Jumaat, 5 April 2013

BUDAYA SUMBER KEINTELEKTUALAN KARYA SASTERA PENULIS SARAWAK


oleh Hamzah Hamdani (GAPENA)
 

Perhimpunan Karyawan Sarawak 2013 anjuran Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) pada 29-31 Mac 2013 di Hotel Penview, Kuching, memilih tema “Memperkasakan Karyawan, Memperkukuhkan Keintelektualan”. Terima kasih atas kesempatan yang diberikan untuk sama-sama berkongsi pandangan dan pengalaman dalam permasalahan, visi dan misi yang menjadi fokus pertemuan ini. Daya usaha melaksanakan program tahunan ini adalah keupayaan untuk menggerakkan ahli PEKASA khususnya, dan para penulis Sarawak umumnya, meneruskan perjuangan dalam dunia kesusasteraan kebangsaan bagi memperbanyakkan karya yang berkualiti tinggi untuk memperkayakan khazanah peradaban bangsa.

Sebelum kami menelusuri artifak dan nilai budaya sebagai sumber keintelektualan para penulis, kita bincangkan terlebih dahulu mengenai pemahaman terhadap pengertian daripada tema yang diutarakan. Tema “Memperkasakan Karyawan, Memperkukuhkan Keintelektualan” , pada hemat kami, cuba menegaskan keperluan terhadap ‘keintelektualan’ dalam jiwa penulis. Kesedaran untuk memperkukuhkan keintelektualan akan memperkasakan karyawan (para penulis). Menurut Kamus Dewan, intelektual ialah golongan terpelajar, cerdik pandai atau cendekiawan. Keintelektualan ialah perihal (kemampuan) menggunakan intelek atau akal budi. Intelektualisme ialah pengabdian kepada penggunaan intelek atau daya berfikir. Inteligensia pula ialah kaum intelek, kaum cerdik pandai atau cendekiawan. (Kamus Dewan, 1996: 495) Jadi apa yang harus difahami, dihayati dan diperjuangkan ialah peranan intelektual di kalangan para penulis. Ketinggian daya intelek akan sekali gus memperkasakan kualiti para penulis dalam pemikiran dan penciptaan karya mereka.

          Pada tanggapan umum, golongan intelek ialah mereka yang mendapat pendidikan tinggi hingga ke tahap universiti (walaupun pada hakikat sebenarnya tidak demikian). Menurut Mohammad Hatta, “…kaum inteligensia tidak dapat (=tidak harus) bersikap pasif, menyerahkan segala-galanya kepada mereka yang kebetulan menduduki jabatan yang memimpin dalam negara dan masyarakat. Kaum inteligensia adalah bagian daripada rakyat, warga negara yang sama-sama mempunyai hak dan kewajiban. Sebagai warga negara yang terpelajar, yang tahu menimbang buruk dan baik, yang tahu menguji benar dan salah dengan pendapat yang beralasan, tanggungjawabnya adalah intelektual dan moral. Intelektual, kerana mereka dianggap golongan yang mengetahui; moral, kerana masalah ini mengenai keselamatan masyarakat, sekarang dan kemudian.” (Mohammad Hatta, 1984: 15)

          Sehubungan itu, Soedjatmoko mengatakan, “Sang intelektual itu ditampilkan sebagai pembawa modenisasi, penggerak ke arah tujuan-tujuan dan maksud-maksud baru, maupun pendorong munculnya pendapat-pendapat yang saling berlawanan.” (Soedjatmoko, 1984: 25-26) Dalam melaksanakan peranan tersebut, dijelaskan oleh Alfian yang mengatakan, “Yang dimaksud dengan cendekiawan dalam pengertian di atas ialah mereka yang berusaha menghasilkan pemikiran-pemikiran yang objektif tentang dan berguna bagi pertumbuhan dan perkembangan masyarakat atau kemanusiaan pada umumnya, dan pemikiran-pemikiran itu mereka komunikasikan kepada orang lain.

Kemampuan untuk mempunyai pemikiran-pemikiran tentang masyarakat sangat ditentukan oleh adanya pengetahuan yang mendalam serta luas tentang masyarakat itu, dari mana si cendekiawan akan dapat melihat masalah-masalah yang ada dan muncul di dalamnya melalui mana ia mungkin akan mampu mengemukakan berbagai macam alternatif  buat memecahkannya. Sejalan dengan itu, cendekiawan, dalam pengertian ini, tidak hanya terbatas pada mereka yang berada di lingkungan universiti, melainkan juga termasuk siapa saja yang mampu mengemukakan pemikiran-pemikiran yang objektif.

Mereka mungkin sarjana, pegawai, tentera, ulama, pendeta, politikus, mahasiswa, guru sekolah, seniman, wartawan, dan entah apa lagi namanya.” (Alfian, 1974: 523-524) Edward W. Said menegaskan bahawa, “…intelektual adalah individu yang dikurniai bakat untuk merepresentasikan, mengekspresikan dan mengartikulasikan pesan, pandangan, sikap, filosofi dan pendapatnya kepada publik. Intelektual memainkan peranan tersebut berdasarkan prinsip: semua manusia berhak mengharapkan standard perilaku yang layak sehubungan dengan kebebasan dan keadilan dari penguasa dunia atau negara-negara. Dan kerana itu kekerasan yang disengaja atau yang tanpa tujuan sekalipun terhadap standard-standard tersebut perlu diuji dan ditentang secara berani..” (Edward W. Said, 1998: 7)

          Dengan peranan yang demikian, golongan cendekiawan sewajarnya bergerak sebagai pemikir bangsa yang bebas tanpa ikatan dengan  mana-mana parti politik, yang tentunya akan mengikat pandangannya berdasarkan ideologi parti politik yang dianggotainya. Oleh kerana itu Ali Syariati mengatakan, “…tanggungjawab pokok cendekiawan adalah membangkitkan dan membangun masyarakat, bukan memegang kepemimpinan politik negara. Bila masyarakat dibimbing dan dibangunkan secara benar, dia akan dapat melahirkan pahlawan-pahlawan yang cukup tangguh untuk memerintah dan membimbing masyarakat. Jadi tugas intelektual adalah melanjutkan kewajiban dalam membangunkan dan menerangi masyarakat sampai masyarakat mampu memproduksi peribadi-peribadi seperti di atas.“(Ali Syariati, 1984: 250) Selanjutnya beliau menegaskan  bahawa, “Peranan anda (intelektual) adalah membantu masyarakat agar berkembang lebih cepat dengan cara mengenalnya, mempengaruhinya, dan memanfaatkannya, serta mengaktifkan organ-organ dan hubungan sosialnya, sehingga ia tidak tertinggal di belakang di dunia morden.” (1984: 258)

          Sehubungan dengan topik perbincangan makalah ini, iaitu kaitan peranan karyawan sastera sebagai golongan intelektual dengan budaya, kami ingin merujuk kepada pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia, mengenai peranan kembar golongan penulis. “Saya melihat sastera dan sasterawan kita di masa lalu telah  memainkan dua peranan kembar. Pertama, mereka telah mempertahankan jati diri kebangsaan dengan memperkasakan bahasa dan sastera Melayu, walaupun kita belum berpuas hati dengan mutu dan kemajuan bahasa dan sastera Melayu itu. Peranan mereka yang kedua ialah turut mempelopori modenisasi, iaitu memperkenalkan nilai-nilai moden supaya bangsa kita dapat menyesuaikan diri dengan kemajuan zaman, walaupun kita belum boleh berpuas hati dengan kemajuan yang telah kita capai setakat ini.

Harapan saya ialah supaya dua peranan kembar tersebut diteruskan oleh karyawan-karyawan sastera zaman sekarang, iaitu dengan menggabungkan  rasa bangga terhadap nilai-nilai tradisi dan mempunyai sikap yang terbuka terhadap unsur-unsur modenisasi.Kita tidak boleh terlalu taksub dengan keinginan hendak mempertahankan jati diri sahaja. Sambil menutup mata terhadap realiti dan perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Dan kita juga tidak boleh membiarkan diri kita hanyut oleh arus modenisasi dan nilai-nilai luaran yang merugikan sambil kita mengabaikan nilai-nilai positif yang sedia ada dalam budaya kita. Sebaliknya kita – khususnya masyarakat sastera – mestilah mencari keseimbangan yang dinamis atau mewujudkan dynamic-equilibrium dalam usaha kita memainkan dua peranan kembar tadi.” (Mahathir Mohamad, 2003: 6)

          Apabila kita meneliti sejarah perkembangan kesusasteraan moden kita, para penulis telah memainkan dua peranan tersebut. Sejak Munsyi Abdullah menghasilkan Hikayat Abdullah (1849), beliau telah menyatakan fikiran-fikiran mengenai kepentingan bahasa Melayu yang diabaikan oleh bangsa Melayu sendiri, dan membawa fikiran-fikiran moden yang positif yang dipelajarinya daripada teman-temannya dari Barat, sama ada di Melaka mahupun di Singapura. Penulis-penulis Melayu yang muncul sejak dekad 1920-an juga memainkan peranan tersebut, terutama untuk menyedarkan bangsanya terhadap ancaman penjajahan politik dan  budaya Barat dan kelemahan dari segi ekonomi yang dikuasai oleh pendatang-pendatang dari China.

Pada dekad 1950-an, selepas Perang Dunia Kedua, golongan penulis, terutama yang bergerak dalam ASAS ’50, seperti Keris Mas dan Usman Awang, secara sedar berjuang melalui slogan “Seni untuk Masyarakat”. Tema karya-karya mereka berfokus ke arah untuk menyedarkan masyarakat tentang kedudukan politik, ekonomi dan sosial yang tertekan di bawah kuasa penjajah. Golongan penulis tersebut bukanlah mereka yang mendapat pendidikan tinggi, namun secara sedar mereka telah memainkan peranan sebagai golongan intelektual, yang memahami masalah masyarakat dan berusaha mencari jalan penyelesaian untuk memajukan masyarakat yang sedang mengalami perjuangan untuk memerdekakan tanah air, dan membuat perubahan untuk kemajuan masyarakat yang tidak bertentangan dengan jati diri bangsa Melayu dan nilai-nilai ketimuran.

          Dalam makalah ini akan dibincangkan beberapa karya penulis Sarawak yang berkaitan dengan budaya, dan tanggapan terhadapnya sehubungan dengan keintelektualan yang ‘memperkasakan’ kewujudan penulis tersebut dalam perkembangan kesusasteraan di Sarawak khususnya dan di Malaysia umumnya. Tanggapan tersebut hanyalah gambaran sekilas kerana ruang pembicaraan yang terbatas.

          Ahmad Shawal bin Abdul Hamid yang menjadi jurutulis kepada Kerajaan Brooke, dan guru bahasa Melayu kepada pegawai-pegawai Kerajaan Brooke, telah menghasilkan novel Hikayat Panglima Nikosa (Mendapat Kesusahan Waktu Perang Sampai Mendapat Kemenangan) dan menerbitkannya di Kuching, Sarawak, pada tahun 1876. Novel ini menceritakan kisah Nikosa berjuang menghapuskan musuh-musuh yang mengganggu penduduk kampungnya.

Ketika berusia 30 tahun, Nikosa dilantik sebagai ketua dengan gelar Panglima Besar. Dalam tempoh waktu 12 tahun baharulah semua musuh dapat dikalahkannya. Nikosa telah membina perkampungan baharu yang dinamakan Jalanan Baharu. Setelah tiga tahun, kampung itu mencapai kemakmuran yang gemilang.

          Bahagian kedua kisah ini amat menarik hati kerana di sinilah tergambar dengan jelas ‘warna’ Sarawak. Panglima Nikosa yang telah mencapai kejayaan dalam hidupnya telah memberi nasihat kepada Pilina, pemuda yang berasal dari sebuah kampung di pinggir Sungai Tuku, mengenai cara-cara membina hidup yang cemerlang. Panglima Nikosa menasihati Pilina mengusahakan pertanian secara bergilir dan sistematik untuk menjaga kesuburan tanah.

Untuk tanaman jangka panjang, Pilina hendaklah menanam mulong (rumbia) bagi mendapatkan lemanta (sagu). Tanaman yang disebutkan seperti padi huma, angkalak dan mulong adalah tanaman yang terdapat di Sarawak. Sehubungan itu, R.H.W. Reece dan P.L. Thomas mengatakan, “Generally speaking, it is in line with the transition which was then taking place among the Malays of north-west Borneo from a fishing and hunting economy to an agricultural economy in which trading was important.” (1983: 12)

          Walaupun pengarang tidak menyebutkan dengan jelas mengenai zaman berlakunya cerita Panglima Nikosa ini, namun ada tanda-tanda yang menunjukkan zaman setelah datangnya orang Barat ke Sarawak kerana ada disebutkan tentang senapang dan penggunaan istilah masa seperti tahun, bulan dan jam. Pengarangnya sudah terdedah kepada pengaruh cara hidup orang Barat yang mementingkan unsur masa. Sistem pertanian untuk perdagangan yang disarankan oleh pengarang melalui watak Panglima Nikosa juga hasil daripada pendedahan tersebut. Pengarang memberikan penekanannya terhadap pendidikan (membaca dan menulis), menyimpan wang dan sistem pertanian untuk perdagangan.

Saranan pengarang melalui watak Panglima Nikosa kepada Pilina mengenai cara-cara menjalankan pertanian bergilir dan sistematik serta tanaman jangka panjang (mulong) yang menghasilkan pendapatan (wang) untuk hari tua, adalah pandangan pengarang untuk diamalkan oleh masyarakat yang mulai terdedah kepada pertanian ‘moden’ setelah Sarawak diperintah oleh Kerajaan Brooke. Sebagai orang yang ada ilmu pengetahuan kerana hubungan rapat dengan pentadbiran Kerajaan Brooke, Ahmad Shawal bin Abdul Hamid adalah golongan intelektual pada zaman itu. Jadi beliau menggunakan karya sastera sebagai media untuk menyampaikan pemikirannya mengenai cadangan perubahan daripada budaya pertanian  bersifat sara diri kepada budaya pertanian bersifat perdagangan.

          Pada tahun 1930, Muhammad Rakawi Yusuf  yang menjadi ahli dalam Majlis Perbandaran Kuching dan ahli Persaudaraan Sahabat Pena Malaya cawangan Kuching, bersama-sama beberapa orang sahabatnya telah menerbitkan akhbar Fajar Sarawak. Tujuannya adalah untuk membela nasib orang Melayu dalam bidang ekonomi, kebajikan dan pelajaran. Antara kandungannya, akhbar tersebut menyeru agar kerajaan membelanjakan lebih banyak wang untuk membiayai pelajaran anak-anak Melayu. Namun akhbar tersebut hanya dapat diterbitkan sebanyak sepuluh keluaran sahaja.

 

          Untuk meneruskan perjuangannya dalam membuat perubahan minda masyarakat, Muhammad Rakawi Yusuf menyalurkan idea-ideanya dalam novelnya yang berjudul Melati Sarawak (1932). Walaupun ia adalah novel yang awal di Sarawak, namun pengarang tidak menyadur karya-karya novel yang telah diterbitkan di Tanah Melayu. Persoalan, perwatakan dan latar  yang dikemukakan pengarang adalah bernafaskan kehidupan semasa rakyat Sarawak. Pengarang menggunakan bentuk sastera ini untuk menyedarkan masyarakat yang masih terlena dalam keseronokan hidup (berhibur) agar berjuang membaiki taraf hidup mereka.

Dalam pengantar novel tersebut, pengarang mengatakan, “Adapun cerita ini sengaja penulis karangkan dengan kehendak supaya menjadi cermin kepada kaum dan bangsa yang ada mempunyai segala tabiat seperti yang ada tersebut di dalamnya.” (Muhammad Rakawi Yusuf, 1980: xv) Sehubungan itu, Phillip L. Thomas berpendapat, “:Jikalau Melati Sarawak dibaca sebagai karya yang bertujuan mengadakan perbaikan dan perubahan dalam masyarakat, maka institusi utama yang ingin diperbetulkan oleh pengarangnya ialah ‘gendang perempuan’.” (1980: viii)

          Sebagai seorang yang berpendidikan, Muhammad Rakawi Yusuf menyedari kemunduran bangsanya apabila dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain. Pada hemat  beliau, permainan gendang perempuan adalah punca utama yang menyebabkan kelalaian anak-anak muda bangsanya daripada mengejar kemajuan. Melalui novel ini, pengarang mahu menyedarkan masyarakat agar menyedari keburukan-keburukan permainan gendang perempuan atau bermukun.

Tradisi permainan gendang perempuan adalah seni rakyat yang popular di Sarawk pada zaman itu, yang bertujuan untuk memeriahkan sesuatu majlis seperti majlis perkahwinan dan sebagainya. Sebenarnya permainan ini diberi nama Gendang Melayu. Oleh kerana pemukul gendang terdiri daripada kaum perempuan, maka permainan ini popular dikenali sebagai gendang perempuan atau istilah lainya, ‘kulit kambing kering’.

          Novel ini menggambarkan kisah percintaan di antara Harun dengan Aminah (yang digelar Melati). Percintaan mereka terpaksa diputuskan akibat daripada permainan gendang perempuan. Harun, seorang pemuda yang berpendidikan Inggeris hingga Darjah Tujuh, telah jatuh cinta terhadap Aminah (seorang ‘syeikh gendang’ yang terkenal) dalam satu majlis gendang perempuan.

Harun berhasrat untuk mengahwini Aminah, tetapi Aminah enggan berhenti daripada menjadi ‘syeikh gendang’. Perbuatan Aminah bersenda gurau dengan Omar (seorang pemuda berpekerti tidak baik) di suatu tempat sunyi telah menambahkan lagi luka di hati Harun. Harun tidak sanggup lagi tinggal di bandar Kuching, lalu pergi ke Singapura dan kemudian ke Malaya. Harun tidak mahu lagi kembali ke Kuching selagi permainan gendang perempuan belum terhapus.

          Pada pandangan Muhammad Rakawi Yusuf, permainan gendang perempuan adalah punca utama yang menyebabkan kelalaian anak-anak muda bangsanya daripada mengejar kemajuan. Mereka menjadi asyik kepada ‘syeikh gendang’ yang menjual pantun sehingga ke Subuh hari, yang melemahkan fizikal dan minda. Novel ini cuba menyedarkan masyarakat agar menginsafi keburukan permainan gendang perempuan, satu tradisi yang harus dikikis kerana ia meruntuhkan moral dan melemahkan pendidikan generasi muda.

Cara untuk mengikis tradisi ini ialah melalui pendidikan agama. Apabila generasi muda telah ‘asyik’ dengan pelajaran, khususnya dalam hal kebersihan jiwa, nescaya tradisi tersebut akan hilang pada suatu hari kelak. Walau bagaimanapun pengarang tidak menolak sistem pendidikan Barat kerana beliau menyedari faedah-faedahnya. Namun pendidikan keagamaan harus diperkuatkan untuk mengikis segala tradisi dan kepercayaan yang boleh menyekat ke arah kemajuan bangsa Melayu.

          Gambaran kehidupan rumah panjang suku kaum Iban menghadapi cabaran zaman moden dipaparkan oleh Jong Chian Lai dalam dua buah novel: Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga (1986) dan Pindah (1987).

          Pergolakan di sebuah rumah panjang di Nanga Tiga (Bahagian Kedua, Sarawak) dipaparkan dalam novel Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga. Jabau menentang habis-habisan rancangan Tauke Yap dan Poling yang menjalankan kegiatan pembalakan secara ‘haram’ di hutan Nanga Tiga. Dalam usahanya itu, Jabau terpaksa menghadapi tentangan daripada mereka yang inginkan kekayaan melalui pembalakan tersebut. Kebanyakan penghuni rumah panjang Nanga Tiga tidak menyedari bahaya akibat pembalakan ‘haram’ yang berleluasa terhadap alam sekitar mereka.

Apatah lagi apabila mereka disogok dengan wang ringgit oleh Tauke Yap. Apai Icut, Tuai Rumah, sanggup menggadaikan hutan hijau itu demi kepentingannya sendiri untuk mendapat kekayaan. Jabau menentang Apai Ichut, bakal bapa mertuanya. Akibatnya, pertunangannya dengan Sunti diputuskan. Jabau dibuang daerah. Walaupun demikian, Jabau tetap meneruskan perjuangannya. Apabila Jabau mati terbunuh, hutan dara Nanga Tiga terus diperjudikan.

Novel ini melukiskan warna pedalaman Sarawak dengan gambaran masyarakat Iban yang sedang bergolak: sama ada tetap mempertahankan kemurnian alam hijau atau menerima ‘kehidupan moden’ yang menghancurkan alam sekitar sehingga menjadi tandus setelah dibalak. Akhiran cerita yang dipaparkan oleh pengarang menunjukkan betapa perubahan terpaksa diterima walaupun kesannya buruk. Novel ini memperlihatkan kemampuan Jong Chian Lai melukiskan segala macam flora dan fauna latar alam Nanga Tiga dengan meyakinkan.

          Novel Pindah menggunakan latar belakang sebuah rumah panjang masyarakat Iban di Bahagian Kedua, Sarawak. Jong menggunakan latar rumah panjang Kampung Tegelam yang akan ditenggelamkan apabila Projek Hidro Batang Ai siap dibina. Watak utamanya, Ungging, enggan berpindah ke rumah panjang yang baharu, yang dibina tidak mengikut tradisi adat masyarakat Iban. Penghuni rumah panjang tersebut menerima pampasan yang lumayan daripada kerajaan.

Wang yang banyak itu telah mengaburi mata kebanyakan mereka, termasuklah anaknya, Belawai, dan Tuai Ungga. Semua penghuni telah berpindah untuk memulakan hidup baharu, termasuk isteri dan anak-anak Ungging. Kehidupan mereka berubah sama ada daripada segi pakaian, pergaulan mahupun percakapan. Sopan santun sudah tidak ada lagi hinggakan mereka sanggup bercakap kasar dan menghina Ungging. Ungging dikatakan gila kerana tidak mahu berpindah kepada kehidupan yang senang-lenang di rumah panjang yang baharu.

          Ungging berjuang sendirian untuk hidup sehingga terpaksa memakan Labang, anjing kesayangannya. Pada suatu hari Ungging mendapati lantai rumah panjang itu sudah dinaiki air. Dia menaiki perahunya dan menyaksikan rumah panjang itu tenggelam. Dia sedar, tidak ada apa-apa yang dapat diperjuangkan lagi. Perahunya bagaikan ditarik ke empangan.

Dia membiarkan perahunya hanyut. Ketika itulah orang sedang bergembira menyaksikan acara perasmian projek tersebut. Novel ini memaparkan pengorbanan yang harus ditanggung oleh rakyat apabila sesuatu projek dijalankan. Orang perseorangan tidak akan mampu menentang arus pembangunan yang  sedang melanda.

          Daripada dua buah novel tersebut, ternyata Jong Chian Lai  menyimpulkan bahawa  usaha mempertahankan tradisi di kalangan masyarakat Iban tidak kukuh kerana pembangunan yang mementingkan nilai-nilai materialistik lebih kuat mencengkam dan menggoda. Golongan tua cuba mempertahankan tradisi tetapi golongan muda mudah tergoda dengan kekayaan yang datang mencurah. Pertembungan nilai hidup ini akan berterusan kerana pendidikan moden turut berperanan mencairkan nilai-nilai tradisi yang tidak sesuai dengan perubahan zaman.

          Jamilah Morshidi memaparkan kehidupan orang Melayu di tebing Sungai Sarawak yang kebanyakannya bekerja sebagai penambang (pendayung sampan) dan penangkap ikan dalam novel Kenyalang Terbang Bebas (1987). Persoalan utama yang ditimbulkan oleh pengarang ialah masalah hakisan tebing sungai akibat landaan ombak kapal-kapal dagang yang melalui sungai tersebut. Rumah-rumah di tepi sungai menghadapi bahaya hakisan tebing dan arus sungai. Pihak kerajaan berusaha menyelamatkan mereka melalui perpindahan ke kawasan baharu yang selamat. Namun terdapat golongan yang mempertahankan tradisi dan enggan berpindah.

          Watak Tahir mewakili golongan orang yang cuba mempertahankan tradisi. Rumah pusaka di tepi sungai itu adalah warisan daripada ayahnya. Namun setelah dia dipujuk oleh Leha (isterinya) dan Salmah (anaknya), dan diyakinkan oleh sikap Wakil Rakyat Kawasan Malaysia Jaya (YB Encik Ridwan Karim) yang bersungguh-sungguh membantu masyarakat di tebing sungai itu, akhirnya Tahir bersetuju untuk berpindah ke kawasan perumahan baharu. Namun rumah Tahir telah dihanyutkan oleh arus sungai sebelum rumah baharu yang dijanjikan itu siap dibina.

Novel ini diakhiri dengan kisah kebahagiaan keluarga Tahir. Omar, anak lelakinya bekerja sebagai peguam, dan Salmah berkahwin dengan Cikgu Jamal dan perniagaannya bertambah maju. Tahir tidak perlu lagi menjadi penambang atau penangkap ikan. Bersesuaian dengan semangat peraduan mengarang novel sempena ulang tahun ke-20 Sarawak Merdeka yang dimenangi oleh novel ini, ia menggambarkan perubahan sikap rakyat dan pemimpin.

Watak Tahir hanya berubah setelah keadaan mendesak, dan adanya pemimpin yang boleh dipercayai, yang berjuang membela rakyat melalui usaha sungguh-sungguh melaksanakan projek pembangunan yang nyata, iaitu projek perumahan. Pemimpin seperti Encik Ridhwan Karim mendekati rakyat secara peribadi, bukan sahaja menjayakan projek pembangunan untuk faedah rakyat secara umum, malah membantu rakyat yang menerima bencana alam secara peribadi (memberikan derma wang ringgit).

          Pengarang mengupas masalah pembangunan secara sederhana dan wajar. Perubahan zaman menuntut perubahan sikap dan tindakan. Watak Tahir adalah wakil generasi tua yang harus menghadapi proses pembangunan yang melanda persekitarannya. Dia mengalah kerana ketidakberdayaannya menghadapi perubahan yang begitu mendesak. Anak-anaknya mewakili generasi baharu yang sedang mengisi erti kemerdekaan melalui kerjaya yang selaras dengan kehendak zaman.

Seperti judulnya Kenyalang Terbang Bebas, novel ini menyarankan kebebasan minda untuk menghadapi perubahan zaman. Dengan memahami proses perubahan, kita akan dapat menerima perubahan tersebut secara waras dan tidak akan hanyut seperti nasib rumah Tahir yang dihanyutkan oleh arus akibat landaan ombak kapal-kapal dagang yang menghakis tebing. Untuk dapat bertahan , kita harus membina keperibadian baharu di atas asas kejiwaan yang kukuh, seperti yang dilambangkan oleh rumah baharu milik Tahir.

          Novel ini dapat ditafsirkan secara luas tentang perjuangan manusia menghadapi perubahan zaman. Dengan ilmu pengetahuan, kita tidak akan mudah hanyut oleh arus pembangunan yang begitu cepat melanda. Watak Tahir adalah lambang kekuatan bangsa yang merdeka, yang menerima perubahan setelah melalui proses merenung apakah ertinya perubahan tersebut. Walaupun novel Kenyalang Terbang Bebas ini agak sederhana pengolahannya, namun ia membawakan perutusan yang penting bagi renungan kita bersama tentang persediaan minda menghadapi perubahan zaman.

          Tradisi mengubat penyakit yang teruk melalui amalan Gawai Kelingkang dalam masyarakat Iban menjadi persoalan utama dalam novel karya Douglas Jaga berjudul Kelingkang (1998). Menurut pengarang, “Gawai Kelingkang yang saya paparkan dalam novel saya ialah Gawai yang dibuat untuk menyembuhkan orang yang sakit teruk.Ia merupakan Gawai yang paling kompleks. Ia memerlukan perancangan yang amat rapi, sama ada dari segi tenaga, masa ataupun cara membuat peralatan yang diperlukan. Jampi manteranya bukan sembarangan. Hanya lemambang yang betul-betul baik saja boleh melakukan upacara membaca jampi mantera yang disebut :nimang.” (Hajijah Jais, 2000: 5)

          Novel ini memaparkan konflik keluarga di sebuah rumah panjang. Konflik timbul apabila Sada mengalami penyakit gila setelah menemui sesuatu yang melekat pada mata kailnya. Peristiwa itu berlaku sepuluh tahun yang lalu apabila Sada dan abangnya, Lang, pergi memancing di sungai. Ayahnya, Apai Lang (Gandau) percaya bahawa  benda tersebut ialah sejenis tangkal. Lalu dia menjampi dan menyembelih ayam sabung yang digunakannya ketika menjampi.

Isterinya, Indai Lang, bermimpi mengenai hal tersebut. Apai Lang memutuskan untuk mengadakan gawai kerana percaya mimpi isterinya itu bukan mimpi sembarangan. Namun setelah upacara Gawai, Sada jatuh sakit. Penghuni rumah panjang percaya bahawa Sada dirasuk hantu. Walaupun sudah beberapa kali diadakan Gawai, sehingga sepuluh tahun berlalu, namun penyakit Sada tidak sembuh. Lang mencadangkan agar adiknya itu dibawa ke hospital kerana dia yakin, Sada mengalami tekanan jiwa. Apai Lang menentang cadangan tersebut. Penghuni rumah panjang juga percaya bahawa Sada hanya boleh diubati dengan cara pengubatan tradisional. Gawai Kelingkang diadakan dengan menjemput Lemambang Garai yang paling terkenal kerana kehebatannya yang luar biasa. Sada telah sembuh.

Semenjak menghadiri upacara Gawai Kelingkang itu, Lang mulai berminat mempelajari jampi mantera daripada Lemambang Kucai. Apai Lang pula yang sakit setelah upacara Gawai tersebut. Penghuni rumah panjang percaya bahawa hantu yang merasuk Sada telah merasuk Apai Lang pula. Apai Lang cuba disembuhkan dengan upacara Gawai juga, namun tidak sembuh. Apabila Sada mencadangkan ayahnya berubat dengan Lemambang Garai, Apai Lang meminta Lang membawanya ke hospital.  Selama sebulan Apai Lang berubat di hospital, namun tiada sembuh. Akhirnya Apai Lang meninggal dunia dalam perjalanan pulang dari hospital.

          Novel ini mempertentangkan dunia tradisi dengan dunia moden. Akhiran cerita telah memenangkan tradisi mengalahkan dunia moden apabila Sada dapat disembuhkan melalui perubatan Gawai Kelingkang, dan Apai Lang pula meninggal dunia setelah berubat di hospital. Lang yang terdidik di universiti dan pada mulanya menentang perubatan cara Gawai Kelingkang, akhirnya terpikat serta mempelajari jampi mantera.

Ayahnya, Apai Lang, yang secara tegas mempertahankan perubatan cara tradisional, akhirnya apabila dia sakit, meminta Lang menghantarnya ke hospital. Sehubungan dengan akhiran cerita yang negatif terhadap usaha pemodenan, Hajijah Jais berpendapat, “Walau bagaimanapun, pada hemat saya, golongan terpelajar seperti yang diwakili Lang lebih bersifat terbuka (hati dan minda) dan mudah menerima perubahan berbanding golongan tua yang telah mewarisi amalan nenek moyang secara turun-temurun. Golongan inilah yang perlu diyakini. Bukan mudah. Dengan mematikan watak Apai Lang , usaha akan menjadi lebih sukar.

Persoalan pertembungan dua nilai ini akan terus memburu jawapan.” (Hajijah Jais, 2000: 14) Namun Douglas Jaga mempunyai jawapan apabila mengakhiri ceritanya demikian. Katanya, “Saya berharap pembaca juga dapat melihat keluhuran budaya dan adat resam sebagai lambang dan indentiti sesuatu bangsa. Kejayaan dari segi intelek tidak akan bermakna jika nilai budaya dan adat resam itu hilang. Kejayaan intelek seharusnya dihiasi dengan alam budaya dan adat resam yang terpelihara dengan subur. Tidak ada maknanya kejayaan intelek jika asas budaya dan adat resam yang ada pada orang yang mencapai kejayaan itu begitu rapuh.” (Hajijah Jais, 2000: 14)

          Demikianlah tanggapan terhadap enam buah novel karya lima orang penulis Sarawak yang menggarap persoalan budaya dan perubahan zaman dalam tanggapan sebagai golongan intelektual. Mereka memahami masalah yang dihadapi oleh masyarakat, dan berusaha memberikan pandangan dan cadangan  sebagai jalan keluar kepada permasalahan-permasalahan tersebut. Ahmad Shawal Abdul Hamid melihat perubahan masyarakat setelah kedatangan kuasa Barat (Brooke) di Sarawak.

Ekonomi secara sara diri berubah kepada ekonomi untuk perdagangan, jadi kegiatan pertanian harus dijalankan secara bergilir dan sistematik untuk menjaga kesuburan tanah, dan ada tanaman jangka panjang yang akan membawa keuntungan (kewangan) bagi menghadapi masa akan datang. Muhammad Rakawi Yusuf melihat adanya persaingan bangsa Melayu dengan bangsa-bangsa lain di Sarawak. Namun kerana kelalaian bangsa Melayu akibat terlalu mementingkan cara hidup yang sukakan hiburan, mereka akan ketinggalan. Bagi mengatasinya, pendidikan cara Barat dan asas keagamaan (Islam) harus diberikan penekanan kepada generasi muda. Hiburan yang melalaikan harus dikikis daripada minda masyarakat.

          Perubahan zaman yang bersifat fizikal, seperti kegiatan pembalakan yang tidak dikawal oleh undang-undang alam sekitar, dan keperluan kepada tenaga elektrik yang terpaksa mengorbankan kampung-kampung tradisi untuk pembinaan empangan air, mewujudkan pertentangan tradisi dengan moden. Kemusnahan kehijauan alam hutan yang menyebabkan hilangnya sumber alam bagi masyarakat tradisi, dan hilangnya rumah panjang tradisi, tidak dapat dihadapi secara perseorangan.

Akhirnya mereka akan tewas di tangan pemegang kekuasaan yang menggunakan wang ringgit untuk mempengaruhi masyarakat yang terlibat. Permasalahan ini telah dipaparkan secara dramatik oleh Jong Chian Lai dalam novel-novelnya. Jamilah Morshidi pula melihat perubahan zaman itu harus dihadapi dengan kebijaksanaan secara bersama untuk mencapai kemenangan bagi semua pihak. Douglas Jaga mengharapkan nilai-nilai budaya tradisi yang menjadi identiti sesuatu kaum itu tetap terpelihara walaupun nilai-nilai hidup moden diterima.

          Golongan penulis sebagai intelektual zamannya harus menyedari  peranannya sebagai ‘pembimbing’ kepada masyarakat yang diwakilinya. Sewajarnya dia hanya memihak kepada kebenaran yang hak, bukan kebenaran berdasarkan kepartian atau golongan penguasa tertentu yang merugikan masyarakat umum. Jika penulis dapat berperanan demikian, bermakna ‘perkasalah’ golongan karyawan sastera. Anda berani! Renungkanlah dengan hati nurani yang beriman.



Rujukan

Ahmad Shawal bin Abdul Hamid, 1983. Hikayat Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan
Waktu Perang Sampai Mendapat Kemenangan. Kuching: Persatuan Kesusasteraan
Sarawak.

Alfian, 1974. “Cendekiawan dan Pembangunan Masyarakat” dlm. Budaya Jaya.Nombor
76, Tahun Ketujuh, September.

Ali Syariati, 1984. Tugas Cendekiawan Muslim. Batu Caves, Selangor: Thinker’s Library
Sdn.Bhd.

Douglas Jaga, 1998. Kelingkang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Edward W. Said, 1998. Peran Intelektual. Jakarta: Yayasan Obor Indonesia.

Hajijah Jais, 2000. “Pertembungan Dua Nilai yang Belum Terjawab dalam Novel
Kelingkang Karya Douglas Jaga” dlm. Majlis Diskusi Novel Kelingkang Karya
Douglas Jaga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 22 April.

Hamzah Hamdani, 2004. Pertumbuhan dan Perkembangan Sastera Melayu
Di Sarawak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jamilah Morshidi, 1987. Kenyalang Terbang Bebas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Jong Chian Lai, 1986. Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Jong Chian Lai, 1987. Pindah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahathir Mohamad, 2003. “Penulis Pelopor Kemajuan” dlm. Utusan Malaysia,
29 Mei.

Mohammad Hatta, 1984. “Tanggungjawab Moral Kaum Inteligensia” dlm. Aswab
Mahasin dan Ismed Natsir (ed.), Cendekiawan dan Politik. Jakarta: LP3ES.

Muhammad Rakawi Yusuf, 1980. Melati Sarawak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Noresah Baharom (ed.), 1996. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Phillip L. Thomas, 1980. “Pengenalan” dlm. Muhammad Rakawi Yusuf. Melati
Sarawak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Reece dan Thomas, 1983. “Pengenalan” dlm. Ahmad Shawal bin Abdul Hamid. Hikayat
Panglima Nikosa. Kuching: Persatuan Kesusasteraan Sarawak.

Soedjatmoko, 1984. “Peranan Intelektual di Negara Sedang Berkembang” dlm. Aswab
Mahasin dan Ismed Natsir. Cendekiawan dan Politik. Jakarta: LP3ES.

 

         

         

         

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan