Rabu, 11 Julai 2012

LAGU PUISI: RUANG ALTERNATIF MENGINTERPRETASIKAN KARYA SASTERA DALAM KALANGAN GENERASI BAHARU

Oleh : Shamsul Idzam Jamil
Utusan Borneo ruangan YIIB 9 Julai 2012

            Apakah lagu puisi? Persoalan yang sering kali ditimbulkan apabila dikaitkan dengan persembahan, pertandingan dan penciptaan lagu puisi. Lagu itu lahir dari ruang muzik dan puisi lahir dari ruang sastera.
Muzik dan sastera merupakan dua cabang seni yang sekian lama telah wujud dalam peradaban manusia. Muziksebagai gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan manakala sastera sebagai hasil seni yang diwujudkan dalam bentuk karangan bebas atau dalam bentuk puisi.  Malah kedua-duanya juga banyak menyumbang pembentukan budaya tamadun-tamadun awal yang wujud dalam permulaan peradaban manusia.
Beberapa orang tokoh ahli falsafah dengan definisi masing-masing mengaitkan penciptaan puisi mempunyai hubungan rapat dengan muzik. Shahnon Ahmad (dalam Pradopo , 1993:6) mengumpulkan definisi puisi dari tokoh-tokoh falsafah antaranya yang berkaitan dengan unsur muzik: “Carlyle mengatakan bahawa puisi merupakan pemikiran yangbersifat muzikal. Penyair menciptakan puisi itu memikirkan bunyi-bunyi yang merdu seperti muzik dalam puisinya, kata-kata disusun begitu rupa hingga yang menonjol adalah rangkaian bunyinya yang merdu seperti muzik, iaitu dengan mempergunakan orkestra bunyi”. “Manakala Dunton berpendapat bahawa sebenarnya puisi itu merupakan pemikiran manusia secara konkrit dan artistik dalam bahasa emosional serta berirama. Misalnya, dengan kiasan, dengan citra-citra, dan disusun secara artistik (misalnya selaras, simetri, pemilihan kata-katanya tepat, dan sebagainya), dan bahasanya penuh, serta berirama seperti muzik (penggantian bunyi kata-katanya berturut-turut secara teratur)”.  Jadi istilah lagu puisi adalah sangat tepat dan memang berhubung kait di antara kedua-duanya dan tidaklah menjadi janggal apabila puisi dijadikan lagu.
            Penggabungan kedua-dua lagu(muzik) dan puisi(sastera) yang membentuk muzikalisasi puisi ataupun lebih dikenali sebagai lagu puisi di negara kita merupakan satu langkah yang baik untuk mempromosi karya-karya sastera dalam bentuk penulisan sajak atau lebih dikenali sebagai puisi moden. Ianya merupakan satu cara alternatif untuk mengetengahkan penulisan puisi selain dari bentuk asal deklamasi puisi yang sudah sinonim dengan dunia kepenyairan.
Lagu puisi pula bukan sesuatu yang baru dalam dunia seni. Malah telah wujud seiring dengan lagu-lagu yang berbagai genre dalam perkembangan seni muzik dan lagu. Apa yang saya perhatikan sepanjang penglibatan dalam dunia lagu puisi dan penulisan puisi, lagu puisi dapat menarik minat golongan muda untuk mendekati dan melibatkan diri dalam dunia sastera seiring minat mereka dalam bidang muzik dan lagu.
Bukan menidakkan tentang keupayaan bidang pendeklamasian puisi itu sendiri tetapi kita sedia maklum bidang muzik dan lagu sentiasa mendahului bidang lain dalam cabang seni itu sendiri. Bidang muzik telah banyak mempengaruhi bentuk siasah peribadi golongan muda mahupun dewasa ini. Sebagai contoh kita dapat melihat bagaimana pengaruhnya muzik rock yang sekian lama mendominasi pemikiran anak muda yang ingin bebas dan membentuk golongan-golongan yang memegang falsafah yang diketengahkan oleh muzik rock itu.
            Sebagai salah satu jenis sastera yang berdiri sendiri maka puisi mengalami perkembangannya tersendiri, sebagai sastera yang efisien dalam cara bertutur puisi bermetafora menjadi pantun, gurindam, sajak, seloka dan lain-lain untuk lebih menarik minat pemerhatinya, puisi juga berusaha memasukkan unsur-unsur muzik dalam teknik penyampaiannya, dari sinilah kita mengenal muzikalisasi puisi.
Berbeza dengan lakon teater atau seni drama, puisi sebagai pemacu kreativiti yang memiliki ruang yang boleh diolah secara maksima dan tidak memerlukan waktu yang lama, lagu puisi menjadi salah satu pertunjukan yang cukup diminati kerana menarik lebih dari sekadar pembacaan puisi biasa kerana ada paduan muzik yang melengkapinya, ia lebih sederhana dari drama kerana tidak memerlukan waktu yang lama dalam waktu penggarapannya, dengan kedua alasan ini lagu puisi memiliki daya pikat tersendiri, baik untuk pendengar mahupun pemain.     
Perkembangan lagu puisi juga seiring dengan cabang-cabang muzik yang lain walaupun tidak sehebat muzik rock, rap, blues, jazz dan pelbagai genre muzik baru seperti indie yang mengandungi pelbagai genre di dalamnya. Lagu puisi tetap ada pengikutnya tersendiri yang kebanyakannya meminati juga bidang sastera. Jadi perhatian tentang perkembangan lagu puisi ini haruslah diketengahkan dengan lebih meluas lagi sebagaimana genre-genre muzik yang lain.
Lagu puisi bukanlah terbatas dengan satu genre tetapi ianya bersifat universal. Ianya boleh terdiri daripada pelbagai genre dan cabang muzik. Sebagaimana persepsi sebahagian masyarakat yang menganggap lagu puisi hanyalah berbentuk balada yang melankolik sebenarnya ia lebih daripada itu. Saya menyifatkan lagu puisi adalah karya yang telah diberikan roh atau nafas baharu dalam bentuk melodi dan rentak muzik tidak kira bentuk genre yang telah dibawakan oleh muzik itu sendiri. Ianya terpulang kepada kesesuaian bentuk puisi itu.
            Baru-baru ini saya telah berpeluang melihat pertandingan Puisi dan Lagu peringkat Sekolah Menengah Bahagian Kuching dan Bahagian Samarahan. Dari pemerhatian saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini bidang lagu puisi semakin berkembang dan rancak di sekolah-sekolah menengah khususnya. Perkembangan positif itu telah menarik minat pelajar-pelajar menceburi bidang lagu puisi dan deklamasi puisi. Contohnya pertandingan di peringkat Bahagian Kuching pada tahun ini telah meningkat dengan penyertaan sebanyak 28 buah pasukan dibandingkan dengan tahun sebelumnya yang tidak sampai 20 pasukan.
            Kualiti serta pemahaman tentang lagu puisi juga telah meningkat dengan adanya pertandingan Puisi dan Lagu yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran setiap tahun. Pelajar-pelajar digalakkan menghasilkan puisi dan lagu mereka sendiri dalam pertandingan ini. Mereka akan berusaha memahami makna puisi dalam cubaan menghasilkan puisi dan lagu. Oleh itu, saya yakin pada masa akan datang bidang lagu puisi akan mempunyai pengikutnya yang bertambah banyak sekali gus dapat meningkatkan lagi penglibatan dan minat generasi baru dalam bidang sastera jika pertandingan ini diteruskan.
            Menceburi bidang lagu puisi ini bukanlah seperti kita menceburi bidang muzik yang lain. Ianya melibatkan penyelaman ke dasar jiwa, pemahaman yang mendalam dan penghayatan mantap dalam menghurai bentuk isi puisi yang akan dijadikan dalam bentuk lagu. Lagu puisi, seperti halnya deklamasi puisi, adalah salah satu cara yang digunakan untuk menyampaikan dan mengekspresikan puisi kepada audiens.
Dalam deklamasi puisi, penyampaiannya disesuaikan dengan syarat-syarat deklamasi seperti dengung vokal, pertuturan, ekspresi (gerak-geri dan mimik), dan bahasa badan yang baik serta tepat, sesuai dengan isi dan maksud puisi. Puisi yang disampaikan dengan nyanyian (lagu puisi), alat bantu utamanya adalah muzik (irama, nada, tempo dan sebagainya). Muzik yang digubah sedemikian rupa sebagai hasil dari pentafsiran puisi yang dilakukan oleh penggubah lagu puisi.
Penyampaian puisi dengan cara dinyanyikan puisi ini banyak jenisnya. Yang penting, muzik yang dihasilkan adalah semata-mata untuk kepentingan puisi sehingga muzik tersebut dapat menyampaikan pemahaman dan penghayatan tentang puisi itu kepada audiens yang menghargainya, seperti halnya deklamasi puisi. Oleh kerana itu, lagu puisi di dalam bidang kesenian adalah satu bentuk kesenian tersendiri.
            Proses menghasilkan lagu puisi adalah sesuatu yang sangat mencabar sifatnya kerana ianya tidak sama dengan proses penciptaan genre lagu-lagu lain selain dari lagu puisi. Bukan mudah mencipta melodi daripada sebuah puisi. Liriknya tidak boleh diubah dan bentuknya sudah berdiri sendiri dan hal ini memberikan cabaran kepada seseorang pencipta.
Sekali imbas, lagu puisi tidak banyak berbeza daripada genre lagu yang lain, namun jika dihayati sebenarnya lagu puisi memerlukan tahap pemikiran yang tinggi hasil permainan kata yang diungkapkan oleh penyair. Oleh kerana itu, bukan senang untuk menyerapkan lagu bagi sesebuah puisi jika rasa dalam puisi tidak meresap dalam jiwa penciptanya. Kalau tidak teresap apatah lagi untuk terbebas dalam kalangan pendengar. Malah apabila dilabel lagu puisi, maka haruslah beringat bahawa lagu puisi ialah membebaskan ekspresi puisi / jiwa dan rasa puisi dalam bentuk lagu. Bukan membebaskan ekspresi lagu dan muzik sahaja.
 Oleh itu dalam proses penghasilan lagu puisi, lagu atau melodilah yang mengikut bentuk puisi dan bukannya puisi yang mengikut kehendak lagu kerana puisi tidak boleh diubah dan ianya juga sudah mempunyai nada, rentak dan emosi sendiri yang terkandung dalam bait-bait yang dihasilkan.
Berbicara mengenai lagu puisi sebagai medium seni, lantas menyedarkan kita tentang pemahaman kesedaran akan ‘ruang seni’, yang terkandung di dalamnya iaitu ruang ’muzik’ dan ruang ’puisi’ yang bersatu di dalam interaksi ‘kerangka situasi’ sebuah persembahan. Dua entiti seni tersebut menjadi medium pokok interpretasi di dalam penggarapan karya lagu puisi, tentu di dalam proses kreatifnya akan memiliki perbezaan-perbezaan karakter yang berorientasi ke dalam konsep persembahan.   
Tidak semua puisi dapat dihasilkan dalam bentuk lagu. Oleh itu cara pemilihan puisi untuk dibuat lagu juga amat penting. Puisi-puisi yang berbentuk dialog sangat susah untuk dihasilkan menjadi sebuah lagu puisi.
Sebagaimana yang kita ketahui puisi mempunyai kebebasan tersendiri dalam penulisannya yang tidak boleh dinikmati menjadi muzikalisasi puisi. Lagu puisi memerlukan bait-bait yang akan bersangkutan dengan tangga nada, intonasi dan aturan dalam dunia muzik lainnya.
Puisi-puisi yang mempunyai rangkap yang seimbang akan membantu para komposer menterjemahkannya ke dalam muzik. Puisi yang berbentuk seperti itu juga dikenali bagai ‘puisi lirik’ dan memudahkan dalam penghasilan lagu puisi.Walaupun dalam penggarapan dilihat mudah, tetapi ada beberapa unsur yang harus diperhatikan sebelum kita mencipta lagu puisi.
Pemahaman naskhah puisi adalah bahan mentah berupa puisi saja untuk menjadikan sebagai lagu puisi kita wajib memahami naskhah tersebut secara menyeluruh, tiap-tiap bait puisi dihuraikan , diserap maknanya, difahami maksud dan tujuannya. Dari pemahaman yang kita dapat boleh menarik kesimpulan apa maksud dari puisi tersebut maka diciptalah suasana yang hendak di tampilkan. Contohnya puisi bertema kematian maka keluarkan tema kematian yang dikandungi oleh puisi, jenis muzik dan suasana yang di luahkan sehingga sebelum dibaca atau dinyanyikan orang akan terbawa oleh suasana muziknya terlebih dahuluMisalnya puisi itu bercerita tentang alam maka ciptakanlah melodi/muzik yang sesuai dengan latar belakang dari puisi. Kalau puisi itu bercerita tentang cinta maka buatlah melodi/muzik yang sesuai dengan romantisme. Ianya akan memberi kesan yang sangat mendalam dalam menginterpretasikan sebuah puisi dalam bentuk lagu. Keindahan penuturan akan lebih terasa dalam menjiwai hasil karya puisi malah sebuah puisi yang dibaca tanpa dimasukkan unsur muzik pun tetap tidak lepas dari keharmonian, intonasi, ketukan dan gaya membaca. Apatah lagi setelah dibuat menjadi lagu puisi sudah semestinya harmoni antara vokal, gerak dan irama perlu diperhatikan.
Sebagai genre muzik, lagu puisi adalah penting kerana ia mempunyai nilai seni dan sastera yang tinggi. Lagu puisi ibarat pengucapan puisi dalam elemen muzik yang secara tidak langsung menterjemahkan unsur bunyi, ritma dan susunan kata yang diungkapkan penyair. Manakala pengubah lagu pula cuba menelusuri pemikiran penyair lewat kata dan bait-bait puisi.
            Dalam arus globalisasi ini lagu puisi seharusnya bergerak seiring dengan kemajuan dan kemodenan yang kita kecapi masa kini. Pengaruh-pengaruh barat dalam genre-genre muzik seperti lagu rock, rap dan indie mungkin telah menyerapi anak-anak muda zaman sekarang. Inilah peluang kita untuk mendekati golongan ini.
Lagu puisi merupakan sebuah genre yang bersifat universal. Maksudnya lagu puisi boleh diserapkan dalam pelbagai bentuk genre seperti genre muzik rock atau sebagainya yang diminati golongan muda zaman sekarang. Tidak salah kalau lagu puisi dihasilkan dalam bentuk muzik rock kalau itu caranya kita untuk mendekatkan anak muda kita dalam lagu puisi dan bidang sastera. Ini kerana dalam penghasilan lagu puisi walaupun berbentuk rock ianya tetap mengikut bentuk olahan puisi dan ianya akan menghasilkan sesuatu yang unik dan satu kesenian yang baharu.
Walaupun lagu puisi diserapkan dengan muzik rock tetapi unsur Nusantaranya mestilah dikekalkan dengan peralatan-peralatan muzik tradisional budaya bangsa kita untuk mengiringi rentak-rentak yang dihasilkan mengikut bait-bait puisi. Jenis ini akan lebih mudah memikat pendengar-pendengar golongan muda untuk mendekati bidang sastera dalam bentuk yang baharu.
Begitu juga dengan penghasilan lagu-lagu puisi berbentuk agresif. Saya yakin anak-anak muda akan teruja dengan bentuk baru jenis muzik dan lagu ini hasil dari penggabungan pelbagai genre muzik dalam penghasilan lagu puisi.
Oleh itu untuk memasarkan penulisan sastera maka medium baru inilah yang sangat sesuai untuk diketengahkan dan dipraktikkan. Muzik adalah satu industri manakala sastera adalah bersifat kreatif dan anilis-kritis jadi penggabungannya sangat sesuai untuk mengangkat nilai sastera itu sendiri.
            Perkembangan lagu puisi di Malaysia juga dapat dilihat melalui beberapa penyanyi dan kumpulan lagu puisi yang wujud. Nama-nama seperti Kumpulan Harmoni, Zubir Ali, Julfekar Ahmad Shah, Ahmad Ramli, M. Nasir, Dr Wan Zawawi, Ramli Sarip, Nuradee dan Kopratasa (sekadar menyebut beberapa nama) banyak mempengaruhi landskap industri muzik tanah air  sebagai satu aliran seni, masyarakat agak sukar untuk menerimanya. Barangkali kerana kekeliruan makna tentang lagu puisi itu, yang sering dianggap sukar difahami liriknya. Walaupun begitu mereka mampu bersaing dengan mempertaruhkan lagu puisi (sekurang-kurangnya lirik yang puitis) sebagai ruang karya cipta mereka yang cintakan seni sastera dan muzik.
Perkembangan nama-nama besar dalam industri muzik tanah air  juga telah mendorong kemunculan kumpulan-kumpulan lagu puisi di Sarawak. Kemunculan paling awal pada tahun 70-an dan 80-an yang mana pada ketika itu muncul Kumpulan Suara Marhaen dan Kumpulan Santari yang memperjuangkan lagu puisi mereka di sekitar Sarawak. Mereka juga merupakan penulis dan penggiat-penggiat teater.
Kemudian muncul kumpulan Dewasara (DBP), AKIRA, Bahtera, Layung-layung, Gemaputra, Anak Alam, Nara(DBP), ASEK, Kelang-kelus (PUTERA, Miri), Adan (Unimas) dan 152(PEKASA) serta beberapa lagi nama kumpulan yang muncul dan tenggelam dalam mewarnai dunia lagu puisi di Sarawak. Ini membuktikan bahawa kita di Sarawak tidak ketandusan bakat dalam bidang ini dan ada usaha yang berterusan dalam memartabatkan sastera dalam bentuk yang sangat digemari oleh masyarakat sekarang.
Usaha yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak sangat penting dalam menggiatkan lagi kegiatan lagu puisi sepanjang tempoh 3 dekad kebelakangan ini di Sarawak. Ini terbukti dengan terhasilnya album lagu puisi Kumpulan DEWASARA (DBP) pada awal tahun 90-an yang berkonsepkan puisi-puisi anti dadah. Kemudian diikuti Kumpulan AKIRA yang merakam album lagu puisi/pop etnik di Kuala Lumpur pada tahun 1997 yang juga bakat mereka berkembang hasil dari kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak.
            Sekarang semakin banyak jabatan-jabatan kerajaan yang mula menjalin kerjasama dengan anak-anak seni dalam kegiatan yang berunsur muzikalisasi puisi dan begitu aktif memupuk bakat-bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Jabatan Pelajaran menganjurkan Pertandingan Puisi dan Lagu Peringkat Sekolah Menengah yang mana telah mendekatkan para pelajar dengan kaedah sastera yang menghiburkan sekaligus memupuk minat pelajar dengan bidang sastera itu sendiri.
Jabatan Kebudayaan dan kesenian Negara pula begitu aktif dengan menganjurkan kegiatan kebudayaan termasuk menyerapkan sekali persembahan lagu-lagu puisi di setiap pelosok tempat. RTM pula sememangnya tempat kegiatan seni yang paling aktif dan memainkan peranan penting perkembangan dan penyebaran bidang-bidang seni hiburan seperti lagu puisi.
Dewan Bahasa pula merupakan sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa dan sastera melalui ceramah-ceramah, bengkel-bengkel, kegiatan-kegiatan yang berkaitan bahasa dan sastera dan mengadakan pertandingan seperti pertandingan mencipta lagu puisi yang diadakan setiap tahun sejak kebelakangan ini. Jadi ruang dan tempat untuk kita berkarya sentiasa ada. Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama RTM menganjurkan Pertandingan (Sayembara) Mencipta Lagu Puisi, perlu dilihat sebagai usaha murni merancakkan penerimaan masyarakat terhadap lagu puisi.
RTM yang bekerjasama menyiarkan pertandingan tersebut berperanan bukan sahaja menyebar luaskan genre lagu puisi tetapi mempopularkan genre ini sebagai satu aliran muzik yang sihat, indah dan bermakna untuk dihayati dan diselami oleh masyarakat. Hal ini tentulah selaras dengan usaha RTM yang sejak akhir-akhir ini begitu berjaya memperkenalkan deklamasi sajak melalui kaca TV. Peranan pihak Jabatan Kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan mampu menghubungkan antara karya sastera dan muzik dalam satu bentuk yang menghiburkan dan mempunyai nilai seni yang tinggi.
            Lagu puisi seharusnya diletakkan ke tahap yang lebih tinggi di negara kita sebagaimana negara-negara maju yang meletakkan nilai sastera pada tahap tertinggi yang mana sastera sangat diminati oleh oleh golongan elit kerana ianya mengandungi falsafah, siasah jati diri, kesedaran tentang masyarakat, kebudayaan, pemikiran yang bersifat analisis – kritis, dan pelbagai input keilmuan yang boleh meningkatkan tahap intelektual masyarakat dan mengangkat nilai tradisi dan budaya tamadun bangsa.
Kita harus memahami bahawa karya seni tidak melahirkan sesuatu tanpa makna. Kata-kata yang diungkaplah yang boleh mengubah kehidupan, lebih-lebih lagi jika kata-kata itu sangat tinggi nilai falsafahnya, penuh renungan dan tersirat makna yang mendalam tentang perjuangan hidup manusia.
Manusia yang berjaya akan memperoleh keuntungan daripada kesilapannya, dan akan mencuba lagi dengan cara yang lain”.       

           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan