Jumaat, 5 April 2013

PEMUGARAN BUDAYA RAKYAT DALAM SENJA CINTA WARISAN*


WILLIAM CHAN KHUN NENG


(Budaya rakyat: cerita, adat, pakaian, tingkah laku dan sebagainya yang diwarisi oleh sesuatu masyarakat atau bangsa. – Kamus Dewan Edisi Ke-4)

Pengenalan


SENJA Cinta Warisan ialah sebuah novel karya Jaya Ramba yang diterbitkan oleh Penerbit Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd 2003.

Kemunculan Jaya Ramba dalam barisan penulis novel dari Sarawak cukup menyerlah. Beliau muncul menjejaki penulis-penulis awal seperti Jong Chian Lai, Jamilah Morshidi, Jais Sahok, Douglas Jaga, Hamlin Bolhi, Radzemah Bolhassan dan Idris Boi dalam genre novel. Dalam masa yang relatif singkat usaha beliau berjaya mendapat tempat dalam penerbitan peringkat nasional. Seingat saya, Jaya merupakan salah seorang dari dua penulis dari Miri yang novel mereka diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Novel Keabadian Cinta karya Noor Abby terbit pada tahun 2004.

Satu hal yang menarik mengenai kedua-dua buah novel terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd yang disebut di sini ialah kedua-dua penulis ini berpangkalan di Miri dan melukis latar tempat di Miri.

Perkara ini menarik bagi sesebuah novel kerana novel merupakan suatu laporan lengkap dan tulen tentang pengalaman manusia serta bertanggungjawab untuk memuaskan pembacanya dengan perincian-perincian ceritanya mengenai watak, waktu dan tempat (Safian Hussain, 1988: 206).

Melalui perlukisan tempat, waktu, pekerjaan watak, dan keadaan persekitaran kehidupan watak-watak berkaitan agama, moral, emosi dan kemasyarakatan dalam novel beliau, Jaya Ramba telah berjaya mengadunkan ceritanya dengan menarik sekali.

Dalam novel ini Jaya Ramba mengadunkan latar belakang rekaan (seperti Wisma Tang Lung, Rumah Dayak) dengan nama-nama tempat sebenar di Miri seperti Universiti Curtin di Jalan Riam (sememangnya pun dulu menumpang kampus di situ, kemudian berpindah ke tapak baharu yang tetap di Senadin); Tanjong Seafood (di Jalan Temenggong Oyong Lawai Jau yang memang popular untuk mereka yang meminati makanan laut); City Fan atau Dataran Kipas (yang merupakan tempat riadah berdekatan dengan Dewan Suarah Miri dan Pustaka Miri yang menjadi tumpuan orang ramai. Juga ada kalanya diguna untuk menganjur majlis besar-besaran); dan Lutong Baru.

Perkataan-perkataan bahasa Iban seperti “indai” (ibu), “aki” (datuk),  “inik” (nenek), “kumang menoa” (ratu dunia), “jeman gelana” (zaman dahulu), “sepenemu” (sependapat), “igat” (adik atau anak bongsu dalam keluarga), “taboh” (alat-alat muzik berbentuk gong yang berjenis), “lelengau” (perasaan rindu), “gerobi tuai” (gadis yang meningkat usia) digunakan dan dijelaskan maknanya dalam Glosari di penghujung novel tersebut.

(Tiada dimasukkan dalam glosari makna “engkarumong” dan “bebendai”. Mungkin terlepas pandang?)

Selain menulis novel, Jaya juga banyak menulis puisi dan cerpen. Cerpen beliau berjudul “Sengai’ Ai Mati” misalnya, disiarkan dalam Antologi Sastera Sarawak Pelagus Jilid 1 (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak sempena sambutan jubli delima Sarawak, 2003) manakala dalam antologi “Penangkap Rama-rama dan Kelawar” (PUTERA, 2005) tiga buah cerpen beliau berjudul “Mereka, Iban yang Menyambut Pesta Gawai”, “Api Di lereng Pulau” dan “Ngayap” diterbitkan.

Jelas sekali, Jaya begitu selesa mengungkapkan perasaan dan pemikiran beliau tentang kaumnya sendiri iaitu Iban dalam cerpen dan novel beliau. Jaya merupakan beberapa orang penulis mutakhir yang cukup prolifik selain Poul Nanggang, Jaafar Hamdan, Dahiri Saini dan Buang Umar. Kegigihan beliau serta rakan-rakan seangkatan beliau telah menampakkan bagaimana penulis angkatan baharu ini beriltizam dalam penghasilan karya mereka sehingga berjaya menembusi peringkat kebangsaan. Ini penting kerana jangkauan khalayak mereka lebih meluas.

 

Sinopsis Senja Cinta Warisan


Novel setebal 357 halaman dan dibahagi kepada dua bahagian ini berkisar di sekitar watak utamanya Umang, seorang gadis Iban dari kawasan Tinjar di hulu Baram. Beliau berasal dari sebuah keluarga miskin di sebuah rumah panjang Iban. Perwatakan Umang dilukis oleh penulisnya sebagai seorang gadis yang bersemangat waja dan kental, bercita-cita tinggi lagi murni untuk merangkul segulung ijazah di menara gading di kota dan ingin membantu keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan. Umang juga dilukis sebagai seorang yang suka menolong orang dalam kesusahan.

Umang bertekad melanjutkan pelajarannya ke Universiti Curtin di Jalan Riam di Miri dalam jurusan pengurusan. Menyewa bilik di Wisma Tang Lung, berdekatan dengan Rumah Dayak, bersama-sama dengan lima orang gadis lain Rita, Ati, Muni, Sita dan Wenni. Keenam-enam sahabat ini, yang digambarkan sangat akrab, bekerja sambilan di sebuah kedai kopi milik Apek gendut.

Cerita bermula dengan suasana dalam sebuah pusat hiburan. Pada jam 4 pagi Umang mabuk teruk, terpaksa dipapah pulang ke bilik sewa mereka oleh rakan-rakannya Rita, Ati, Muni dan Sita. Wenni yang tidak menyertai mereka menyambut mereka di bilik sewa dengan leteran dan nasihat.

Dalam kekalutan di ruang tamu bilik sewa mereka itu, Sita pula menggamatkan keadaan untuk keluar lagi sekali untuk bersama teman lelaki yang menunggunya. Tegahan dan nasihat kawan-kawannya agar jangan pergi pada waktu sedemikian tidak diendahkannya.

Wenni tabah menasihat mereka manakala rakan-rakannya menzahirkan kekesalan mereka atas perbuatan tidak senonoh mereka itu.

Pada akhir bab berkenaan Sita pula digambar kembali dalam keadaan mabuk, dipapah oleh dua orang pemuda.

Umang dihantui penyesalan yang amat sangat, lantas bertekad untuk tidak mengulangi kebodohan diri sedemikian lagi. Pesanan bapanya Entalang, ibunya Jati serta abang dan adiknya membakar semangat untuk melangkah terus memburu kejayaan dalam hidupnya.

Peristiwa lain yang membuat semangatnya semakin menebal ialah apabila melihat kawannya Sita yang menzahirkan hasrat mahu pindah ke tempat lain kerana teman lelakinya mengajaknya kahwin. Kawan-kawannya kesal anak Tuai Rumah ini yang dari keluarga orang berada bertindak liar. Tidak seperti mereka, hampir dua bulan sekali orang tua Sita datang menghulurkan wang ringgit untuk perbelanjaan.

Masalah Sita semakin menjadi-jadi apabila menerima amaran terakhir dari pensyarahnya akibat prestasi kuliahnya yang semakin merosot. Apa jua nasihat kawan-kawannya tidak diendahkan oleh Sita sehinggakan mereka putus asa.

Semua ini menjadi ikhtibar bagi Umang. Beliau enggan semudah Sita menyerah kalah dalam menghadapi cabaran hidup.

Sebagai gadis yang cantik watak Umang dilakarkan oleh penulis ini sebagai calon berpotensi untuk memenangi pertandingan ratu cantik, dan digilai secara diam-diam oleh seorang jejaka dari keluarga orang kaya bernama Janaki, anak kepada Tan Sri Joshua Jampi, seorang usahawan berjaya.

Pada satu ketika Umang menolong seorang gadis bernama Johnna yang cedera teruk setelah berkelahi dengan dua orang lelaki. Umang membawanya ke hospital dan walaupun gadis itu orang yang tidak dikenalinya, ditunggunya sehingga orang tua gadis itu sampai.

Diceritakan kemudiannya Johnna itu anak Tan Sri Joshua yang kaya tadi dan adik kepada Janaki yang menaruh hati terhadap Umang. Janaki juga merupakan seorang penyair hebat yang menggunakan nama pena “Job” yang menambat minat kawan-kawan Umang.

Jasa baik Umang terhadap Johnna akhirnya memuncak kepada kejayaan Johnna membawa Umang dan rakan-rakannya ke banglo mereka dan lama kelamaan mereka semua menjadi akrab. Umang ditawarkan bekerja di syarikat keluarga kaya ini. Bibit-bibit pertemuan antara Umang dan Janaki menjadi agak kompleks apabila luahan hati Janaki tidak diterima Umang dengan mudah kerana Umang masih mengutamakan kerjayanya.

Janaki kecewa. Dia pun membawa diri dengan minum sehingga mabuk. Larangan kawannya Chew Ah Lai dan Inspektor Sham agar beliau usah memandu tidak didengarnya. Janaki maut dalam kemalangan bila keretanya bertembung dengan lori panjang di simpang yang lampu isyaratnya sudah rosak.

Cinta Janaki kepada Umang diluahkan dalam sekeping kertas yang kemudiannya diserahkan oleh Tan Sri Joshua kepada Umang. Terbetik rasa kesal yang amat sangat dalam diri Umang yang mulai sedar bahawa penolakan cinta Janaki olehnya mengakibatkan malang menimpa keluarga ini.

Pada mulanya Umang fikir Tan Sri Joshua marah kerana kematian Janaki berpunca dari cinta yang tidak dibalas. Sebaliknya Tan Sri Joshua menjadikan Umang anak angkat dan diarah mengambil alih tugas mendiang Janaki serta membantu Johnna menjalankan perniagaan yang kian berkembang. 

Ketika hidup Umang berbunga dalam melaksanakan tugasan hariannya ia juga dibaluti dengan kekalutan dengan beberapa orang lelaki yang meminatinya untuk mengambil dia sebagai isteri seperti Dr Unggam, YB Sebastian, dan seorang peguam Vincent Shai.

Lamaran Dr Unggam yang separuh umur ditolak oleh Umang. Sebastian pula mengecewakannya kerana didapati hendak bertunang dengan perempuan lain pada ketika Umang cuba untuk menerimanya.

Pada akhir cerita Umang bertunang dengan dengan Vincent Shai manakala kawan-kawan lainnya juga hidup selesa kecuali Sita yang menemui ajalnya. Wenni ke luar Negara mendalamkan ilmu dalam bidang kewartawanan, Muni dan Ati diberi kerja penting dalam oleh Umang dalam syarikat yang beliau uruskan bersama Johnna, manakala Rita berbahagia kahwin dengan Chew Ah Lai.

Walaupun jalan cerita kisah cinta ini agak terlalu idealis namun ia bertatahkan selitan nilai-nilai hidup yang baik untuk diteladani, sarat dengan pengajaran yang berguna terutama untuk golongan remaja serta memaparkan unsur-unsur budaya Iban yang bermanfaat untuk pengetahuan khalayak pembaca terutama mereka yang ingin mengenali budaya Iban.

 

 (BAHAGIAN 2)

 

Budaya Rakyat


Walaupun novel Senja Cinta Warisan karya Jaya Ramba ini ialah mengenai masyarakat Iban moden, apa yang beliau ketengahkan itu tidak jauh bezanya dengan apa yang berlaku dalam masyarakat lain di Sarawak ini dalam kalangan etnik dan subetnik seperti Melayu, Melanau, Bidayuh, Kayan, Lun Bawang, Bisaya, Kenyah, Penan, Punan, Jati Meirek, Kiput, Ukitan, dan seumpamanya, waima dalam kalangan masyarakat Cina dan India sekalipun di Sarawak ini.

Impicita, sifat dan sikap kaum Iban yang dilukis Jaya dalam novel ini juga wujud dalam kalangan rakyat lain di Bumi Kenyalang ini, cuma ada sedikit kelainannya di sana sini. Dalam perbezaan kita wujud kesamaan dalam nilai, aspirasi, harapan dan impian serta kebimbangan, keresahan dan kadang kalanya kekecewaan kita (Adi Badiozaman Tuah: Engaging Our Young Generation in Inter-Cultural Bonding: Challenges and Strategies, 2009).

Dalam Simposium Budaya Sarawak ke-5 yang diadakan di Kuching pada 17-18 Jun 2009 masyarakat Iban telah membuat beberapa rumusan, yang antara lainnya berbunyi:


Resolution 1 – To urge the Iban community to preserve and practice traditional values and to set aside those that are seen to be a hindrance to the development of Iban in facing the challenges of the modern world.

Resolution 2 – The Iban community is urged to change their current mind set and focus more towards self-reliance and community development. They need to adopt positive attitude and take proactive approach. The Iban are reminded to be more resilient when facing hardship and challenges as issues cannot be instantly resolved. Patience, unity and political will of the Iban community is demanded to achieve success.

(Romie Sigan Daniel: Kertas Resolusi Seminar Budaya Iban, 2009)


Setiap rakyat di Sarawak ini, khususnya, sudah membudayakan penekanan hidupan harian terhadap peri pentingnya kita kental memelihara dan mengamalkan nilai-nilai tradisional yang murni dan positif, serta mengikis mana-mana aspek yang menghalang kemajuan. Dalam aspek ini Jaya mengetengahkan sikap Entalang, bapa Umang. Pesannya kepada Umang:


“Ingat, berbelanja jangan mengikut perasaan. Jaga diri baik-baik. Jika ada masalah, cepat hubungi kampung. Satu lagi, usah melakukan perkara terlarang. Jangan sekali-kali cepat diracuni perbuatan orang lain.” (halaman 13)


Jelas minda dan fokus keluarga Iban dari Tinjar di hulu Baram ini moden sifatnya walaupun mereka menetap nun jauh di pedalaman.

Apabila Umang menerima surat dari keluarganya di kampung menzahirkan “tidak larat membayar pembelajaranku lagi” namun dia nekad mahu meneruskan cita-citanya untuk membuktikan sumpahnya untuk membawa segulung ijazah dalam bidang pengurusan pulang ke kampung tidak akan patah separuh jalan. Dia melaung semangat wajanya:


“Aku tidak sanggup melangkah setengah jalan. Walaupun duri, walaupun jurang dan lautan ganas di depan, akan aku harungi. Aku cuma ada peluang ini. Aku tidak tahan melihat mangsa miskin di kampung berterusan.” (halaman 23)


Jaya Ramba juga melukis bagaimana ibu bapa dan sanak saudara Umang amat menyokong hasrat Umang untuk menimba ilmu di menara gading. Masyarakat sekeliling ternyata sekali mementingkan pendidikan seperti yang terpancar dalam dialog Entalang:


“Lihatlah anakku, mereka menggadai harta. Aku, orang tua kamu sudah papa kedana hanya kerana menanggung sekolahmu. Tetapi tidak apa, biar tidak berharta sekali, asalkan kamu beroleh ilmu, beroleh sekalung ijazah untuk kami.” (halaman 12)  
 

Pengorbanan orang tua berlaku dalam mana-mana masyarakat. Dalam hal ini Jaya Ramba mengimbau kembali kenangan masa silam kebanyakan orang yang berjaya dalam masyarakat hari ini yang sudah ramai menjadi tersohor baik sebagai tokoh korporat, penjawat awam, teknokrat dan birokrat.

Sehubungan dengan ini saya teringat dalam kembara saya ke Shanghai, China dua tahun lepas ketika saya membuat liputan misi perdagangan Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak (PUSAKA) saya mendapati rupanya Duta Malaysia ke Shanghai Hendy Assan berasal dari Kampung Jambusan di Bau berketurunan Bidayuh-Hakka.

Apabila saya membaca novel Jaya Ramba ini saya terbayangkan mungkin dialog ibu bapanya semasa beliau sekolah dahulu agak-agaknya macam dialog Entalang itu, kurang lebihnya.  Warna kental budaya tempatan yang dilukiskan oleh Jaya Ramba dalam novel beliau menghias jalan cerita kisah cinta ini sehingga menjadi semakin menarik.

Kita selalu menyaksikan pertandingan ratu cantik yang diadakan terutama sekali pada musim perayaan Gawai Dayak. Pemilihan kumang (ratu) dan keling (wira) selalunya merupakan acara yang cukup berwarna-warni. Dalam novel ini Jaya Ramba mengajak kita menjengah inti pati pemilihan Kumang itu seperti yang diluahkan melalui juruacara majlis ketika Umang dinobatkan sebagai Kumang Menoa:
 

“Lihatlah lemah lembut gadis Iban. Pandanglah berpandukan pengertian yang mendalam. Gayanya penuh terhormat. Penuh sopan santun. Cukup dengan adat. Cukup hiasan jati diri. Perhatikan lenggok tubuh. Hayunan perlahan kaki. Gerakan lengan. Lengkap dengan hiasan dari puncak kepala hingga ke hujung kaki. Ketukan alat-alat menyarungi badan mempesona sekali.” (halaman 120 dan 121).
 

Jati, ibu Janaki, memuji kejayaan Umang dalam pertandingan itu. Jelas sekali bagi masyarakat Iban kemenangan dalam pertandingan bukan kecil maknanya:

 
“Kejayaan kamu mengangkat martabat bangsa kita. Menghidupkan kembali zaman asli keturuan bangsa kita.”


Tan Sri Joshua pula menerima kemenangan itu dengan kebanggaan yang tidak terkira:


“Uncle tidak terkira girangnya. Inilah yang uncle hendak.Uncle dapat juga mencari permata yang hampir lenyap. Tidak Iban hilang di dunia. Sebenarnya, uncle berbesar hati jadikan kamu semua sebagai anak angkat.”


Novel ini juga memperincikan ngajat yang diiringi petikan sape seperti yang diungkapkan oleh Umi kepada Umang dan kawan-kawannya:

 
“Irama itu ada tempo yang bermaksud. Tingkah detik begitu ada hubungan dengankelembutan ayunan tangan, langkah kaki dan lenggok tubuh. Setiap petikan sape diselangi hentiannya, menandakan ada kalanya gerakan menyamai tempo. Namun tidak sekali-kali tarian dicacati dengan gaya lain. Cuma lenggok dan lengan serta kaki dimainkan. Hentakan kaki ke lantai ada kalanya berterusan. Tetapi sering kali bergerak tanpa menghasilkan bunyi. Kepala sama sekali anggota penting memainkan cantuman dengan anggota lain. Tonjolkan wajah ceria, senyuman mestinya ada makna dan lambang.” (halaman 163).


Dalam Bab 16 keperincian tarian ngajat kaum wanitalah yang diharapkan untuk menyimpan harta pusaka keturunan itu seperti yang diungkapkan oleh Nek Nap:
 

“Malah gabungan Irama dan tarian salah satu senjata hidup melambangkan perwatakan kita sebagai wanita. Semestinya kelebihan diri dengan adanya ilmu dalam hidup ini bakal menjadi pusaka kehidupan. Kemudian berhak diturunkan kepada waris kita. Tarian kita sentiment bangsa. Irama lagu kita juga seasli budaya yang tidak lenyap dek zaman. Sebagai wanita kita bak kotak besi yang menyimpan harta pusaka keturunan. Nak harapkan kaum lelaki, mereka kian jauh terpesong akibat dunia luar. Tidak semestinya juga suami diberi tanggungjawab itu. Kita sebagai pendidik yang dekat dengan anak-anak, patut menyerahkan pula ilmu diri.” (halaman 198)

 
 
Penutup
 
Satu hal yang menarik mengenai novel ini ialah selain mengadunkan kisah cinta yang biasa ia diolah sebegitu menarik dengan menyelit unsur-unsur budaya yang menarik dan unik serta menggambarkan world-view watak-wataknya yang peka terhadap cabaran globalisasi dan liberalisasi masa kini dan masa depan.
Perlukisan watak-watak juga menyelitkan kemajmukan masyarakat kita seperti pergaulan baik Umang dengan Vincent Shai, Dr Unggam, Sebastian, Chew Ah Lai dan lain-lain.
Yang ketara, secara tidak langsung perlakuan watak-watak yang dipaparkan bagai tindakan anak Bumi Kenyalang mendayung perahu-perahu pelbagai kaum dalam sungai budaya Sarawak untuk membangun Negara-bangsa Malaysia.
 
 

*Kertas Kerja dibentang pada Perhimpunan Karyawan Sarawak 2013 di hotel Penview, Kuching yang berlangsung pada 29-31 Mac 2013

 

 
BIODATA
 

  • WILLIAM CHAN KHUN NENG ialah Ketua Editor Kumpulan Utusan Sarawak & New Sarawak Tribune.
  • Lahir di Kampung Dagang, Miri pada 10 Disember 1956.
  • Antologi puisi beliau “Dalam Persinggahan” memenangi tempat ketiga Peraduan Mengarang Sastera Kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak pada tahun 1984. Antologi itu kemudian dibukukan dalam antologi LAGU KENANGAN terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada 1986.
  • Antologi perseorangan beliau “Menara Budi” diterbitkan oleh PUTERA pada tahun 2000.
  • Kertas kerja beliau “Ke Arah Pengglobalisasian Sastera” (1996), “Pengalaman Sebagai Penyair”, (1999), dan “PUTERA: Sesuku Abad Memugar Kesinambungan Sastera Di Sarawak” (2005)  boleh dilayari dalam wilhamniah.blogspot.com.
  • Ahli Lembaga Pentadbiran Malaysian Press Institute (MPI).
  • Ahli Commonwealth Journalist Association (CJA).
  • Banyak mengembara ke luar Negara seperti Australia, Kemboja, Indonesia, Brunei, Singapura, Guangzhou, Shanghai dan Paris.
  • Berkecimpung dalam bidang sastera sejak tahun 1970.
 


Rujukan
 
Safian Hussain, 1988. Glosari Istilah Kesusasteraan. DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
 
Romie Sigan Daniel, 2009. Laporan Simposium Budaya Iban. DAYAK CULTURAL FOUNDATION
 
Adi Badiozaman Tuah, 2009. Simposium Budaya Sarawak 5. MAJLIS ISLAM Sarawak
 
Sanib Haji Said, 2009. Laporan Simposium Budaya Melayu. YAYASAN BUDAYA MELAYU SARAWAK.
 
 
 

1 ulasan:

  1. Terima kasih PEKASA Sarawak atas kesudian menerbitkan Kertas Kerja saya. Semoga usaha sebegini diteruskan untuk rujukan pada masa depan.

    BalasPadam