Jumaat, 5 April 2013

KAJIAN BUDAYA DAN PERLAWANAN SASTERA

S.M. Zakir

 
Pengenalan

 
Tajuk kertas kerja ini mungkin sedikit mengelirukan jika dilihat secara harafiah tentang hubungan kajian budaya dan perlawanan sastera. Kajian budaya mungkin lebih difahami sebagai sisi pengajian atau pemahaman tentang budaya yang melibatkan serba sedikit disiplin antropologi, sosiologi, malah lebih tepat ialah kajian etnografi. Sementara perlawanan sastera akan lebih menjurus kepada teori-teori  formalisme, strukturalisme, pascakolonialisme dan sebagainya. Serba sedikit tentunya dapat dilihat benang halus yang menghubungkan kajian budaya dengan perlawanan sastera apabila dikaitkan kesan persekitaran budaya terhadap kehadiran karya-karya sastera yang memberontak atau menganjurkan bentuk dan unsur perlawanan dalam konteks dan situasi tertentu. Namun begitu, kajian budaya yang dihubungkan dengan perlawanan sastera ini sebenarnya lebih dilihat daripada satu aliran pemikiran yang muncul mutakhir ini iaitu aliran atau disiplin cultural studies. Di sinilah sebenarnya konteks kajian budaya yang dikemukakan dalam kertas kerja ini mengambil inti patinya. Cultural studies adalah disiplin yang luas dan unik, kerana ia bukan sekadar melihat bentuk-bentuk yang khusus dalam konteks epistemologi ilmu, tetapi bentuk-bentuk umum, terpinggir dan juga sembarangan dalam melihat bukan sahaja perkembangan idea tetapi juga hubungan kuasa yang menempatkan penguasaannya melalui ruang budaya.

Cultural studies sebenarnya adalah rangkuman sekelompok teori yang berkembang dalam sejarah kesusasteraan pascamoden. Apa yang dikatakan sastera pascamoden ialah apabila terlihat seperti terdapat satu benang halus yang terentang  di antara era moden dan pascamoden. Ini adalah kerana cultural studies bermula dengan mengambil titik perkembangan strukturalisme. Maka di sini ia meninggalkan formalisme yang menjadi asas kepada pencirian sastera moden. Strukturalisme yang melompat keluar daripada formalisme selalunya dilihat sebagai titik mula kepada perkembangan sastera pascamoden. Di sinilah cultural studies merangkumkan kelompok teori bermula daripada strukturalisme sehinggalah kepada konsep terbaru yang muncul pada hari ini iaitu hibdriti. Sempadan formalisme dan strukturalisme secara kabur dilihat sebagai sempadan di antara modenisme dan pascamodenisme. Apabila cultural studies merangkumkan sekelompok teori bermula daripada strukturalisme maka ia secara tidak langsung mencirikan pergerakan sastera pascamoden. Maka intipati daripada cultural studies yang mencirikan pergerakan sastera pascamoden inilah, kajian budaya yang ditampilkan cuba melihat perlawanan sastera dalam karya yang muncul dalam dekad mutakhir ini.

 

Kajian Budaya dalam Intipati Cultural Studies

Cultural studies sebenarnya bukanlah setompok disiplin yang muncul untuk melihat perkembangan atau suasana budaya sebagaimana disiplin etnografi misalnya. Tetapi cultural studies sebenarnya adalah kajian/studi yang melihat teori-teori sastera pascamoden yang berkembang sejak bibit awalnya pada pertengahan abad ke-20. Bermula dengan strukturalisme yang menyerapkan bibit pemikiran Emile Durkheim sehingga kepada puncak perkembangannya di tangan Ferdinand de Saussure; cultural studies kemudian merentangi struktur-tanda antrapologi Claude Levi-Strauss, mitologi Roland Barthes, membawa kepada pascastrukturalisme Jacques Derrida serta Michel Foucault dan seterusnya kepada pascamodenisme J.F. Lyotard serta Richard Rorty. Dalam pada itu cultural studies turut menyelitkan marxisme, psikoanalisis Sigmund Freud, etnografi Clifford Gertze, pascakolonialisme, feminisme, dekonstruksi, mazhab Frankfurt, hegemoni Antonio Gramsci dan keseluruhan pemikiran yang mendirikan sastera pascamoden; malah bibit pascamoden dari era moden lagi. Cultural studies sebenarnya adalah sebuah wilayah pemikiran yang cukup luas; menyangkuti hampir kesemua aliran yang terpaut dengan era pascamoden. Bahkan ia turut menggali akar-akar pemikiran yang berdiri dalam era moden dalam melihat hubungan-hubungan silang yang wujud.

Walau bagaimanapun skop kajian budaya yang ditampilkan dalam kertas kerja ini hanya mengambil sudut yang melihat hubungan dalam konteks perlawanan sastera. Maka itu intipatinya ialah beberapa sudut yang ditampilkan dalam cultural studies yakni hegemoni, budaya pop dan wacana. Hegemoni yang ditampilkan dalam cultural studies melihat sisi baru khususnya dalam konteks pascamoden. Hegemoni adalah sisi kekuasaan berhubung rapat dengan idealogi. Kekuasaan dilihat terdapat pada setiap peringkat hubungan sosial. Di sini kekuasaan bukan hanya sekadar perekat yang menyatukan kehidupan sosial, atau kekuatan-kuasa (coersive) yang menempatkan sekelompok orang di bawah segelintir atau kelompok lain yang membuka jalan bagi adanya segala bentuk tindakan, hubungan atau tatanan sosial; tetapi juga adalah proses untuk memujuk dan memenangi persetujuan kelompok subordinat. Maka subordinasi yang dilihat dalam cultural studies bukan lagi persoalan menempatkan kekuatan-kuasa (coersive) tetapi adalah soal memenangi persetujuan. Budaya (gejala) pop yang banyak mengambil ruang perbincangan cultural studies, dikatakan adalah landasan persetujuan dapat dimenangkan. Perkaitan antara kekuasaan dan persetujuan ini melahirkan hegemoni-baru, yakni hegemoni kekuasaan budaya yang berbeza dengan konsep hegemoni politik, tetapi lebih berpengaruh dan berkuasa daripada hegemoni politik sebenarnya. Konsep hegemoni budaya dalam cultural studies ialah situasi satu kelompok yang berkuasa dalam ’kurun sejarah’ tersebut menerapkan autoriti dan kepimpinan sosialnya terhadap kelompok-kelompok subordinat dengan cara memenangi persetujuan kelompok-kelompok tersebut.

Sementara budaya (gejala) pop bermula dengan pengklasifikasian yang memunculkan dikotomi budaya tinggi-budaya rendah. Budaya pop dilihat sebagai budaya rendah, berpeleseran dan tidak mempunyai makna. Sementara budaya tinggi yang menyangkut sastera, lukisan, arca, muzik klasik atau seni tradisi dilihat sebagai budaya yang menjadi suatu bentuk komoditi intelektual; akibat pembentukan makna lewat pengidentifikasian intelektualisme. Maka budaya tinggi pada peringkat awal dilihat sebagai mewakili kelas atau kelompok yang berkuasa, dan menerapkan hegemoninya terhadap kelompok bawahan atau subordinat.

Budaya pop pula adalah identiti kepada kelas bawahan atau kelas subordinat tersebut. Namun perkembangan seterusnya melihat kebalikan bahawa budaya pop adalah suatu bentuk produksi massa daripada projeksi skala besar kapitalisme. Maka budaya pop dilihat sebagai ’kebudayaan kapitalis’ yang bukan lagi dihasilkan oleh masyarakat sepertimana budaya rakyat sebelumnya, sebaliknya ia berpautan dengan ekonomi-politik dan produksi kebudayaan oleh perusahaan atau upaya kapitalisme. Budaya pop bukan sahaja dicipta untuk merendahkan kualiti intelektual dan melumpuhkan nilai tetapi juga adalah penciptaan makna yang terus menerus dalam upaya menerapkan hegemoni kapitalisme.

Konsep budaya pop atau konsep tentang ’popular’ bukan sekadar menjadi penentangan terhadap pemisahan antara budaya tinggi dan budaya rendah (malah mengaburkan sempadan budaya tinggi-budaya rendah; sehingga menterbalikkan persepsi atau makna tentang budaya rendah lebih besar dan bermakna daripada budaya tinggi), tetapi juga menentang sebarang bentuk pengklasifikasian budaya – melalui kekuasaan yakni kekuasaan kapitalisme. Maka itu budaya pop menjadi senjata dan alat kepada hegemoni kapitalisme atau golongan pemodal terhadap masyarakat terbanyak. Budaya pop dengan itu adalah hegemoni kapitalisme atau segelintir pemilik modal yang berkuasa; yang mendirikan kuasa baru era pascamoden iaitu kuasa ekonomi-politik. Konsep hegemoni sebagai situasi satu kelompok yang berkuasa dalam ’kurun sejarah’ tersebut menerapkan autoriti dan kepimpinan sosialnya terhadap kelompok-kelompok subordinat dengan cara memenangi persetujuan kelompok-kelompok tersebut; dapat dilihat dengan terang dan nyata dalam produksi budaya pop kapitalisme.

Akhir sekali wacana, secara khusus membahaskan tentang konsep teks yang bukan hanya mengacu kepada kata-kata yang tertulis tetapi adalah semua praktik yang mengacu kepada makna. Ini termasuklah pembentukan makna melalui citra inderawi misalnya bunyi dalam seni muzik dan lagu, pandangan/tampak dalam seni lukis dan arca, visual/rasa dalam seni persembahan teater dan filem, aktiviti dalam seni tari dan sukan, serta pelbagai praktik lagi. Hal ini membawa keterkaitkan dengan praktik budaya pop tadi; yang melihat persetujuan bererti khalayak ramai mengidentifikasi diri dengan makna-makna budaya/aktiviti yang dibentuk lewat praktik yang akhirnya menerapkan hegemoninya.

Wacana muncul untuk melihat kebudayaan (budaya pop) sebagai kekuasaan kelas dan melihat pembentukan struktur sosial yang diwujudkan oleh hegemoni dan idealogi. Di sini wacana menampilkan perlawanan terhadap hegemoni dan idealogi dalam membahaskan teks serta pengacuan makna. Wacana ini antaranya mengambil pandangan marxisme tentang kesedaran palsu yang pertama berpendapat bahawa idea yang dominan dalam masyarakat adalah idea kelas yang berkuasa, dan yang kedua persepsi tentang kebenaran adalah berkaitan dengan ’mistik’ kuasa pasaran. Pendapat yang berdiri sebagai kebenaran ini sebenarnya tidak lebih daripada sebuah kesedaran yang palsu. Sementara dalam aspek idealogi, wacana memunculkan konsep tentang blok hegemonik dan blok kontra-hegemonik yang banyak berpandukan pandangan Gramsci.

Dalam hal ini Gramsci mendefinisikan hegemoni sebagai ’proses keberlanjutan pembentukan dan penggulingan keseimbangan yang tidak stabil antara kepentingan kelompok fundamental dan kepentingan kelompok subordinat’. Maka itu hegemoni dicipta dan dimenangkan terus menerus oleh pertentangan antara blok hegemonik dan blok kontra-hegemonik. Di sini wacana muncul untuk membahaskannya dari sisi teks dan pengacuan makna.



Selamat Datang ke Malaywood Membangunkan Perlawanan terhadap Hegemoni

Selamat Datang ke Malaywood (SDkM) adalah kumpulan cerpen Roslan Jomel yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia pada tahun 2012. buku ini mengandungi 18 buah cerpen yang pernah tersiar di media massa mahupun tidak. Roslan Jomel adalah penulis muda Sarawak yang menetap dan mengembangkan bakatnya di Kuala Lumpur, muncul dalam era 2000-an dengan cerpen-cerpen yang seringkali mengaburkan realiti dan non-realiti. Dalam faham sastera moden, cerpen-cerpen Roslan Jomel dianggap sebagai wacana surealisme yang bermain dengan aliran bawah sedar serta simbolisme.

Namun dalam era sastera pascamoden cerpen-cerpen Roslan boleh dilihat melangkaui konsep surealisme tersebut, malah boleh dikaitkan secara tekal dengan wacana pascamoden itu sendiri yang meletakkan teks sebagai organisasi tanda yang membangunkan makna; sekaligus mengaburkan segala sempadan antara realiti dan non realiti. Dalam SDkM organisasi tanda ini secara khusus dilihat dari sudut kajian budaya dan perlawanan sastera daripada intipati hegemoni, budaya pop dan wacana. SDkM sebenarnya adalah organisasi tanda yang melemparkan perlawanan-perlawanan terhadap hegemoni yang muncul lewat budaya pop kontemporari; seterusnya mendirikan wacana perlawanan yang unik dan tersendiri. Bahkan judul ‘Selamat Datang ke Malaywood’ itu sendiri (diambil daripada judul sebuah cerpen dalam buku ini) menjelaskan tentang ciri perlawanan sinis terhadap kekuasaan budaya pop. ‘Malaywood’ tentunya sinonim ‘Hollywood, Bollywood’ yang dicipta untuk menggambarkan suasana budaya pop atau kekuasaan budaya pop dalam wacana perlawanan teks. Lantaran itu SDkM merupakan teks yang mewakili sastera pascamoden; yang cuba dilihat ciri-ciri perlawanannya khususnya dalam konteks kajian budaya hegemoni, budaya pop dan wacana.

Cerpen ‘Selamat Datang ke Malaywood’ muncul seperti pernyataan iklan dalam brosur yang menceritakan tentang Malaywood yang bukan Hollywood atau Bollywood. Tiada watak yang khusus ditampilkan (selain daripada ‘saya’ yang abstrak) sebaliknya ia merenteti kewujudan dunia ekonomi pasar yang memperlihatkan bagaimana keseluruhan kehidupan yang mengejar material bergerak. Cerpen ini memaparkan tentang kekuasaan budaya pop sebenarnya; yang memberi nafas kepada kehidupan budaya masyarakat masa kini hasil produksi kapitalisme. Lantaran itu ia mengacu kepada makna baru tentang budaya, kehidupan dan tatanan sosial manusia hari ini. Budaya bukan lagi berkaitan dengan amalan hidup, tradisi dan kesenian tetapi juga faktor kekuasaan. Suatu bentuk jalur kekuasaan ekonomi-politik diperlihatkan secara kabur mengawali semua aktiviti masyarakat; dan menanjakkan keunggulan budaya pop sebagai matlamat hegemoni kapitalisme.

Cerpen seterusnya ‘Kata Barbie, Dia Bukan Boneka’ menghidupkan Barbie satu wajah ikon budaya pop, dalam menyatakan hegemoni kapitalisme yang memenangi persetujuan massa untuk menerima imej-imej pop sebagai nilai kehidupan mereka. Kekacauan masyarakat yang ‘dijajah’ imej budaya pop menjadikan hidup mereka dalam kekosongan ditampilkan dalam cerpen ‘Delirium’. Dalam cerpen ini watak menjalani alienasi, yakni pengasingan yang cuba melarikan diri daripada dunia kehirukan materi, dan imej-imej kapitalisme. Begitu juga dengan cerpen ‘Petang Sentimental Tuan Banana’, watak yang teralienasi; mengasingkan diri, ingin keluar daripada semua imej kapitalisme yang menjajah segenap sudut kehidupan.

Begitu juga dengan cerpen ‘Saya Ingin Mengucup Bibirnya Sekali Sahaja’ menyerap mitos seekor ikan yang aneh dalam imej-imej budaya pop; filem Tom Hanks, internet 24 jam sehari, gincu berwarna merah jambu, coklat, skirt mini, iklan kecantikan. Kontradiksi mitos dalam budaya pop ini disampaikan dengan bersahaja, melalui saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat peranginan dengan gaji yang tidak dapat menyara kelangsungan hidup. Saya bertemu si ikan bernama Milagros Cerron secara kebetulan, ketika si ikan sedang berenang di bawah jeti sebuah pulau. Mitosnya hadir berculang caling dengan imej budaya pop, si ikan, Drew Barrymore, Daryll Hannah dan Maya Karin. Sehingga akhirnya cerita yang tidak mahu berdiri sebagai cerita ini melemparkan kekosongan nilai budaya pop tetapi hidup sebagai hegemoni kapitalisme yang berkuasa dalam kehidupan hari ini. Kekosongan dan keterasingan yang wujud dan mewabak dalam wilayah budaya pop menampilkan akibat-akibat melampau dalam cerpen ‘Lelaki yang Menetak Anak’. Sebuah fiksyen kesusasteraan yang cuba dihidupkan dalam dunia budaya pop, mengalir dalam realiti yang dikaburkan dan akhirnya menjadi cerita yang mencirikan budaya pop itu sendiri. Dalam cerpen ‘Incognito’ juga imej-imej budaya pop berculang caling dengan imej budaya tinggi yang akhirnya dikalahkan. Sepertimana cerpen sebelumnya juga, cerita yang tidak mahu berdiri sebagai cerita ini akhirnya hanya mencirikan kesenjangan budaya pop yang kosong tanpa keperluan untuk memberikan sebarang mutu dan nilai, juga tanpa sebarang matlamat.

Cerpen-cerpen ‘Mengapa Dunia Tidak Memerlukan Adiwira’, ‘Menyebabkan Encik Televisyen Dilanda Paranoid’, ‘Romantika di Tandas’, ‘Mesej’, dan ‘Kekeliruan Bawang Merah’ memaparkan imej-imej budaya pop yang menjajah sehingga menjadikan segala nilai yang berdiri sebagai identiti budaya selama ini lumpuh dan sirna. Imej-imej budaya pop yang berkuasa menyelinap di semua sudut kehidupan dan mengaburkan semua realiti menjadi projeksi bayangan atau imej yang berserakan. Malah cerpen-cerpen seperti ‘Timbus Bayi’, ‘Rosidah yang Hanya Hidup Sehari’ dan ‘Sebilah Parang untuk Menyayat Malam’ memaparkan akibat daripada kekosongan hidup oleh kesan subordinasi dan alienasi hegemoni kapitalisme yang mewujudkan wilayah budaya pop yang penuh ketegangan akibat matlamat materialisme dan hedonisme itu. Sementara cerpen ‘Sisipus di Labirin’ dan ‘Tidak Dibenarkan Menulis Cerita Buruk’ kembali kepada watak yang dialienasi kesan daripada pelarian atau pengasingan daripada hegemoni budaya pop tersebut. Akhir sekali cerpen ‘Semenanjung Borneo’ kembali kepada naratif iklan ‘Selamat Datang ke Malaywood’ yang mencari wilayah kemerdekaan di dalam diri yang sekian lama tersubordinasi di bawah hegemoni budaya popular.

Semua cerpen dalam kumpulan cerpen tampil sebagai cerita yang tidak mahu berdiri sebagai cerita; sebaliknya ia bergerak melanggar konvensi pergerakan plot, memecahkan semua sempadan realiti dan nonrealiti, menculang caling kemunasabahan dan logik, serta menulis sesuka hatinya. Apabila budaya itu dikatakan sebagai produk daripada persekitaran sosialnya, maka cerpen-cerpen dalam SDkM ini juga wujud sebagai produk daripada persekitaran sosialnya. SDkM memaparkan imej daripada persekitaran budaya pop yang mengaburkan semua kenyataan; malah melumpuhkan nilai dan mengosong matlamat hidup yang sebenar. Malahan juga kehidupan sifar nilai yang menghala kepada totaliti yang palsu.

 
Perlawanan Terhadap Hegemoni

Namun apa yang ingin dibangkitkan dalam konteks kajian budaya terhadap teks SDkM ini ialah munculnya perlawanan sastera; khususnya terhadap hegemoni budaya pop. SDkM telah dihadirkan dengan sebegitu rupa; penuh pemberontakan, menentang status quo, melanggar segala konvensi dan melakukan revolusi sekalipun tersisih dalam mendirikan wacana balas terhadap hegemoni budaya pop. Keseluruhan tema cerpen adalah perlawanan terhadap pancaran imej budaya pop yang menguasai segenap sudut kehidupan. Ia membiaskan perlawanan dengan sinisme lewat pernyataan sosial yang diobrak abrik; imej dan persekitaran sosial yang sengaja diporak peranda. Dalam kata lain menggambarkan wajah sosial yang penuh kekosongan dan keterasingan; oleh penjajahan imej budaya pop sehingga menjadikan cerita keseluruhannya ketiadaan matlamat serta dirancu oleh ilusi yang bersimpang siur. Hal ini sengaja dilakukan sebagai gerakan perlawanan teks terhadap hegemoni budaya pop. Secara tidak langsung melawan pemantakan imej budaya pop yang cukup mendominasi, mengatur kehidupan malah matlamat masyarakat – diacu ke arah menjadi komoditi dagang. Maka teks yang dihadirkan dalam SDkM secara sedar atau bawah sedar muncul sebagai wacana perlawanan terhadap hegemoni ini.

Menurut Geog Lukacs, dalam konteks penjajahan budaya pop ini kapitalisme menguasai seluruh dimensi kehidupan masyarakat sehingga interaksi dalam kehidupan masyarakat ditandai dengan kemiskinan makna hidup. Secara khusus keadaan ini berlaku akibat aktiviti-aktiviti menukarkan semua makna hidup termasuk nilai auntentik menjadi komoditi yang boleh dijual beli, atau disebut Lukacs sebagai proses komodifikasi. Aktiviti penukaran semua makna hidup kepada nilai matawang yang mewujudkan nilai dagang itu secara objektif menimbulkan keterasingan hidup. Proses komodifikasi ini pula dari sisi lain wujud sebagai proses merosotnya dimensi manusia yang utuh akhirnya menjadi dimensi benda keseluruhannya – yakni objek dagang yang dinilai oleh tingginya permintaan tukaran. Proses ini berakhir dengan lenyapnya kreativiti (intelektualiti dan perlawanan), dan pemberhalaan hidup manusia kepada barang-barang hasil industri atau hasil kapitalis. Fenomena ini menjadikan identiti masyarakat terperosok ke dalam sistem sosial yang seluruhnya dibingkai oleh kepentingan ekonomi. Pandangan Lukacs ini sangat jelas dalam melihat perlawanan sastera atau teks yang dikemukakan dalam SDkM, dalam menentang hegemoni budaya pop yang mewakili penjajahan kapitalisme tersebut.

Sementara Theodor Adorno pula mengulangi apa yang dikatakan oleh Marx tentang kesedaran palsu, menyatakan bahawa komoditi menyembunyikan sifatnya yang menghasilkan ilusi. Ia kemudiannya digunakan untuk merangsang ‘kesedaran yang dipalsukan’ tadi dalam membentuk totaliti dunia palsu. Maka gambaran ini jelas diberikan dalam SDkM yang memperlihatkan bagaimana ilusi-ilusi yang dibentuk oleh budaya pop dimunculkan sebagai imej yang mengaburkan sempadan realiti untuk memperlihatkan bagaimana kesedaran palsu ini diprojeksikan oleh budaya pop bagi mendirikan sebuah totaliti dunia palsu. Malah cerpen-cerpen dalam SDkM yang mendirikan totaliti kekaburan realiti, secara relatif sepertikan menayangkan tentang totaliti dunia palsu budaya pop tersebut.

Keterkaitan budaya pop dalam perlawanan sastera yang seru ini adalah disebabkan hubungannya atau lebih tepat kehadirannya sebagai instrumen kepada upaya penguasaan kapitalisme terhadap kelompok masyarakat terbanyak. Maka budaya pop sebagai agen (produksi) kapitalisme itu akhirnya wujud sebagai suatu bentuk hegemoni yang dicapai dengan memenangi persetujuan kelompok masyarakat terbanyak. Hegemoni budaya pop bukan dicapai melalui kekuatan-kuasa politik, tetapi sebaliknya dicapai melalui memenangi atau memujuk persetujuan kelompok subordinat. Pemujukan ini berlaku melalui proses komodifikasi yang disebutkan tadi. Namun akhirnya ia mewujudkan pula kuasa politik yang dibentuk sebagai ekonomi-politik. Bagi Michel Foucault, kekuasaan bukan milik sebaliknya strategi. Maka kekuasaan tidak selalunya bekerja melalui penindasan dan tekanan melainkan juga melalui pemujukan dan memenangi persetujuan. Lebih jauh lagi kekuasaan bukan hanya represif tetapi produktif. Hal ini menjelaskan tentang kehadiran budaya pop sebagai hegemoni yang terhasil daripada produksi massa kapitalisme. Hegemoni ini muncul lewat strategi yang bekerja melalui pemujukan dan memenangi persetujuan. Setelah tercapai matlamat memenangi persetujuan tersebut maka hegemoni ini berkembang kepada penguasaan yang semakin kuat dan besar. Ia akhirnya bergerak ke arah proses komodifikasi yang menjadikan manusia dan semua subjek sebagai benda atau komoditi dagang, sehingga mewujudkan pemberhalaan produk industri.

Di sini SDkM muncul sebagai wacana dalam bentuk perlawanan sastera atau perlawanan teks, yang menolak hegemoni budaya pop secara terpecah. Apa yang dimaksudkan secara terpecah tersebut ialah penolakan malah perlawanan tersebut bergerak dalam kontradiksi antara mempertahankan unsur terbaik kebudayaan dan mengaburkan dikotomi budaya tinggi-budaya rendah sekaligus mengabaikan usaha praktik mempertahankan unsur terbaik kebudayaan. Perlawanan sastera dalam SDkM akhirnya menghadirkan blok hegemonik dan blok kontra-hegemonik. SDkM bergerak sebagai blok kontra-hegemonik yang menentang bentuk-bentuk kesedaran palsu hegemoni budaya pop dengan menggambarkan totaliti yang palsu, rancu dan keliru oleh pengaburan-pengaburan realitinya. Perlawanan ini juga muncul lewat sinisme pernyataan yang melihaikan hegemoni budaya pop. SDkM tentu tidak menyurat penentangan langsung terhadap kapitalisme, tetapi caranya melihaikan budaya pop menjelaskan perlawanannya terhadap kapitalisme yang mengakibatkan keterasingan manusia daripada makna hidup.

Gambaran-gambaran alienasi atau keterasingan manusia dalam cerpen-cerpen SDkM serta imej-imej budaya pop yang menggelapkan sisi kehidupan yang bermakna menjelaskan tentang perlawanan-perlawanan yang hadir lewat teks atau wacana yang sangat substantif.


Penutup

Kajian budaya yang melihat hubungan hegemoni, budaya pop dan wacana dalam mengenalpasti perlawanan sastera yang wujud dalam sesebuah teks sebenarnya adalah upaya untuk melihat kehadiran sastera pascamoden yang bergerak sebagai suatu bentuk wacana baru. Ia mungkin boleh dianggap avant garde, namun istilah tersebut sudah kedengaran klise dalam menonton kehadiran fenomena minimalis yang bergerak dalam gelombang pascamoden. Fenomena minimalis adalah elemen pascamoden yang ditandai oleh kekuasaan individualiti yang dimangkinkan oleh faktor revolusi teknologi maklumat, pengaburan sempadan geo-fizikal yang mencetuskan idea terhadap pengaburan sempadan realiti, dan akhirnya lumpuhnya tembok-tembok lama termasuk status quo dan tradisi. Sebahagian daripada elemen ini membawa kesan positif, tetapi sebahagian lagi membawa kesan negatif. SDkM hadir sebagai teks sastera pascamoden yang ditandai oleh perlawanan sasteranya terhadap hegemoni budaya popular, mungkin secara yang tidak disedarinya. Walau bagaimanapun pengorganisasian tanda yang terdapat dalam SDkM sehingga mendirikan sebahagian besar kekuatan atau kehadirannya sebagai karya sastera sangat menjelaskan tentang perlawanan sastera yang terbentuk lewat situasi sosial yang menekannya. Wajah-wajah keterasingan, penentangan, malah sakit menyalurkan imej-imej perlawanan yang wujud sebagai organisasi tanda yang mengacu kepada makna. SDkM cuba mengacu makna daripada setiap kekacauan ceritanya, sekaligus menyamarkan perlawanannya dengan gambaran kerancuan dari sisi hegemoni budaya pop.

Kesimpulannya SDkM wujud sebagai teks sastera pascamoden yang melakukan perlawanan sasteranya terhadap hegemoni budaya pop, sekaligus kapitalisme yang memproduksikannya. SDkM sekaligus mengemukakan wacana budaya dalam bentuk perlawanan dan sistem yang cuba dibinanya secara substantif tersebut. Sepertimana yang disebut oleh Foucault, sistem kebudayaan merupakan usaha untuk mengacu makna kepada diri sendiri dan mempertahankan diri daripada usaha yang sewenang-wenang untuk mengklasifikasi dan memahami dunia. Maka SDkM adalah usaha mengacu makna kepada dirinya sendiri, dan mempertahankan dirinya daripada wewenang hegemoni. Akhir sekali, menggunakan kajian budaya yang mengambil cebisan hegemoni, budaya pop dan wacana daripada intipati besar cultural studies sepertimana yang dikatakan oleh Chris Barker adalah suatu projek yang mengasyikkan, dan mengisahkan kepada kita tentang dunia yang sedang mengalami perubahan dengan harapan kita dapat memperbaikinya.

 

Rujukan

Chris Barker. 2000. Cultural Studies: Theory and Practice. London: Sage Publications.

 Edward W. Said. 1993. Culture and Imperialism. New York: Vintage Books.

 Michel Foucault. 1965, 1988. Madness & Civilization. New York: Vintage Books.

 Mudji Sutrisno & Hendar Putranto (ed.). 2005. Teori-teori Kebudayaan. Yogyakarta: Penerbit Kanisus.

 Richard Rorty. 1980. Philosophy and the Mirror of Nature. Cambridge: Cambridge University Press.

 Roslan Jomel. 2012. Selamat Datang ke Malaywood. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Negara.

 Theodor W. Adorno. 1991. The Culture Industry. New York: Routledge Clasic.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan