Jumaat, 5 April 2013

Kembali Menggali dan Menilai Tradisi: Memperkasakan daya kepengarangan penulis muda Sarawak


Oleh: Zainal Abidin Hj. Suhaili (Abizai)


Kucari tanah yang subur

di negeri makmur tradisi bangsa

kuterpukau asyik oleh bisik

kebijaksanaan seni leluhur

menyusun pesan dan tamsilan

dalam keindahan kata dan makna.


Pengenalan

Dalam persaingan untuk menempatkan diri di puncak persada sastera kebangsaan, para penulis muda Sarawak mestilah berani dan yakin melangkah ke hadapan. Tidak lagi mengeluh tentang kekurangan ruang dan peluang untuk menonjolkan diri setara dengan penulis negeri-negeri lain. Mereka haruslah berusaha gigih dan mengambil berat tentang proses memperkasakan daya pengarangan dan pemantapan karya. Menulis merupakan kerja yang rumit, serius dan memerlukan banyak penelitian dan perhatian.

Kerja menulis umpama bercucuk tanam. Sebelum memulakan kerja bercucuk tanam, segala keperluan dan peralatan perlu lengkap, seperti benih yang baik, tanah yang subur, cangkul, batas, tapak semaian dan sebagainya. Selepas tanaman berpucuk   baja, saliran dan penjagaan yang rapi mestilah dilakukan agar ia tumbuh segar, berbunga dan berbuah serta bebas daripada penyakit. Manakala setelah menghasilkan buah dan  bakal dipersembahkan kepada khalayak, soalan-soalan ini haruslah dikemukakan oleh penulis kepada diri : apakah buah yang terhasil mempunyai mempunyai bentuk yang berbeza dan kelainan berbanding buah-buah lain? Bolehkah menarik minat khalayak untuk mencapainya?. Bagaimanakah pula rasanya, mampukah memukaukan selera pembaca? Selepas menghadamnya, apakah pula zat dan khasiat yang terkandung di dalam dan kekal meninggalkan kesan?      

Benih yang baik adalah ilham atau idea untuk memulakan penulisan. Benih yang  baik perlukan tanah yang subur. Tanah yang subur pula merupakan tempat rujukan atau pusat perhatian kepada sumber pengolahan karya. Pengumpulan bahan atau fakta sebelum memulakan sebuah penulisan amat penting untuk melancarkan setiap tulisan. Dengan cara menjadi seorang peneliti dan pentafsir yang baik juga dapat melahirkan tulisan yang berilmu dan berwawasan.  

Persoalan yang penting sekarang di manakah letaknya tanah yang subur tersebut. Segala ilmu atau fakta yang hendak ditulis bukan datang sendiri tetapi harus dicari dan digali. Wajarkah para pengarang terus mengarah atau merujuk ke dunia barat? Menggali dan menghayati tradisi serta ilmu yang asing kepada budaya dan pegangan hidup masyarakat timur tetapi sering dipandang dominan, tinggi dan unggul. Sekiranya mahu kesusasteraan kita menjadi besar dan berperibadi tinggi, perjalanan mencari tanah subur ini haruslah menuju ke pelbagai arah dan akhirnya wajar kembali ke negeri tradisi bangsa sendiri. Di negeri  ini akan ditemui tanah subur yang merupakan teks sastera tradisi bangsa yang wajar dijadikan panduan dan warisan dalam kehidupan.  

 

Teks sastera tradisi sebagai sumber pengolahan karya sastera

Teks sastera tradisi  atau teks Melayu klasik mengungkapkan pelbagai pemikiran, pandangan dan falsafah hidup masyarakat Melayu di  Nusantara dahulu kala. Di dalamnya tercatat fakta sejarah, gambaran tentang sosial, ekonomi dan politik orang Melayu dan sebagainya yang diceritakan dalam satu pendekatan yang menarik. Unsur-unsur sejarah berbaur dengan bentuk cerita ibarat, legenda dan mitos . Karya-karya ini  dihasilkan pengarang sejarah tradisional yang mempunyai pelbagai pengalaman merentasi alam dan zaman.  Pengalaman mereka dijadikan prosa atau puisi dan diadun dengan unsur-unsur pengajaran,moral atau ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya. Pengarang-pengarang ini juga amat mementingkan nilai-nilai estetika dalam karya-karya mereka.

Banyak teks Melayu tradisional yang boleh dan sesuai diambil sebagai sumber pengolahan karya sastera. Antaranya ialah Sejarah Melayu, Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat al-Nafis, Syair Sultan Maulana, Hikayat Malim Deman, Syair Raja Ali Haji, Syair Perahu, Hikayat Raja Muda, Syair Siti Zubaidah, Syair Dandan Setia dan lain-lain lagi. Menurut Mustafa Mohd Isa (1999: 2), hingga setakat ini diketahui ada lebih kurang lima puluh buah naskhah Melayu klasik dalam bentuk prosa dan puisi yang boleh digolongkan sebagai karya-karya sastera sejarah. Naskhah-naskhah ini masih tersimpan dalam perpustakaan terkenal dalam bidang Pengajian Melayu.

 Para pengarang muda Sarawak wajar menggali, menghayati karya-karya ini yang dianggap agung dan  menjadi rujukan dan landasan buat melangkah ke arah kemajuan yang mahu diterokai. Ciri-ciri khusus karya agung seperti yang digariskan oleh Hassan Ahmad (Noriah Mohamed, 2011: 22)  yang terdapat dalam karya-karya ini hendaklah diteliti dan dikenal pasti:


  1. Lambang dan pesanan yang hendak disampaikan
  2. Nilai budaya dan pandangan hidup
  3. Nilai Ilmu
  4. Teknik Kepengarangan
  5. Seni Bahasa
 
Langkah seterusnya ialah   memilih kisah-kisah dan unsur-unsur tradisi yang dianggap relevan dengan keadaan dan pergolakan semasa dalam mendukung wawasan estetik dan pemikiran moden. Proses pengubahsuaian dan penilaian semula daripada yang lama  dilakukan agar bentuk baharu, elemen baharu dan makna baharu menjelma dalam karya untuk diketengahkan kepada khalayak. Pelbagai kisah, cerita dan episod yang menarik dan penuh tamsilan boleh dikutip dan diberikan nafas baharu dan tafsiran semula serta dapat dikaitkan dengan perkembangan zaman terkini. Dalam Sejarah Melayu sendiri terdapat 34 cerita yang amat menakjubkan dan memiliki keunikannya yang tersendiri. Antaranya ialah cerita Raja Iskandar Zulkarnain, Cerita Wan Empuk dan Wan Malini, cerita Sang Nila Utama, cerita Raja Pasai, Cerita zaman kegemilangan dan kejatuhan Melaka dan lain-lain lagi.

Proses penyingkapan tradisi ini juga harus berlangsung dengan penuh kreatif untuk keperluan inovasi dalam bentuk gaya pengucapan dan pengisian. Imej-imej watak, lambang-lambang mitos dan motif-motif yang terdapat dalam karya-karya tradisi ini boleh digunakan untuk menyatakan pandangan dan pegangan hidupnya sebagai pengarang moden.

Pengarang muda Sarawak haruslah berusaha gigih untuk muncul sebagai pengarang yang bernas, bijak berimaginasi, banyak membaca, dan berfikiran kreatif jika mahu menghasilkan karya-karya sebegini. Prosesnya pasti berliku, seperti yang dinyatakan oleh Ali Ahmad dan Siti Hajar Che Man (2005 : 161), Bukan senang untuk mengambil, kemudian mengungkapkan atau mengadaptasi bentuk sastera yang memperlihatkan kewujudan pengaruh karya asal dengan sesuatu yang bersifat mitos, legenda, atau sejarah bangsa untuk dijadikan elemen baharu, jalinan baharu, bentuk baharu dan mesej baharu di alaf baharu.

Bahasa penceritaannya yang halus dan diselitkan dengan syair, pantun, gurindam, peribahasa, mantera dan bahasa berirama amat sesuai dijadikan panduan  dalam  inovasi menjalinkan unsur-unsur bahasa, bentuk dan pemikiran dalam penulisan. Menurut Muhammad Haji Salleh (2008 : 191), Pantun hadir antara manusia Nusantara sebagai sebuah taman terindah bahasa yang sentiasa dikunjungi mereka. Pantun sentiasa kekal di dalam ingatan dan muncul dalam ucapan,  nyanyian dan majlis keramaian.  Muhammad Hj. Salleh turut (2008 : 133) menegaskan bahawa dalam rentangan pemikiran asas bangsa Melayu/Nusantara, peribahasa dan pantunlah yang menjadi wadah terpenting. Dengan logika, kebijaksanaan kolektif puisi baris-barisnya melukiskan jiwa bangsa, memberi suara kepada persoalan  yang dihadapi, secara bersambungan, untuk beberapa ratus kurun, malah ribuan, dalam hal praktikal dan perasaan, jasmaniah dan rohaniah, yang akhirnya diterjemahkan ke dalam pelbagai jalur perasaan lain.

            Usaha menghasilkan karya-karya moden yang  bersumberkan teks sastera tradisi seperti ini telah pun dilakukan dengan jayanya oleh beberapa orang penulis. Antaranya ialah Muhammad Haji Salleh melalui kumpulan puisi Sajak-sajak Sejarah Melayu, Zaihasra, kumpulan puisi Balada Tun Fatimah, Zurinah Hassan, kumpulan puisi Salasilah, Anwar Ridwan menerusi kumpulan cerpen Naratif Ogonshoto.

            Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak dan persatuan-persatuan penulis di Sarawak juga perlu memainkan peranan penting dalam menggalak, memupuk dan membimbing para pengarang muda ke arah penghasilan karya-karya sedemikian. Bengkel penulisan khas yang mewajibkan para peserta menghasilkan karya sama ada dalam bentuk puisi, cerpen atau novel bersumberkan teks sastera tradisi pilihan masing-masing wajar dianjurkan. Melalui bengkel ini para penulis muda akan dapat lebih mengenali dan  menghayati teks sastera tersebut dan yang lebih penting mereka mampu menghasilkan manuskrip yang bersumberkan tradisi bangsanya sendiri yang kaya dengan warisan, kesantunan, kebijaksanaan dan keindahan.


Kesimpulan

            Seperti yang dinyatakan pada awal perbincangan, kerja menulis umpama bercucuk tanam. Setelah menemui tanah yang subur sebagai sumber pengolahan karya, benih pun berpucuk, membesar, berbunga dan akhirnya berbuah. Buah tersebut sudah tentunya  menjanjikan sesuatu yang menarik dan berlainan kerana terhasil daripada  pengubahsuaian dan penilaian semula daripada yang lama   kepada bentuk, elemen  dan makna baharu. Menghayati karya-karya sebegini  tentunya akan memberikan pengalaman berbeza kepada khalayak yang menikmatinya. Zat dan khasiat yang mengandungi keindahan bahasa dan makna di dalamnya diharapkan bakal memberikan kesan yang ’lazat’ kepada para pembaca. Perbincangan tentang usaha menggali dan menilai kembali tradisi ini diharapkan akan membuka minda para penulis muda Sarawak yang berbakat dan berani menghadapi cabaran ke arah mengukuh dan memperkasakan daya kepengarangan mereka.
 

BIBLIOGRAFI

Ali Ahmad & Siti Hajar Che Man, 2005. ”Kehadiran Unsur-unsur Lama dalam Genre Moden” dlm. Kesusasteraan Tradisional Asia Tenggara selengaraan Zaiton Ajamain dan Norazian Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Haji Salleh, 2008. Sastera Sebagai Ruang Bangsa. Kuala Lumpu: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mustafa Mohd Isa, 1999. Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Noriah Mohamed. “Karya Agung”. Dewan Sastera November 2011 : 22.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan