya, difahami maksud dan tujuannya. Dari pemahaman yang kita dapat boleh menarik kesimpulan apa maksud dari puisi tersebut maka diciptalah suasana yang hendak di tampilkan. Contohnya puisi bertema kematian maka keluarkan tema kematian yang dikandungi oleh puisi, jenis muzik dan suasana yang di luahkan sehingga sebelum dibaca atau dinyanyikan orang akan terbawa oleh suasana muziknya terlebih dahuluMisalnya puisi itu bercerita tentang alam maka ciptakanlah melodi/muzik yang sesuai dengan latar belakang dari puisi. Kalau puisi itu bercerita tentang cinta maka buatlah melodi/muzik yang sesuai dengan romantisme. Ianya akan memberi kesan yang sangat mendalam dalam menginterpretasikan sebuah puisi dalam bentuk lagu. Keindahan penuturan akan lebih terasa dalam menjiwai hasil karya puisi malah sebuah puisi yang dibaca tanpa dimasukkan unsur muzik pun tetap tidak lepas dari keharmonian, intonasi, ketukan dan gaya membaca. Apatah lagi setelah dibuat menjadi lagu puisi sudah semestinya harmoni antara vokal, gerak dan irama perlu diperhatikan.
Sebagai genre muzik, lagu puisi adalah penting kerana ia mempunyai nilai seni dan sastera yang tinggi. Lagu puisi ibarat pengucapan puisi dalam elemen muzik yang secara tidak langsung menterjemahkan unsur bunyi, ritma dan susunan kata yang diungkapkan penyair. Manakala pengubah lagu pula cuba menelusuri pemikiran penyair lewat kata dan bait-bait puisi.
            Dalam arus globalisasi ini lagu puisi seharusnya bergerak seiring dengan kemajuan dan kemodenan yang kita kecapi masa kini. Pengaruh-pengaruh barat dalam genre-genre muzik seperti lagu rock, rap dan indie mungkin telah menyerapi anak-anak muda zaman sekarang. Inilah peluang kita untuk mendekati golongan ini.
Lagu puisi merupakan sebuah genre yang bersifat universal. Maksudnya lagu puisi boleh diserapkan dalam pelbagai bentuk genre seperti genre muzik rock atau sebagainya yang diminati golongan muda zaman sekarang. Tidak salah kalau lagu puisi dihasilkan dalam bentuk muzik rock kalau itu caranya kita untuk mendekatkan anak muda kita dalam lagu puisi dan bidang sastera. Ini kerana dalam penghasilan lagu puisi walaupun berbentuk rock ianya tetap mengikut bentuk olahan puisi dan ianya akan menghasilkan sesuatu yang unik dan satu kesenian yang baharu.
Walaupun lagu puisi diserapkan dengan muzik rock tetapi unsur Nusantaranya mestilah dikekalkan dengan peralatan-peralatan muzik tradisional budaya bangsa kita untuk mengiringi rentak-rentak yang dihasilkan mengikut bait-bait puisi. Jenis ini akan lebih mudah memikat pendengar-pendengar golongan muda untuk mendekati bidang sastera dalam bentuk yang baharu.
Begitu juga dengan penghasilan lagu-lagu puisi berbentuk agresif. Saya yakin anak-anak muda akan teruja dengan bentuk baru jenis muzik dan lagu ini hasil dari penggabungan pelbagai genre muzik dalam penghasilan lagu puisi.
Oleh itu untuk memasarkan penulisan sastera maka medium baru inilah yang sangat sesuai untuk diketengahkan dan dipraktikkan. Muzik adalah satu industri manakala sastera adalah bersifat kreatif dan anilis-kritis jadi penggabungannya sangat sesuai untuk mengangkat nilai sastera itu sendiri.
            Perkembangan lagu puisi di Malaysia juga dapat dilihat melalui beberapa penyanyi dan kumpulan lagu puisi yang wujud. Nama-nama seperti Kumpulan Harmoni, Zubir Ali, Julfekar Ahmad Shah, Ahmad Ramli, M. Nasir, Dr Wan Zawawi, Ramli Sarip, Nuradee dan Kopratasa (sekadar menyebut beberapa nama) banyak mempengaruhi landskap industri muzik tanah air  sebagai satu aliran seni, masyarakat agak sukar untuk menerimanya. Barangkali kerana kekeliruan makna tentang lagu puisi itu, yang sering dianggap sukar difahami liriknya. Walaupun begitu mereka mampu bersaing dengan mempertaruhkan lagu puisi (sekurang-kurangnya lirik yang puitis) sebagai ruang karya cipta mereka yang cintakan seni sastera dan muzik.
Perkembangan nama-nama besar dalam industri muzik tanah air  juga telah mendorong kemunculan kumpulan-kumpulan lagu puisi di Sarawak. Kemunculan paling awal pada tahun 70-an dan 80-an yang mana pada ketika itu muncul Kumpulan Suara Marhaen dan Kumpulan Santari yang memperjuangkan lagu puisi mereka di sekitar Sarawak. Mereka juga merupakan penulis dan penggiat-penggiat teater.
Kemudian muncul kumpulan Dewasara (DBP), AKIRA, Bahtera, Layung-layung, Gemaputra, Anak Alam, Nara(DBP), ASEK, Kelang-kelus (PUTERA, Miri), Adan (Unimas) dan 152(PEKASA) serta beberapa lagi nama kumpulan yang muncul dan tenggelam dalam mewarnai dunia lagu puisi di Sarawak. Ini membuktikan bahawa kita di Sarawak tidak ketandusan bakat dalam bidang ini dan ada usaha yang berterusan dalam memartabatkan sastera dalam bentuk yang sangat digemari oleh masyarakat sekarang.
Usaha yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak sangat penting dalam menggiatkan lagi kegiatan lagu puisi sepanjang tempoh 3 dekad kebelakangan ini di Sarawak. Ini terbukti dengan terhasilnya album lagu puisi Kumpulan DEWASARA (DBP) pada awal tahun 90-an yang berkonsepkan puisi-puisi anti dadah. Kemudian diikuti Kumpulan AKIRA yang merakam album lagu puisi/pop etnik di Kuala Lumpur pada tahun 1997 yang juga bakat mereka berkembang hasil dari kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak.
            Sekarang semakin banyak jabatan-jabatan kerajaan yang mula menjalin kerjasama dengan anak-anak seni dalam kegiatan yang berunsur muzikalisasi puisi dan begitu aktif memupuk bakat-bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Jabatan Pelajaran menganjurkan Pertandingan Puisi dan Lagu Peringkat Sekolah Menengah yang mana telah mendekatkan para pelajar dengan kaedah sastera yang menghiburkan sekaligus memupuk minat pelajar dengan bidang sastera itu sendiri.
Jabatan Kebudayaan dan kesenian Negara pula begitu aktif dengan menganjurkan kegiatan kebudayaan termasuk menyerapkan sekali persembahan lagu-lagu puisi di setiap pelosok tempat. RTM pula sememangnya tempat kegiatan seni yang paling aktif dan memainkan peranan penting perkembangan dan penyebaran bidang-bidang seni hiburan seperti lagu puisi.
Dewan Bahasa pula merupakan sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa dan sastera melalui ceramah-ceramah, bengkel-bengkel, kegiatan-kegiatan yang berkaitan bahasa dan sastera dan mengadakan pertandingan seperti pertandingan mencipta lagu puisi yang diadakan setiap tahun sejak kebelakangan ini. Jadi ruang dan tempat untuk kita berkarya sentiasa ada. Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama RTM menganjurkan Pertandingan (Sayembara) Mencipta Lagu Puisi, perlu dilihat sebagai usaha murni merancakkan penerimaan masyarakat terhadap lagu puisi.
RTM yang bekerjasama menyiarkan pertandingan tersebut berperanan bukan sahaja menyebar luaskan genre lagu puisi tetapi mempopularkan genre ini sebagai satu aliran muzik yang sihat, indah dan bermakna untuk dihayati dan diselami oleh masyarakat. Hal ini tentulah selaras dengan usaha RTM yang sejak akhir-akhir ini begitu berjaya memperkenalkan deklamasi sajak melalui kaca TV. Peranan pihak Jabatan Kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan mampu menghubungkan antara karya sastera dan muzik dalam satu bentuk yang menghiburkan dan mempunyai nilai seni yang tinggi.
            Lagu puisi seharusnya diletakkan ke tahap yang lebih tinggi di negara kita sebagaimana negara-negara maju yang meletakkan nilai sastera pada tahap tertinggi yang mana sastera sangat diminati oleh oleh golongan elit kerana ianya mengandungi falsafah, siasah jati diri, kesedaran tentang masyarakat, kebudayaan, pemikiran yang bersifat analisis – kritis, dan pelbagai input keilmuan yang boleh meningkatkan tahap intelektual masyarakat dan mengangkat nilai tradisi dan budaya tamadun bangsa.
Kita harus memahami bahawa karya seni tidak melahirkan sesuatu tanpa makna. Kata-kata yang diungkaplah yang boleh mengubah kehidupan, lebih-lebih lagi jika kata-kata itu sangat tinggi nilai falsafahnya, penuh renungan dan tersirat makna yang mendalam tentang perjuangan hidup manusia.
Manusia yang berjaya akan memperoleh keuntungan daripada kesilapannya, dan akan mencuba lagi dengan cara yang lain”.       

           

Rabu, 22 Februari 2012

Gambar AJK PEKASA 2013/2014

 
Barisan belakang dari kiri : Naziah Naziri, Mohamad Faizal Jamil, Sabin Talib, Awang Kelana, Aishah latip, Hajah Bibi Sabariah & Nur Raifana Abdullah.
Barisan Hadapan dari kiri : Fasihah Arpa, Mohd. Ali Salim, Dahiri Saini, Jaafar Hamdan, Noridah Haju Daud & Shamsul Idzam Jamil.

Selasa, 21 Februari 2012

KEGIATAN PEKASA SEPANJANG TAHUN 2011

1.   1 Jan. 2011 - Pertemuan Anak Seni Sarawak - (bersama BPPMIS)
2.   4 Feb. 2011 -  Jamuan Khas meraikan AJK PEKASA sesi 2010 
3.   12 Feb. 2011 - Diskusi Karya Rosly Dhoby (Bicara Karya) - Penyertaan Ahli (Anjuran DBP)
4.   15-16 Feb. 2011 - Hari Pejuang Bahasa 152 Peringkat Kebangsaan 2011 -PEKASA & GAPENA
5.   29 Mac 2011 - Bicara Orang Muda (BOM) ke-2 - Anjuran PEKASA
6.   31 Mac 2011 - Mesyuarat Agung PEKASA kali ke-6
7.   19 Apr. 2011 - Bengkel Penulisan Novel Fiksyen Sains & Teknologi - (UTM/PEKASA/DBP)
8.   23 Apr. 2011 - Baca Puisi 1 Malaysia - (Penyertaan PEKASA bersama KPSU & JKKN Sarawak)
9.   19 Mei 2011 - Rakan Bestari 2011 - (Penglibatan PEKASA bersama Bhg Kawalan Penapisan Filem
      & KDN
10. 25 Mei 2011 - Bengkel Penulisan Manuskrip & Penerbitan bahan Dokumentari Khazanah
                             Sarawak 2011 untuk TV - (PEKASA Menghantar peserta - Anjuran KDN)
11. 26 Mei 2011 - Bengkel Penerbitan Teater Berkala 2011 - Penyertaan ( Anjuran JKKN)
12. 28 Mei 2011 - Malam Puisi Cinta - (Anjuran PEKASA)
13. 17-19 Jun - Bengkel Pengurusan dan Pengacaraan Majlis - Penyertaan (Anjuran JASA & KPSU)
14. 26 Jun 2011 - Bengkel Penulisan Sajak & Cerpen Hari Guru - (Anjuran PEKASA)
15. 1 Julai 2011 - Penubuhan & Pelancaran PEKASA Sarikei
16. 2 Julai 2011 - Malam Pengucapan Puisi Sarikei & Bicara Orang Muda BOM - (PEKASA)
17. 9 Julai 2011 - Bengkel Penulisan Esei Kritikan - (Anjuran PEKASA kerjasama Jbt Pelajaran & DBP)
18. 10 Julai 2011 - Program Ju Berambih PIBG SMK Bandar Semariang - Lagu Puisi/Hakim/Pameran
19. 16-19 Julai 2011 - Pertemuan Penyair Nusantara V Palembang - Menghantar Wakil seramai 7 org.
20. 10 Sept 2011 - Ramah Tamah Aidilfitri PEKASA & MANTERA
21. 15 Okt 2011 - Sayembara Deklamasi Puisi Zon Sarawak - Anjuran GAPENA
                             (Penyelenggara - PEKASA)
22. 12-15 Okt - Kursus teknikal & Pengurusan Produksi - (Penyertaan)
23. 16 Okt 2011 - Bengkel Pengucapan Awam Untuk Ketua2 Kaum Masyarakat P194 Petra Jaya
                             (Anjuran Pusat Khidmat P194 dan dikendalikan oleh PEKASA)
24. 26 Okt 2011 - Sayembara Lagu Puisi Kawasan P194 - (Anjuran bersama PEKASA & P194)
25. 28-30 Okt 2011 - Kongres Bahasa & Persuratan Melayu 2011 - Penglibatan bersama GAPENA
26. 19 Nov 2011 - Wacana Intelektual PEKASA 2011 - Anjuran PEKASA
27. 16-18 Dis 2011 - Perhimpunan Penulis Muda 2011 - PEKASA menghantar 8 peserta
28. 28-29 Dis 2011 - Pementasan Teater Narartif karya Dahiri Saini di Kuala Lumpur


 
Selamat Datang ke Blog Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA). Blog ini merupakan medan penulisan yang memuatkan kegiatan PEKASA, dengan kata lain blog ini sebagai wadah alternatif untuk mengetahui kegiatan yang berlaku terutamanya bidang berkaitan Penulisan dan Kegiatan Sastera.