Jumaat, 5 April 2013

Selamat Datang ke Malaywood (Kumpulan Cerpen): Satu Ulasan Keintelektualan Persuratan

Teo Kok Seong
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Abstrak

Tulisan ini cuba meneilti unsur keintelektualan persuratan, dari kedua-dua sudut pandangan, iaitu bahasa dan sastera, pada Kumpulan Cerpen dalam Selamat Datang ke Malaywood (SBKM), karya Roslan Jomel.  Keintelektualan persuratan, baik dari segi bahasa mahupun sastera, merujuk kepada keupayaan penulis menyampaikan ceritanya dengan cara logikal, lebih-lebih lagi pada tahap yang tinggi, yang senang pula diikuti oleh pembaca.  Dalam hal ini, keupayaan penyampaian ini didapati berkait rapat dengan keupayaan pemikiran penulis, khususnya tentang cara logik itu.  Berdasarkan prinsip demikian, SDKM secara keseluruhannya didapati kurang atau tidak berjaya (bergantung kepada cerpen) menyampaikan mesej persuratan, yang sepatutnya boleh diikuti dengan mudah lagi cepat, oleh pembaca terbanyak (daripada khalayak pembaca umum).


Pendahuluan

SDKM, sebuah kumpulan cerpen karya Roslan Jomel, mengandungi 18 buah cerpen.  SDKM adalah judul cerpen pertama dalam kumpulan ini.  SDKM, seperti yang dicatatkan pada bahagian kulit hadapannya (bahagian dalam) oleh penerbit (dan/atau penulis), adalah “himpunan cerpen yang membawa aliran baru yang berbeza dan radikal”.   Aliran baharu ini, yang didapati tidak seperti yang pada lazimnya dan yang mungkin boleh mempengaruhi dan diikuti oleh yang lazim itu, sebetulnya dibicarakan oleh penulis, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung pada cerpen ke-17, iaitu “Tidak Benar Menulis Cerita Buruk”.

Biodata ringkas penulis pada kulit belakang (bahagian dalaman) tentang maklumat “sangat menyukai karya-karya yang ditulis dengan perspektif berbeza ….. kadangkala beliau mempercayai sesuatu yang bukan realiti ketika realiti semakin menjadikan tidak benar”, memberi gambaran mengenai karya Roslan Jomel yang tidak konvensional sifatnya, yakni tidak mengikut lunas sedia ada dan juga tidak normal seperti yang lain-lainya.

Dengan perkataan lain, karya Roslan Jomel tidak ditulis secara tradisional, yakni dengan tidak mengikuti resam biasa yang rata-ratanya diguna pakai dalam bidang penulisan kreatif oleh kebanyakan penulis.

Kedua-dua catatan ini, bersama-sama dengan coretan ringkas oleh penulis sendiri pada bahagian Prakata, khususnya tentang saranan Gabriel Garcia Marquez, Etgar Keret dan Haruki Murakami untuk menggunakan “imaginasi seandainya naratif fiksyen yang ditulis tersadai di jalan mati”, mengesahkan pendekatan yang diambil oleh Roslan Jomel adalah pendekatan luar biasa, yang tidak semestinya dianggap sebagai sastera jelik.

 

Keintelektulan Persuratan


Keinteletulan persuratan boleh dibahagikan kepada dua: keintelektualan bahasa dan keintelektualan sastera.

Secara umumnya, keintelektulan persuratan merujuk kepada keupayaan penulis menggunakan bahasa dengan jelas, tepat dan indah untuk menyampaikan pemikirannya, melalui apa-apa genre sastera, juga dengan jelas, tepat dan indah agar cerita dan plot dalam naratif/narasi tertentu, misalnya cerpen dan novel, atau tema pada puisi, misalnya sajak, dapat diikuti dengan mudah oleh pembaca.

Keintelektualan bahasa secara khususnya merujuk kepada keupayaan pemilihan kata dan penggunaan nahu, selain pemanfaatan laras (bahasa) yang sesuai, untuk menghasilkan kejituan maksimum, semasa mengungkapkan sesuatu itu (Havranek 1964, Nik Safiah Karim 1986, Teo Kok Seong 2008).

Sehubungan ini, kejituan maksimum adalah kata kunci pada keintelektualan bahasa.  Kejituan maksimum bermaksud kemampuan sesuatu bahasa itu--yang sudah tentu banyak bergantung kepada kecekapan berbahasa oleh penggunanya--menyampaikan idea, hujah dan segala macam yang lain, bukan sahaja dengan tepat, tetapi dengan berkesan pula.  

Ketepatan dan keberkesanan ini amat bergantung kepada pemilihan kata yang betul dan penerapan struktur nahu (dalam bentuk ayat/kalimat) yang cocok untuk menghasilkan pemikiran yang logik.   Selain ini, penggunaan laras (bahasa) yang sesuai adalah prasyarat selanjutnya.

Manakala keinteletualan sastera merujuk keupayaan penulis menyampaikan pemikirannya--melalui cerita serta plot yang ingin disampaikan dalam naratif/narasi tertentu dalam cerpen atau novelnya atau tema dalam puisi, antaranya sajak--secara logikal (Wales 1989, Abrams 1999, Hawthorn 2000). 

Sehubungan ini, cara atau secara logikal yang merupakan kata kunci pada keintelektualan sastera ini adalah cara jelas boleh diikuti dengan mudah dan cepat oleh khalayak pembaca umum, untuk memahami pemikiran penulis.   Cara jelas ini antaranya merangkumi penerangan yang diberikan dan penaakulan yang dibuat itu oleh penulis, bukan sahaja perlu bijak, tetapi hendaklah wajar sifatnya.   Hal ini sebetulnya merupakan pencerminan keupayaan penulis berfikir dengan sempurnanya, iaitu logik dan bernas, yang berlandaskan sebab-musabab munasabah dan wajar pula sifatnya.

Sehubungan ini, cerita dan plot dalam sesebuah karya itu yang ditulis dalam naratif/narasi tertentu, perlu praktikal sifatnya.  Ini bermakna cerita dan plot serta naratif/narasinya itu perlu berkait dengan perkara nyata dalam dunia ini.  Ini antaranya termasuklah keadaan yang betul-betul berlaku.  Ia tidak boleh berupa bukannya gagasan yang tidak tidak dikaitkan dengan mudah lagi cepat dengan dunia nyata, hasil daripada imaginasi yang bukan sahaja tidak bijak, tetapi sukar diterima kerana tidak praktikalnya sesuatu yang dketengahkan itu.

Dalam soal keintelektualan persuratan ini, kedua-dua aspek, yakni bahasa dan sastera didapati saling melengkapi.  Suhubungan ini, kejituan maksimum pada keintelektualan bahasa didapati amat membantu penulis mengungkapkan pelbagai cerita (atau kejadian) untuk dijadikan plot yang bukan sahaja kukuh, tetapi menarik.   Mesej persuratan, yakni unsur moral dan didikan yang ingin disampaikan, didapati juga sangat bergantung kepada cerita dan plot yang menjadi unsur penting kepada keintelektualan sastera.  Dengan ini, cerita dan plot pada keintelektualan sastera juga amat bergantung kepada keupayaan penulis memanfaatkan unsur leksikal untuk diksinya, binaan sintaksis bagi gayanya, dan tala laras untuk wacananya pada keintelektualan bahasa.

Sesungguhnya, keintelektualan atau intelektualisme sebagai satu ideologi untuk apa-apa bidang sekali pun, amat menitiberatkan kebolehan berfikir secara logik.  Dalam kes keintelektualan persuratan yang dibina oleh keintelektualan bahasa dan keintelektualan sastera, ia ikut menitiberatkan unsur logik/logikal ini. 

Untuk keintelektualan sastera, cerita dan plot dalam sesebuah naratif/narasi itu perlu bersifat logikal, yakni berdasarkan cara berfikir dan memahami sesuatu itu mengikut sebab-musabab dan penjelasan yang wajar (selain waras?).  Sehubungan ini, setiap cerita (kejadian) perlu mempunyai sebab-musababnya.   Seterusnya kesemua cerita itu pula perlu mempunyai hubung kait di antara satu sama lain untuk membina plot.  Kedua-dua sebab-musabab dan hubung kait ini bukan sahaja perlu dihujahkan dengan baik.  Tetapi juga perlu mempunyai pautan pemikiran yang munasabah sifatnya.  

Manakala untuk keintelektualan bahasa, pengungkapan cerita dan plot dalam sesebuah naratif/narasi itu, melalui penggunaan pelbagai unsur dan strategi bahasa, juga perlu mencerminkan pemikiran penulis yang logik/logikal.  Sehubungan ini, kata yang dipilih itu perlu tepat, binaan ayat/kalimat yang digunakan itu perlu berpadanan, dan gaya berbahasa/laras yang patut perlu dimanfaatkan.

Secara rumusannya, keintelektualan persuratan dari segi sasteranya, mementingkan segala unsur moral dan didikan yang ingin disampaikan, yang walaupun melalui fantasi--yakni imaginasi yang ada kemungkinan menjadi kenyataan--perlu bersifat mudah dan cepat difahami oleh khalayak pembaca umum.  Dari segi bahasa pula, ia mementingkan pengungkapan, sama ada melalui kaedah induktif mahupun deduktif (Teo Kok Seong 1999), yang hendaklah memudahkan pemahaman khalayak pembaca umum, tentang unsur moral dan didikan yang ingin disampaikan oleh penulis.

Unsur moral dan didikan ini yang memerlukan keupayaan penulis mengutarakan pelbagai cerita yang kemudiannya menjadi plot serta mengungkapkannya melalui penggunaan bahasa yang berkesan, sesungguhnya menghendaki kedua-dua keinteletualan bahasa dan sastera wujud serentak dalam keadaan bestari.  Ini bukan sahaja dapat mewujudkan keadaan sokongan menyaling di antara cerita dan plot yang baik, yang ikut disokong oleh penggunaan bahasa yang juga baik. Yang lebih penting lagi ialah ia adalah satu-satu prasyarat kejayaan sesebuah karya sastera itu.

Dengan ini, kedua-dua intelektualan bahasa dan sastera perlu wujud pada sesebuah karya itu.  Seandainya, satu sahaja yang wujud, walaupun dalam keadaan bestari, karya berkenaan tidak boleh dianggap berjaya sepenuhnya.

Dengan berdasarkan kriteria begini, dari segi keintelektualan bahasa, secara keseluruhannya SDKM boleh dikatakan sebagai berjaya.  Bahasa Melayu yang digunakan itu didapati tepat dari segi diksinya, jelas dari segi binaan ayat/kalimatnya, dan sesuai dari segi larasnya.

Manakala dari segi keintelektualan sastera, secara keseluruhannya, SDKM boleh kurang berjaya.  Sehubungan ini, terdapat sesetengah cerpen--yang walaupun boleh dikatakan bersifat tidak logikal dan/atau sedikit sahaja logiknya--yang dapat difahami plotnya, meskipun secara kabur.   Antaranya adalah “Sebilah Pisau untuk Menyayat Malam”. 

Sebaliknya, cerpen “Lelaki yang Menetak Anaknya” yang merupakan cerpen terpanjang (halaman 65-118) adalah antara yang tidak mudah difahami logik cerita dan plot di dalamnya.  Ini antaranya kerana fantasi di dalamnya yang tidak dapat diikuti dengan mudah lagi cepat oleh khalayak pembaca umum.   

 

Analisis dan Interpretasi

Secara umumnya, kesemua 18 buah cerpen pada SDKM menggunakan bahasa yang baik dan betul.  Sehubungan ini, keintelektualan persuratan, khususnya pada aspek keintelektualan bahasa, adalah baik, seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.

 
Keintelektualan Bahasa

Dalam hal ini, perkataan yang digunakan itu didapati dipilih dengan tepat.  Ejaannya pun didapati betul.  Ayat/kalimat yang digunakan ikut memperlihat pemilihan yang teliti.  Kedua-dua perkataan yang tepat dan ayat/kalimat yang sesuai, didapati berjaya mewujudkan laras (bahasa) kreatif yang serasi.

Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan kesalahan.  Sesetengahnya berpunca daripada kesilapan menaip dan/atau penyuntingan yang kurang hemat.  Manakala yang lainnya berpunca daripada kealpaan penulis dan/atau penyuntingnya.  Antaranya termasuklah (i) *perkataaan (perkataan) (halaman 4), (ii) *perasaan (perasan) (halaman 12 & 109) (iii) *was was (waswas) (halaman 19), (iv) harta *miliki (milikan) (halaman 30), (v) menunaikan *melepaskan (pelepasan) jawatan, (vi) *dahulukala (dahulu kala) (halaman 52), (vii) *lain-lain selok-belok ((bermacam-macam) selok-belok lain) (halaman 53); *lain-lain fenomena (fenomena-fenomena lain) (halaman 271), (viii) “apa yang *dipandang Saya (apa yang Saya pandang) (halaman 62), (ix) *berputus-asa (berputus asa) (halaman 60), (x) *bersangka (menyangka) (halaman 92), (xi) segala *urusan-urusan (urusan) (halaman 103), (xii) dia *bosan penilaian manusia (bosan dengan penilaian manusia) (halaman 115), (xiii) *penaksub (penaasub) (halaman 124); *ketaksuban (ketaasuban) (halaman 126), (xvi) memancarkan *lesu (kelesuan) (halaman 131), (xv) kesan jarinya “diakan (akan) disebar (halaman 136), (xvi) menambahkan *perasan (perasaan) bosan (halaman 181), (xvii) sebentar lagi Saya *kan (akan) membancuh (halaman 182), (xviii) *di peduli (dipeduli) (halaman 184), (xix) “apa *yang sudut pandangan hendak dikatakan (apa sudut pandangan yang hendak dkatakan (halaman 194), (xx) “mahu pun (mahupun) (halaman 202), (xxi) mengganggu *perasan (perasaan) (halaman 233), (xxii) *sepertimana (seperti mana) (halaman 239), (xxiii) tangannya terlanggar *dengan (0) gelas kopi (halaman 252), (xxiv) *apalagi (apa lagi) (halaman 252 & 286), (xxv) *meminimalkan (meminumumkan) (halaman 273), (xxvi) *lutsinar (lut sinar) (halaman 280), (xxvii) *komersil (komersial) (halaman 299), (xxviii) *anti klimaks (antiklimaks) (halaman 307), (xxix) *ke tiga (ketiga) (halaman 315), dan (xxx) *atau pun (ataupun) (halaman 316).

Selain ini, penggunaan kata sendi (i) “dari” dan “daripada” serta (ii) “antara” dan “di antara” didapati tidak konsisten pada sepanjang karya ini.  Satu kesalahan kenahuan lain ialah penggunaan frasa sendi nama “di mana” untuk menyambung dua ayat.  Dalam tatabahasa baku yang diajurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (Nik Safiah Karim et al. 2008, Teo Kok Seong et al. 2010), frasa ini dikhususnya untuk merujuk kepada tempat sahaja.  Justeru “Hujan semakin lebat *di mana gema yang menimpa ….” (halaman 136) dan beberapa yang lain, memperlihat penggunaan frasa sendi nama “di mana” yang tidak tepat.

Beberapa contoh penggunaan perkataan bahasa Inggeris juga didapati tidak tepat.  Perkataan “intelektualiti” (yang digunakan oleh penulis antaranya pada halaman 6, 68 & 166) walaupun dieja mengikut sistem bahasa Melayu sebagai kata serapan, sebenarnya tidak wujud dalam bentuk itu dalam bahasa sumbernya, yakni bahasa Inggeris.  Yang wujud ialah “intellectualism” yang padanannya dalam bahasa Melayu ialah “intelektualisme”. 

Walau bagaimanapun, padanan “intelektualisme” ini ikut digunakan oleh penulis, antaranya pada halaman 290.  Dalam hal ini, penulis perlu menggunakan bentuk bahasa Melayu, iaitu “keintelektualan” atau bentuk serapan Inggeris, iaitu “intelektualsime”, dan tidak “intelektualiti” atas apa-apa jua alasan, termasuk lesen berpuisi (poetic licence).

Sehubungan ini, penggunaan perkataan “skeptikal” pada halaman 2 dan “deskriptif” pada halaman 78, yang merupakan kata sifat/adjektif, juga didapati tidak tepat.  Penggunaan kata serapan itu dalam bentuk kata nama melalui “skeptisme” (scepticism) dan “deskripsi” (description) adalah lebih tepat dari segi kelancaran kenahuan dari sudut linguistik.


Sebagai contoh, perhatikan petikan berikut.


Cerpen “Selamat Datang ke Malaywood”

….. Ada puluhan universiti dan tidak kurang jumlah tempat perjudiannya.  Tetapi, jika saudara tetap mengganggap saya sedang menulis fiksyen, tidak mengapalah.  Majlis negara Malaywood pasti mematahkan *skeptikal (anggapan skeptikal/skeptisme) saudara. (halaman 2) …..

Seperkara lagi tentang keintelektualan bahasa ini ialah penggunaan kata rasis yang perlu dielakkan (Teo Kok Seong 1996a & 1996b).  Sehubungan ini, penggunaan kata “jakun” pada halaman 229 dalam ayat/kalimat “Ibu dan bapa Saya *jakun dan tidak biasa dengan peralatan elektronik” bukan sahaja dapat ditafsirkan sebagai “menghina kelompok Orang Asli Jakun”.  Tetapi lebih penting lagi, ia memperlihat tidak sensitifnya penulis kepada sensitiviti kelompok ini.  Walaupun perkataan “jakun” (sama ada dieja dengan huruf besar J atau kecil j) (Kamus Dewan 1994: 510; Kamus Dewan 2005: 599), dimuatkan dalam kamus, ini tidak bererti ia boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya sebagai kiasan kepada maksud “sangat mudah kehairanan apabila ternampak akan sesuatu yang baru (ganjil, luar biasa, dsb) kerana belum pernah melihatnya dahulu” (Kamus Dewan 1994: 510).

Sebaliknya, penulis perlu dipuji kerana tidak seperti kebanyakan penulis lain, tidak banyak menggunakan perkataan yang kurang dikenali/digunakan dan sukar pula difahami maknanya.  Sifat penulis ini sebetulnya dapat mengelakkan keadaan karya yang sukar difahami kerana (terlalu) banyak perkataan yang dipilih/digunakan itu adalah yang rata-ratanya jarang digunakan oleh masyarakat umum pada masa kini.  Sesungguhnya kualiti atau keadaan yang sukar difahami ini adalah sebahagian penting dari keinteletualan bahasa, yang mementingkan pemahaman yang jelas.

 

Keintelektualan Sastera

Kalaulah cerita adalah kejadian tertentu dan/atau penghuraian tentang sesuatu kejadian dan plot pula adalah hubung kait setiap satu cerita dan/atau kesemua cerita (Teo Kok Seong 2012), maka SDKM boleh dikatakan kurang berjaya pada sesetengah cerpen dan tidak berjaya pada sesetengah yang lain.

Ini kerana imaginasi yang selalunya berbentuk fantasi, khususnya yang tidak boleh berlaku di dunia nyata, walaupun kisahnya menarik, tidak boleh diikuti logiknya dengan mudah lagi cepat oleh khalayak pembaca umum.

Sebagai contoh, watak Tuan Banana pada cerpen “Petang Sentimental Tuan Banana”, seorang pembuat sangkar burung.  Cerita-cerita di dalamnya--antaranya untuk mengenal pasti (i) rupa bentuk dan saiz sangkar burung itu, para wartawan memerlukan, malah “….. terpaksa menggunakan kapal terbang, feri raksasa dilengkapi hotel berkelas lima bintang, helikopter, kapal selam, kereta api, bas ekspres [,] malalan roket untuk menentukan imejnya dari jarak satelit.  Hasilnya?  Tiada sesiapa yang tahu saiz benar sangkat tersebut …..” (halaman 41) dan (ii) gred bahan binaan dan jalinan struktur sangkar burung itu yang diandaikan adalah “ ….. daripada rotan jualan longgakan di tepi jalan …..” (halaman 43), yang kemudiannya dibebelkan oleh cerita (iv) keperluan mengajar kemahiran membuat sangkar daripada rotan ini “ ….. kepada kanak-kanak tanpa pendidikan professional ….. bimbangkan mereka memilih rotan dan membentuk sehinggvalh ke proses menyapu varnis …..” (halaman 43),  dengan (iii) hasil penggambaran sangkar burung berkenaan dalam bentuk “ ….. filem dokumentari daripada pihak National Geography yang dilakukan dari sejak proses sangkar dibina, dihentikan begitu sahaja kerana setiap kaki tangan [kakitangan] pembuat filem tersebut dikelirukan oleh fantasi dan labirin struktur dalaman sangkar tersebut …..” (halaman 44)--tidak dapat diikuti (difahami) dengan mudah lagi cepat oleh khalayak pembaca umum.

Dari segi keinteletualan sastera, cerita atau cerita-cerita perlu jelas dari segala segi untuk menunjukkan logik berfikir penulis dan juga memudahkan logik pemahaman khalayak pembaca umum.  Sekiranya asas cerita-cerita ini tidak dapat difahami dengan baik oleh khalayak pembaca umum, sudah tentu plot (hasil daripada jalinan cerita-cerita ini) akan ikut menjadi tidak jelas. 

Sesungguhnya kebanyakan daripada khalayak pembaca umum membaca karya sastera untuk plotnya.  Hal ini mempunyai kebenarannya apabila kita sering mendengar kenyataan seperti “plot bagus atau plot tidak bagus”, plot ringkas  (simple) atau plot rumit (complicated)”, “plot menarik atau plot yang membosankan” dan/atau “tidak ada plot langsung” untuk sesebuah karya itu.

Selain ini, ungkapan seperti “the plot thickens”, yang menggambarkan keadaan menjadi rumit dan khalayak pembaca umum sukar memahami jalan ceritanya (plotnya), dan “lose the plot”, yang menggambarkan keadaan khalayak pembaca umum gagal memahami jalan ceritanya, walau dalam bentuk kabur sekali pun, adalah bukti lain bahawa plot penting kepada pembaca.

Walaupun kedua-dua ungkapan bahasa Inggeris  itu lebih merupakan klise, plot adalah reka bentuk (yang dalamnya terletak gagasan dan usulan besar/utama) sesebuah karya itu.   Sehubungan ini, reka bentuk ini sudah tentu penting, dan perlu disokong oleh setiap cerita dan/atau kesemua cerita dalam sesebuah karya itu, agar ianya dapat direalisasi dengan jelas, teliti dan indah.

Ekoran daripada kerumitan memahami logik pada setiap cerita atau cerita-cerita dalam sesebuah karya itu, plot pada karya tersebut boleh menjadi kabur kepada khalayak pembaca umum.

Hal ini didapati wujud dalam SDKM.

Sebagai contoh, mari kita teliti cerpen “Saya Ingin Mengucup Bibirnya Sekali Sahaja (untul Embok Liya)”.

Percintaan di antara manusia biasa, seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat peranginan dengan seekor ikan duyung, yang diberi nama Milagros Cerron, sudah tentu merupakan fantasi, yang walaupun diyakinkan oleh penulis sebagai “ ….. bukan mimpi atau dongeng fiksyen …..” (halaman 53), melalui pelbagai cerita yang diketengahkan, adalah sukar untuk dihubungkaitkan di antara satu dengan lain, dengan jelas oleh khalayak pembaca umum, kepada satu plot (dengan mungkin beberapa subplot lain).    Ini antaranya kerana simbolisme dua watak ini dengan percintaan yang melibatkan pengorbanan, yang sebenarnya mewakili dan menggambarkan keadaan lain, sebetulnya tidak mudah diikuti (difahami) oleh khalayak pembaca umum, yang rata-ratanya membaca karya sastera untuk hiburan (yang ada pula unsur moral dan didikan di dalamnya).

Pertukaran watak dan peranan pada akhir cerpen ini, yang memperlihatkan Milagros Cerron menjadi manusia dan hidup di daratan dengan segala kemewahan duniawi, sementara penulis pula menjadi ikan, hidup dalam air dan terpaksa menderita dengan “….. seribu jenis pencemaran toksid yang diserap air …..” (halaman 62), dan perenggan akhir, iaitu “….. ketika kami mula berkasih-kasihan dahulu, tidak pernah pun saya menyentuh tubuhnya, apalagi [apa lagi] mengucup bibirnya walaupun sekali sahaja …..”, tidak mudah dihubungkaitkan oleh khalayak pembaca umum untuk memahami plot cerpen “Saya Ingin Mengucup Bibirnya Sekali Sahaja”.

Cerita-cerita dan plot pada cerpen “Semananjung Borneo” didapati amat sukar diikuti.  Nama atau watak seperti Malaysia, Semananjung, Borneo yang diselang-selikan dengan cerita-cetita bendera (halaman 312 & 318), bahasa (halaman 318), fahaman liberal (halaman 312), hasutan laknat Yahudi (halaman 313), keganasan di dunia (halaman 313), penaklukan Iraq sebagai perebutan dominasi minyak (halaman 313), kewujudan Israel di negara palestin (halaman 314), dan lain-lain,  bukan sahaja tidak berjaya dihubungkaitkan dalam satu plot.  Tetapi lebih penting lagi ialah plotnya di sini yang dengan mudah lagi cepat tidak dapat ditentukan oleh khalayak pembaca umum.

 

Kedudukan SDKM dalam Bidang Kesusasteraan Melayu


Tidak dapat dinafikan sesetengah daripada cerpen yang dimuatkan dalam SDKM tidak dapat dibanggakan dari segi keintelektualan persuratan, khususnya dari aspek sastera.  Sehubungan ini, tidak ada banyak kebaikannya kalau aspek bahasa sahaja yang didapati memuaskan, sedangkan aspek sastera tidak dapat diikuti dengan jelas oleh khalayak pembaca umum.

Setelah berkata begitu, mungkin SDKM perlu dilihat sebagai karya sastera yang artistik dan juga eksotik sifatnya.  Dengan pendekatan yang dicatatkan pada bahagian Pendahuluan kertas kerja ini, SDKM tidak perlu dilihat sebagai sastera baik (good literature) atau sebaliknya, yakni sebagai sastera jelik (bad literature), ia perlu dilihat sebagai ciptaan dan gubahan pakaian yang penuh dengan ciri dan sifat fesyen tertentu (yang dihargai dan disanjungi oleh kelompok tertentu dalam dunia fesyen pakaian sehingga berjaya di peringkat dunia). 

Sehubungan ini, SDKM adalah karya seni, yang memperlihat wujudnya “fesyen” absurdisme, eksistentialisme dan realisme magis (halaman 306 & 307) di dalamnya.  Dengan ini, SDKM secara tersurat atau tersirat, antaranya menerapkan teori eksistentialis yang menganjurkan kebebasan bertindak bebas oleh manusia,  fahaman realisme magis yang mencampuradukkan kejadian sebenar dengan fantasi, selain merupakan sastera absurdis yang membenarkan penceritaan yang bukan-bukan sehingga tidak dapat diterima akal yang waras.  

Barangkali dalam acuan kesusasteraan Melayu tertentu, SDKM adalah contoh sastera untuk seni/seni untuk seni.  Dengan ini, SDKM adalah kreatif, imaginatif dan estetik, selain luar biasa, aneh/pelik dan boleh dikatakan asing/terasing.

Berdasarkan kiasan fesyen pakaian, SDKM adalah ciptaan dan gubahan yang tidak boleh dipakai dengan sewenang-wenangnya.  Ini kerana kurang dan tidak adanya unsur pratikal pada ciptaan dan gubahannya.  Ia lebih sesuai dijadikan penelitian ilmiah daripada bahan bacaan umum.  Dengan ini, dalam pengertian kesusasteraan Melayu tadi, SDKM adalah bukan contoh sastera untuk masyarakat/seni untuk masyarakat.

Oleh itu, SDKM kurang sesuai digunakan untuk mendidik masyarakat.  Ini kerana ia kurang/tidak realistik pada kebanyakan tempat, selain bersifat liar kepada khalayak pembaca umum, dalam pengertian kebanyakan penceritaannya didapati tidak munasabah bagi mereka.

Walau bagaimanapun, SDKM adalah bahan ilmiah yang boleh dikaji untuk melihat kelogikan cerita (cerita-cerita) dan plotnya sebagai sastera abstrak, yang mengketengahkan pemikiran penulisnya, yang sesetengah atau kebanyakannya didapati oleh khalayak pembaca umum, sebagai tidak mempunyai banyak realiti di dalamnya.

 

Rujukan

Abrams, M. H.  1999.  A Glosary of Literary Terms.  Seventh Edition.  Fort Worth (USA): Harcourt Brace College Publishers
 
Havranek, B.  1964.  The Fundamental Differentiation of the Standard Language.   Dalam Paul L. Garvin (Editor), 1964, A Prague School Reader on Esthetics, Literary Structure, and Style.  Washington D.C.: Georgetown University Press.  Halaman 3-16.

Hawthorn, J.  2000.  A Glosary of Contemporary Literary Theory.  Fourth Edition.  London: Arnold.
 
Kamus Dewan.  Edisi Ketiga.  1995 Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
 
Kamus Dewan.  Edisi Keempat.  2005.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kates, W.  1989.  A Dictionary of Stylistics.  London: Longman.

Nik Safiah Karim.  1986.  Ke Arah Penguasaan dan Penghayatan Bahasa Melayu Tinggi: Matlamat Pengajaran Bahasa dan Sastera Melayu Kini.  Dalam Nik Safiah Karim (Editor), Bahasa Melayu Tinggi: Teori dan Penerapan.  Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia dan Nurin Enterprise.  Halaman 1-
 
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa & Abdul Hamid Mahmood.  2008.  Tatabahasa Dewan.  Edisi Ketiga.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Roslan Jomel.  2012.   Selamat Datang ke Malaywood.  Kumpulan Cerpen.  Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Teo Kok Seong.  1996a.  Tabu Bahasa.  Pelita Bahasa.  Jilid 8, Bilangan 2, Februari 1996.  Halaman 41-43.

Teo Kok Seong.  1996b.  Bahayanya Bahasa “Racist”.  Jilid 8, Bilangan 11, November 1996.  Halaman 40-43.

Teo Kok Seong.  Bahasa Bujukan. Pelita Bahasa, Jilid 11, Bilangan 1, Januari 1999.  Halaman 40-43. 
 
Teo Kok Seong.  2008.  Perbincangan Gaya Bahasa Sastera Karya/Tulisan A. Samad Said: Analisis Linguistik.  Kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Pemikiran Sasterawan Negara A. Samad Said, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 13-15 Mei 2008 di DBP.

Teo Kok Seong et al. (Penyusun).  2010.  Bahasa Melayu Bestari.  Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Teo Kok Seong.  2012.  Novel Memori Abadi: Satu Ulasan Linguistik Persuratan.  Kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Sastera Pelbagai Kaum 2012, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 6-7 September 2012, di ASWARA.

 

 

1 ulasan:

  1. Tulisan Teo Kok Seong merupakan tulisan paling celaka dalam dunia kesusasteraan. It's really a blunder, stupid and lousy analysis.

    BalasPadam