Jumaat, 5 April 2013

KARYAWAN WANITA SARAWAK : BEB SABARIAH (ANTARA PERKEMBANGAN DAN CABARAN KEINTELEKTUALANNYA)

ABSTRAK

Karya sastera merupakan medium ekspresi seni yang sarat dengan intelektualisme dan didaktisme. Intelektualisme dan didaktisme dianyam dengan halus dan berseni agar pembaca memperoleh manfaat daripada kisah yang dihidangkan. Menelusuri Mawar Magenta, koleksi cerpen Bib Sabariah, memperlihatkan kecenderungan sasterawan wanita ini untuk mentafsir setiap isu yang melingkari kehidupan wanita daripada perspektif  feminisme. Daripada kaca mata feminisme, pengarang mendedahkan perjuangan wanita untuk mengekalkan keamanan, perjuangan untuk menentang ketidakadilan yang berleluasa dalam kalangan  kanak-kanak perempuan, remaja, wanita dan warga emas dan perjuangan untuk mengembalikan nilai-nilai kemanusiaan yang semakin terhakis dalam diri insani. Personaliti wanita yang cekal, tabah, berani dan beriman juga diketengahkan sebagai watak utama dalam kumpulan cerpen ini. Kata-kata hikmat, frasa simbolik dan diksi berlapis dimanfaatkan untuk menyampaikan amanat secara tersirat. Mawar Magenta secara simbolik merujuk kepada kaum Hawa yang berani, dinamik,yang memiliki intelektualiti dalam menangani rintangan yang melingkari kehidupan mereka di alam fana ini.

Kata Kunci : Mawar Magenta,  intelektualiti,  kreativiti, wanita, pejuang wanita

 
OLEH :
RAJA RAJESWARI SEETHA RAMAN

 

1.0              Pendahuluan

Sasterawan adalah perakam sejarah dan nukilan kreatif mereka merupakan dokumen sejarah yang sarat dengan intelektualisme dan didaktisme. Nilai intelektualiti dan didaktiviti ini dianyam secara halus dan berseni melalui frasa simbolik dan gaya metaforikal.  Dengan meneliti nukilan kreatif sasterawan, dapat diketahui kisah dan peristiwa yang pernah berlaku pada dekad atau zaman tersebut. Nilai intelektualiti yang menjadi elemen utama dalam sesebuah karya kreatif tidak terbatas kepada bangsa, agama dan gender sebab semua insan yang bergelar sasterawan melunaskan tanggungjawab ini kepada masyarakat melalui bentuk, corak dan gaya persembahan tersendiri yang menjadi idiosinkrasi individu tersebut. Dan dalam konteks ini sasterawan wanita dari Bumi Kenyalang tidak terkecuali kerana sumbangan mereka meluaskan horizon pemikiran insan dan menyuburkan persuratan kebangsaan dari segi intelek.

 

2.0              Takrif Keintelektualan

Keintelektualan yang berasal daripada kata dasar “intelek”, merupakan diksi yang dipinjam daripada bahasa Inggeris  intellect”. “Intellect” bermakna ‘power of mindtoreason’ yang membabitkan akal budi dan daya berfikir (Khalid M. Hussain, 1979 : 643). Kalimat  intellect” ini dipinjam daripada kata dasar bahasa Inggeris “intelligence”. “Intelligence” ditakrifkan sebagai kebolehan menggunakan perasaan dan pengalaman yang lepas untuk disesuaikan dengan situasi baharu (S. Othman Kelantan, 1997 : 7).

Manakala intelektual atau “intellectual” bermakna “having the power of understanding, a power of superior intellect or enlightenment” atau seseorang yang mempunyai atau menunjukkan daya berfikir atau akal budi. Oleh sebab itu akal atau minda dihubungkan dengan keintelektualan seseorang. Individu yang intelektual akan sentiasa berfikir tentang masalah yang wujud dalam masyarakat (S. Othman Kelantan, 1997 : 8).

Takrif  intelektual menurut Syed Hussein al-Attas ialah “ an intellectual is a person who is engaged in thinking about ideas and non material problems using the faculty of reason and intellectuals produce ideas and spread them to other members of society” (1977 : 8-9).

Daripada pandangan beberapa orang sarjana, keintelektualan boleh dirumuskan sebagai kebolehan seseorang dalam menggunakan minda, perasaan dan pengalaman untuk menyampaikan sesuatu yang lama  dalam bentuk dan situasi baharu.  Dengan perkataan lain, intelektualiti membabitkan inovasi dan kreativiti individu untuk menyampaikan semula sesuatu yang lama dalam situasi yang menarik.

 

3.0              Keintelektualan dalam Kumpulan CerpenMawar Magenta
 
Menelusuri kumpulan cerpen Mawar Magenta karya Beb Sabariah atau lebih dikenali sebagai Cikgu Bibi, terbukti bahawa sasterawan wanita dari Bumi Kenyalang ini memiliki intelektualiti dan kreativiti dalam menghantar muatan subjek kepada khalayak atau pembaca. Kisah silam yang berlaku dalam masyarakat diolah dan dipersembahkan semula kepada pembaca dalam situasi yang segar.

Keintelektualan Beb Sabariah tercermin melalui kebolehan beliau memanfaatkan kisah benar yang berlaku di Afghanistan, Iraq, Amerika, Malaysia, Mekah,Vietnam,  peristiwa yang dilaporkan dalam media cetak arus perdana dan kisah daripada legenda dalam bentuk yang kreatif, inovatif dan efektif. Malah  pemilihan nama watak utama dalam cerpen beliau juga meninggalkan kesan yang mendalam dalam sukma pembaca.

Daripada dua puluh cerpen yang terhimpun dalam Kumpulan Cerpen Mawar Magenta, enam belas cerpen adalah mengenai kaum Hawa atau wanita. Sebagai mantan pendidik dan wanita, beliau berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk mendedahkan perjuangan kaum wanita dan memperjuangkan nasib wanita yang teraniaya melalui nukilan kreatif. Wanita yang menjadi watak utama dalam cerpen beliau boleh dikategorikan kepada beberapa kategori utama seperti berikut.


3.1              Wanita Sebagai Pejuang Keamanan

Sejarah membuktikan bahawa wanita pernah berjuang untuk mempertahankan ibu pertiwi mereka daripada dijajah oleh Imperialis Barat, memperjuangkan nasib wanita yang teraniaya, memperjuangkan hak asasi wanita dan memperjuangkan keamanan dan keadilan wanita. Nama-nama seperti Ellen Johnson Sirleaf, Leymah Gbowee, Tawakkul Karman, Mother Teresa, Betty Williams, Rani Lakshmibai dan Augustina de Aragon merupakan pejuang wanita yang berjuang untuk keadilan dan keamanan negara.  Perjuangan yang dirintis oleh mereka diteruskan oleh Nancy Maimunah dalam cerpen “Surat untuk Nancy Maimunah”.

Dalam cerpen “Surat untuk Nancy Maimunah”, Nancy Maimunah digambarkan sebagai wanita yang memperjuangkan anti keganasan. Meskipun Nancy merupakan warganegara Amerika, namun beliau tidak bersetuju dengan serangan Amerika terhadap Afghanistan kerana rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa. Justeru, Nancy menyertai aktivis anti perang bernama Green Party dan memperjuangkan keadilan bagi rakyat Afghanistan. Buktinya tertera di bawah ini :

“Tidak semena-mena mataku terpaku kepada gambar tentang   aktivis antiperang yang bernama Green Party di skrin TV   malam itu. Para aktivis mengadakan demonstrasi di Atlanta   lagi. Sepanduk berbunyi, ‘Hentikan Peperangan’, ‘Hentikan   Gerakan Ketenteraan dan ‘Tuhan Merestui Keamanan’   terpampang  jelas dalam gambar”(Mawar Magenta, 2010 : 12).

“Seorang daripada aktivis melaung, “Darah mereka yang tidak berdosa dalam tangan kerajaan Amerika jika ia melancarkan serangan ke atas Afghanistan!  Berjuta-juta rakyat Amerika   menuntut keadilan sebab tidak menyenangi pembunuhan

            membuta tuli!” (Mawar Magenta, 2010 : 12).
 

“Aku masih asyik melihat bantahan sebahagian rakyat Amerika
 
sendiri terhadap tindakan negaranya. Tiba-tiba mataku terpaku

pada satu wajah. Sekali imbas kulihat wajah yang sedang melaungkan slogan antikeganasan itu mirip Nancy. Lalu kuamat-amati sekali lagi. Sesungguh hati” (Mawar Magenta, 2010 : 12-13).

“Iya, memang sah itu Nancy! Memang Nancy Maimunah! Aku memang tidak salah orang. Aku cam wajah itu! Wajah yang sudah sepuluh tahun tinggal di sebelah rumahku dulu” (Mawar Magenta,2010 : 13).

“Nancy, kau juga rupanya turut memberontak terhadap tindakan ganas Paman Sam yang berselindung di sebalik membanteras keganasan. Aku terjerit sendirian”(Mawar Magenta, 2010 : 13).

“Nancy Maimunah. Dalam kelompok kambing hitam pasti ada yang putih,” ujarku kepada diri yang baru disergah kesedaran”(Mawar Magenta, 2010 : 13).

Daripada contoh di atas, terbukti bahawa warga Amerika sendiri tidak bersetuju dengan peperangan yang dilancarkan oleh Amerika terhadap Afghanistan. Pejuang anti keganasan dan aktivis hak asasi manusia telah mengasaskan Green Party yang mendambakan keharmonian dan kesejahteraan rakyat di dunia. Dalam cerpen tersebut, Nancy mewakili jutaan insan Amerika yang menentang keganasan Amerika Syarikat di Afghanistan.

Pemilihan nama Nancy Maimunah oleh pengarang ada signifikannya dalam sejarah perjuangan wanita. Isteri Hugo Chaves, mendiang Presiden Venezuela dari Parti Sosialis yang membela nasib golongan marhaen dan menentang keganasan Presiden George W. Bush dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat pada tahun 2008 juga bernama Nancy. Nama penuh beliau ialah Nancy Colmenares.

Manakala Setiausaha Wanita Barisan Nasional Sarawak yang memperjuangkan keadilan dan keamanan juga bernama Nancy Shukri. Perkataan “Maimunah” dalam agama Islam membawa maksud “untung” atau “diberkati Allah”. Justeru, nama “Nancy Maimunah” boleh ditafsirkan sebagai perjuangan oleh pejuang wanita yang mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa.  Dalam konteks ini, pemilihan nama watak utama, Nancy Maimunah, oleh pengarang mencerminkan keintelektualan beliau dalam menggandingkan realiti dengan kreativiti.
 

3.2              Wanita Sebagai Pejuang Ketidakadilan

Wanita perlu berjuang untuk membanteras ketidakadilan dan keganasan terutama sekali sumbang mahram yang semakin berleluasa dalam kalangan kanak-kanak perempuan, remaja dan wanita di negara ini. Ketidakadilan terhadap wanita didedahkan oleh pengarang melalui watak Nina Chong  dalam cerpen “Forum Wanita”. Dalam cerpen ini, Nina Chong dengan berani mendedahkan bahawa dia pernah diperkosa oleh abang kandungnya ketika dia berusia tujuh tahun.  Berikut pengakuan Nina Chong kepada peserta Seminar  Hak dan Peranan Wanita:

“Semasa berusia tujuh tahun saya sudah ditiduri lelaki. Abang   kandung saya sendiri. Saya terseksa menanggung sakit bukan kepalang, tetapi saya tidak tahu apa harus dilakukan. Saya hanya menanggung derita tidak terperi. Sekarang barulah saya tahu. Itu pun selepas media mendedahkannya secara meluas.    Walaupun dalam usia 40-an begini, pengalaman lalu masih   menghantui perasaan. Fobia. Perasaan takut dan benci terhadap lelaki kadang-kadang begitu membuak,” suara Nina Chong tertekan-tekan kerana sebak” (Mawar Magenta, 2010: 59).

Selepas pengakuan daripada Nina Chong, Puan Rajemah atau Azimah memulakan “Seminar Hak dan Peranan Wanita” dengan mengemukakan pertanyaan retoris kepada khalayak sebab musabab kaum keluarga sendiri menganiaya wanita seperti yang boleh  ditemukan dalam contoh berikut:

“Saya sengaja memulakan majlis forum kita petang ini dengan memaparkan kisah benar mengenai salah satu daripada gejala kebejatan sosial iaitu keganasan terhadap wanita. Ia kian menular dalam masyarakat kita. Ia bukan sahaja menjadi isu semasa, malah berkala-kala. Abang, abang ipar, ayah tiri, ayah kandung bahkan yang berstatus datuk adalah antara pelakunya selain orang lain yang juga sering kita dengar merupakan orang yang dikenali mangsa. Kenapa perkara ini berlaku?” (Mawar Magenta, 2010:60).

“Sumbang mahram serta keganasan rumah tangga harus dipandang serius kerana ia membabitkan wanita, remaja dan kanak-kanak perempuan. Adalah wajar kita menjaga kebajikan wanita dari segenap lapisan usia kerana merekalah bakal melahirkan generasi yang bakal memimpin negara” (Mawar Magenta, 2010: 61).

“Saya berharap kita sama-sama dapat mengubah pemikiran setiap wanita untuk lebih berani mendedahkan permasalahan masing-masing serta memerdekakan diri daripada kemelut kehidupan. Hubungilah Biro Khidmat Nasihat Negara untuk mendapat khidmat nasihat serta perlindungan. Ia sentiasa membuka pintu untuk menjaga kebajikan wanita. Penerangan Dr. Rubiah yang tepu informasi itu benar-benar membuka mata dan minda khalayak yang dari awal lagi terpaku di tempat duduk masing-masing”(Mawar Magenta, 2010:67).

Selepas penerangan oleh Dr. Rubiah, Puan Rajemah atau Azimah dengan berani menyatakan bahawa beliau ingin  dikenali sebagai  Puan Azimah sahaja dan bukan sebagai Puan Rajemah kerana nama tersebut tidak membawa konotasi yang positif kepada dirinya. Perubahan sikap  Puan Azimah serta peserta “Seminar Hak dan Peranan Wanita” terbukti daripada kalimat “saya ingin memerdekakan diri saya dari sentiasa direjam” dan “masing-masing telah bertukar menjadi wanita baharu belaka”. Berikut buktinya:

“Sebelum bersurai saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan sesuatu yang terbuku di hati saya selama ini”. Hadirin terjelengar”(Mawar Magenta, 2010: 70).

“Saya ingin puan-puan mengenali saya sebagai Puan Azimah sahaja,bukan Puan Rajemah seperti yang disebut juruacara pada awal majlis tadi. Tidak menyalahkan sesiapa kerana ia tertera atau tercatat di dalam kad pengenalan namun apa yang tersirat, saya ingin memerdekakan diri saya dari sentiasa “direjam” (Mawar Magenta, 2010:70). 

“Atas input yang diperoleh dan dicernakan sepanjang berada dua jam dalam majlis ilmu begini semua yang melangkah keluar merasakan seolah-olah diri masing-masing telah bertukar menjadi wanita-wanita baharu belaka”(Mawar Magenta, 2010:70).
 

Daripada contoh di atas, jelas bahawa pengarang berjaya  membuka minda wanita agar mereka berani menentang ketidakadilan dan berani memperjuangkan hak mereka mengikut lunas undang-undang. Keintelektualan pengarang terbukti apabila beliau menggunakan penceramah wanita, Dr. Rubiah untuk mengubah sikap dan pemikiran  kaum wanita yang terkongkong sebelum ini. Pemilihan nama Dr. Rubiah bukan secara kebetulan tetapi ada maksud tersirat di sebalik penggunaan nama tersebut. Dr. Rubiah merupakan aktivis dan pakar motivasi yang sentiasa menyampaikan ceramah di serata tempat untuk menyedarkan kaum wanita akan hak dan tanggungjawab mereka sebagai wanita mengikut lunas-lunas Islam. Melalui watak Dr. Rubiah pengarang berjaya menyampaikan amanat secara tersirat dan intelektual bahawa hanya kaum wanita yang boleh menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka dan bukannya orang lain. Mesej ini dianyam secara halus dan berseni melalui ceramah Dr. Rubiah  dalam cerpen “Forum Wanita”.


3.3              Wanita Sebagai Pejuang Kemanusiaan
 

Perjuangan kaum Hawa tidak terbatas kepada perjuangan untuk menegakkan keamanan dan keadilan sahaja, bahkan mereka turut memperjuangkan nasib kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa penderaan lelaki. Amanat ini disalurkan melalui watak orang gaji bernama Normila yang cuba melindungi ‘Ain daripada terus dipukul dengan ganas oleh ayah kandungnya dalam cerpen “ Ayah Kembalikan Tangan Ain”.

Dalam cerpen ini, Nurul ‘Ain, kanak-kanak berusia tiga tahun dipukul oleh ayah kandungnya semata-mata kerana dia telah menggores lantai simen dan kereta Proton Waja ayahnya dengan menggunakan paku yang disangkanya sejenis pensel. Perhatikan penderaan ayah kandung Nurul ‘Ain yang menyebabkan kanak-kanak perempuan itu menanggung kesakitan yang keterlaluan sebelum tangannya diamputasi oleh doktor.
 

“Ayah, jangan pukul ‘Ain, ‘Ain janji ‘Ain tak buat lagi. Nurul ‘Ain tercungap-cungap, meraung dan terus menangis. Bajunya lecun oleh peluh berbaur air mata yang tidak tertahan. Badan kerdil itu terketar-ketar ketakutan di samping menahan sakit” (Mawar Magenta, 2010 : 129).

“Oh, ni ada pensel tajam,” jari kecil gebu itu mengutip sebatang paku yang dijumpainya di sisi pasu bunga. Dia terus melakar lukisan ke atas lantai simen dengan “pensel” baharunya. Bingkas dia berlari ke sisi kereta Waja Ayah lalu mula membuat goresan”(Mawar Magenta, 2010 : 133).

“Luka-lukanya terkena arteri. Kecederaan terkena pada pembuluh halus,” jelas doktor di wad pediatrik hospital besar seminggu selepas mendapat rawatan di klinik swasta. “Dalam perubatan, ia dinamakan gangren iaitu penyakit kemusnahan tisu dan sel. Sel yang hidup mati secara tiba-tiba. Kecederaan menyebabkan bekalan oksigen ke saraf organ tangannya tidak mencukupi, sebab itu pemulihan terbantut sama sekali. Aliran darah sudah tidak sampai ke hujung jari,” tambah doktor apabila Ibu meminta penjelasan panjang lebar”(Mawar   Magenta, 2010 : 137).
 
“Tangisan ‘Ain sesekali memecah keheningan di dalam wad. Ubat penahan sakit, penisilin dan antibiotik hanyalah berupa penenang sementara. Betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul”(Mawar Magenta, 2010 : 138).

“Pagi itu doktor mencadangkan agar tangan ‘Ain diamputasikan agar mengelak kuman merebak ke bahagian lain. “ Tiada pilihan lain”, katanya, “bahagian yang sudah hilang deria rasa dan mati itu perlu dibuang segera, kedua-duanya, demi nyawanya”(MawarMagenta, 2010 : 138).

“Malam itu ‘Ain semakin sedar dan segar. “Ain cuba mengangka ttangan yang berbalut dari kelubung selimut. Tangan yang diangkat terasa amat ringan”(Mawar Magenta, 2010 : 140). 

“Mana tangan ‘Ain, Bu?  Mana tangan ’Ain, Ayah?”(Mawar   Magenta, 2010 : 140).
 
“Ayah, tolong jangan ambil tangan ‘Ain. ‘Ain janji ‘Ain tak buat lagi. Bagi balik tangan ‘Ain Ayah,” rayu ‘Ain berkali-kali”(Mawar Magenta, 2010 : 140).

Apabila ‘Ain dipukul oleh ayahnya, Nurmila yang pernah mengasuh ‘Ain menyalahkan dirinya atas kesalahan yang dilakukan oleh ‘Ain dan cuba menyelamatkan ‘Ain daripada terus dipukul oleh ayahnya. Buktinya tertera dalam contoh di bawah ini:  

 
“Pak jangan pukul ‘Ain lagi. Itu salah saya. Ampun Pak,”rayu    Mila sambil meratap setiap kali melihat daun buluh jepun      hinggap ke tangan anak kecil, anak asuhannya itu. Ratap dan               rayu  bersilih ganti. Mila terus terkebil-kebil melihat kegawatan di depan mata. Ayah ‘Ain seakan sudah terasuk. Meluru ke depan,‘Ain ditarik Mila ke belakang. Dengan tangan mendepang dia cuba melindungi ‘Ain. Beberapa pukulan hinggap pula ke lengannya. Dia membiarkan tangannya menjadi galang ganti sasaran ayunan ranting. “Biarlah aku dipukul, aku rela,”gesit Mila digamit perasaan bersalah yang amat sangat” (MawarMagenta, 2010:129-130).

Emosi Ayah ‘Ain semakin tidak terkawal. Matanya semakin  berbinar dalam kemarahan. Tangan Mila ditepis kasar. Mila  jatuh tersungkur. Tangan si kecil dicengkam lagi. Ayunan dahan itu hinggap untuk kesekian kali ke tapak tangan. Lepas sebelah,sebelah lagi. Masa Mila terjelopok ‘Ain terus merangkul dan memaut tengkok Mila lalu membenamkan muka ke bahunya. Mila mendukung ‘Ain yang masih tersedu-sedan. Dia mesti melindungi ‘Ain. Dia mahu membawa ‘Ain masuk ke bilik. Beberapa kali dahan liat itu hinggap di belakang , punggung, serta betis Mila. Mila tidak peduli. Dia terus melarikan ‘Ainseakan, ‘Ain anak kandungnya sendiri” (Mawar Magenta, 2010 :  130).
 
Daripada contoh tersebut, terbukti bahawa hanya  wanita yang  boleh melindungi atau menyelamatkan nyawa kaum sejenisnya jika mereka dikasari oleh kaum lelaki. Dalam konteks ini, ‘Ain pernah diasuh oleh Nurmila, orang gaji ‘Ain justeru naluri keibuan yang ada pada Nurmila yang menyebabkan dia sanggup menerima pukulan daripada ayah ‘Ain asalkan ‘Ain terselamat. Perhatikan kasih sayang Nurmila terhadap ‘Ain  di bawah ini yang menyebabkan dia sanggup menanggung derita dan seksa asalkan ‘Ain terselamat:

“Mila terasa belakang, punggung serta betisnya perit kena belasah. Namun Mila tidak peduli. Dia lebih mengutamakan ‘Ain. Sakitnya cuma sedikit, sakit ‘Ain pasti seribu kali ganda, fikirnya. Mila mendakap ‘Ain. Mila mengesat air mata ‘Ain. Mila mencium pipi dan kepala ‘ Ain” (Mawar Magenta, 2010: 131).

Kerelaan orang gaji bernama Nurmila yang sanggup menerima pukulan asalkan ‘Ain terselamat membuktikan bahawa wanita sahaja yang akan tampil ke depan untuk melindungi kaum sejenisnya jika berlaku penganiayaan terhadap mereka. Dalam konteks ini, nilai kemanusiaan dan  kasih sayang yang tulen tidak mengenal   pangkat, darjat atau martabat. Itulah mesej yang tersirat di sebalik cerpen “Ayah Kembalikan Tangan ‘Ain”.
 

3.4              Wanita Sebagai Tempat Perlindungan

Kaum wanita bukan sahaja melindungi kanak-kanak perempuan, remaja dan wanita lain tetapi juga memberi perlindungan kepada bayi yang tiada tempat perlindungan akibat kemiskinan. Mesej ini terungkap dalam cerpen “Menyusur Galur”. Dalam cerpen ini, Kamelia telah diserahkan oleh ibu kandungnya kepada Siti kerana ayah kandung Kamelia, Mat Jelawat seorang pemeras, pencuri dan pemabuk  yang sering keluar masuk penjara. Malah penjara merupakan tempat kediamannya yang kedua. Dan ibu Kamelia terpaksa meneruskan kehidupannya dengan mengandang dan menjual anak kandungnya kepada keluarga yang tiada anak. Berikut keterangan tentang keluarga Kamelia sebagaimana yang didedahkan oleh polis kepada Kamelia:

“Polis sudah tahu manusia gelandangan itu yang sering keluar   masuk penjara, penghuni kaki lima, pemabuk, pencuri, pemeras.Isterinya dua kali lima. Beranak jual, beranak jual. Entah beraparamai  sudah anaknya dijual. Dia jual pun tidak kira kepada siapa,Cina, India, Dayak? Asalkan dapat duit. Ala, sendat fail polis dengan kes si Mat Jelawat itu” (Mawar Magenta, 2010 : 51).

Polis pernah mengucapkan terima kasih kepada ibu angkat Kamelia, Siti Khadijah atas keprihatinannya mengambil Kamelia sebagai anak angkatnya. Jika dia tidak memberi perlindungan kepada bayi tersebut, maka nasib bayi seperti Kamelia akan menjadi malang  sebagaimana yang digambarkan di bawah ini:

“Syukur puan dapat membela seorang daripada mereka jika               tidak semakin ramailah manusia terjebak. Puan elok jangan   dedahkan identiti ibu bapanya. Eloknya Kamelia jangan tahu”.   Jeda pegawai polis itu penuh empati” (Mawar Magenta, 2010 : 51).

Kamelia ditinggalkan oleh ayah kandungnya Mat Jelawat di depan rumah Siti Khadijah  ketika usianya dua tahun dalam keadaan yang tidak terurus. Ibu angkatnya Siti yang memberi kehidupan baharu kepada Kamelia. Perhatikan keadaan Kamelia ketika ditinggalkan oleh ayah kandungnya di bawah ini :

“Tengah hari itu, sekembalinya dari pejabat, Siti melihat    seorang budak menangis di luar pintu rumahnya. Kira-kira    dua tahun usianya. Comot. Macam anak orang hutan. Badan   berbau. Rambut kusut masai penuh kutu. Badan penuh kudis.  Hingus meleleh. Daki kering. Kuku tangan kaki panjang hitam

berkarat. Dari situlah Siti bela dia sehingga dia menjadi seorang manusia”(Mawar Magenta, 2010 : 53). 

“Selang seminggu ada seseorang datang ke rumah Siti. Dia   meminta wang. Dia minta harga ‘barang’ yang ditinggalkannya   di depan pintu Siti. Aduh. Rupa-rupanya anak si Mat Kaki Limaitu. Masya-Allah !”(Mawar Magenta, 2010 : 53). 

“Dia minta wang belanja untuk membeli arak kegemarannya. Bauarak Cap Langkau menusuk hidung Siti. Metah meloyakan. Buat beberapa waktu Siti menjadi penaja dua butir nyawa yang jelik. Tidak, tidak termasuk anak itu. Dia tidak bersalah. Si bapa yang salah. Pandai membuat anak tetapi tidak pandai menjaga anak. Ironi masyarakat sampah. Siti sedar anak itu sudah dua kali bertukar tangan. Kerana tidak tahan, orang pertama menerimanya,memulangkan budak itu kembali setelah menderanya kerana sakit hati diperas ugut si bapa. Tidak habis-habis meminta wang. Lagi-lagi si benalu itu. Parasit”(Mawar Magenta, 2010 : 54).

Kamelia bukan sahaja diberi perlindungan oleh ibu angkatnya, Siti Khadijah malah dia dijadikan seorang insan yang beriman yang mampu berdikari dan memiliki hala tuju dalam hidupnya. Adakah Kamelia akan memperjuangkan nasib wanita yang teraniaya sepertinya di masa hadapan?  Pertanyaan retoris oleh pengarang boleh ditemukan di bawah ini :

“Inilah Kamelia, anak gelandangan dari sampah yang tidak pernah mendengar azan sejak lahir kini menjadi anak kesayangan Siti Khadijah. Mampukah dia mewarisi perjuangan Siti, mengangkat martabat wanita, menebus dunia dari kezaliman hidup?”(Mawar Magenta, 2010 : 55).

Cerpen “Menyusur Galur” mendedahkan nasib anak yang ditinggalkan oleh ayah yang tidak bertanggungjawab. Jika wanita tidak memberi perlindungan dan kehidupan baharu kepada anak-anak  ini, nasib mereka akan menjadi lebih malang. Persoalan ini dikemukakan oleh pengarang secara retoris. Mesej tersirat di sebalik kisah ini ialah peranan dan tanggungjawab wanita dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan anak-anak yang ditinggalkan oleh keluarga. Mereka akan mengambil kanak-kanak ini sebagai anak angkat mereka atau menyerahkan mereka kepada Rumah Kebajikan agar masa depan mereka terjamin. Dalam konteks ini, Siti Khadijah menggalas tanggungjawab tersebut dengan ikhlas.


3.5              Wanita Sebagai Insan Yang Tabah

Ketabahan dan kesabaran sinonim dengan wanita. Wanita bukan sahaja digambarkan sebagai insan yang tabah menghadapi cabaran hidup, tetapi mereka juga tabah mengharungi segala ujian hidup dengan keyakinan yang tinggi. Kesabaran wanita disampaikan secara kreatif dalam cerpen “Di Multazam Rindu Terlerai” yang mengambil latar tempat Multazam di Baitullah.

Dalam cerpen ini, seorang ibu bernama Chamita Fatimah dari Hatyaai telah putus hubungan dengan anak lelakinya Awae Ismail seorang jurutera lombong minyak di Borneo selama dua puluh tahun. Tetapi Chamita digambarkan sebagai wanita yang tidak hilang keyakinan diri. Dia tabah berdoa kepada Yang Maha Esa agar dipertemukan  semula dengan anaknya yang hilang.  Berikut  kenyataan Chamita kepada Dayang Aminah :  

“Chamitafitisnasuheh Fatimah dari daerah Hatyaai, Negara Thai.   Anak lelakinya Awae Ismail seorang jurutera lombong minyak   di sebuah negara minyak yang kaya raya di Borneo. Berita serta   titipan dari negara emas hitam itu terhenti tiba-tiba selang tiga  tahun Awae bertandang ke negara di seberang Laut China Selatan itu. Tahun-tahun berikutnya tiada berita langsung dari daerah seberang. Penantiannya nihil. Chamita tinggal sebatang kara setelah kematian suami. Atmanya sebu. Selama dua puluh tahun dia mengembara dalam penantian kosong. Dia sudah tiada siapa-siapa lagi di dunia ini kecuali Awae yang sudah melupakannya”(Mawar Magenta, 2010 :92).

Chamita yang usianya dalam lingkungan tujuh puluhan berdoa dengan tabah saban hari di Multazam agar dipertemukan semula dengan anaknya yang hilang. Selama dua puluh tahun tiada berita daripada anaknya Awee. Perhatikan doa Chamita di Multazam di bawah ini:  

“Kukira usia wanita itu sekitar tujuh puluhan. Setiap hari dia tercatuk di kawasan yang sama, datang awal, pulang jauh lebih lewat daripada jemaah lain. Susuk badannya kecil, wajahnya jernih. Air mukanya tenang dan sikapnya terlalu berdikari. Matanya di pejam rapat semasa bertasbih. Entah apa pintanya di mandala Multazam itu hanya Allah dan dia sahaja yang tahu” (Mawar Magenta, 2010 : 90).

Ketabahan Chamita terjawab apabila doanya dimakbulkan oleh Yang Maha Esa. Chamita  dipertemukan semula dengan anaknya Haji Ismail di Multazam. Pertemuan mereka penuh syahdu dan bermakna sebagaimana yang tertera di bawah ini :

“Wajah Chamita yang tunduk dan khusyuk berdoa diamat- amati Haji Ismail. Hatinya tiba-tiba sebu. Bibirnya gementar. Dadanya bergetar. Haji Ismail lantas menerpa dan memeluk wanita itu, seolah-olah dunia hanya milik mereka berdua. Tangan yang selembut nirmala itu dirangkulnya ke pipi. Ibu yang disangkanya sudah meninggal akibat banjir lumpur di Songkhla di prahara lampau rupa-rupanya masih hidup, masih menunggu kemunculannya” (Mawar Magenta, 2010: 93) 

Ketabahan  Chamita selama dua puluh tahun akhirnya membuahkan hasil.  Ibu dan anak dipertemukan di suatu daerah yang dianggap bermustajab oleh umat Islam iaitu daerah Multazam. Amanat di sebalik pertemuan mereka di Multazam ialah ketabahan amat dituntut dalam mengharungi ujian daripada Yang Maha Esa. Insan sewajarnya tabah dan tidak mudah kecewa atau berputus asa apabila hasrat mereka tidak dimakbulkan dengan segera oleh Pencipta Alam Semesta.

Sikap ketabahan seorang wanita bernama Nusaibah tercermin dalam cerpen berjudul “Nusaibah”. Meskipun dua kali perkahwinan  Nusaibah  berakhir dengan kegagalan, namun Nusaibah tetap tabah dan tidak mudah berputus asa. Suami pertama Nusaibah seorang penagih dadah. Dia meninggal dunia dalam nahas jalan raya kerana terlanggar kereta suami kedua Nusaibah yang terletak di bahu jalan. Perkahwinan kedua Nusaibah juga gagal apabila Nusaibah mendapat tahu bahawa suaminya Ustaz Entiggik bukan seorang duda sebaliknya dia sudah berkahwin dengan wanita bernama Helena.

Dalam cerpen ini, Nusaibah sering dianggap sebagai anak yang bertuah oleh ayahnya. Frasa “anak bertuah” sebenarnya membawa maksud tersirat. Nusaibah amat bertuah kerana tidak perlu mengharungi kehidupan dengan seorang penagih dadah dan seorang penipu. Tuahnya yang menyelamatkannya daripada kedua-dua orang suami yang tidak bertanggungjawab. Perhatikan penggunaan frasa “anak bertuah” oleh pengarang  dalam contoh di bawah ini: 

“Di gegendang terdengar-dengar suara Ayah berkata untuk kali ketiga : “Anak bertuah!” ( Mawar Magenta, 2010: 46)
 

3.6              Wanita Sebagai Insan Yang Berani          

Sikap keberanian wanita didedahkan oleh pengarang dalam cerpen “Mahkota di Payang Puri”. Dalam cerpen ini Leha dengan berani telah bermalam di bilik  yang sama dengan Leftenan Wan di Payang Puri.             Meskipun Leha telah berkongsi bilik yang sama dengan Leftenan Wan, namun dia berjaya mempertahankan kesuciannya. Keimanan yang tinggi dalam dirinya menyebabkan dia berani berkongsi bilik dengan seorang  jejaka seperti yang digambarkan dalam contoh di bawah ini yang dipetik daripada cerpen “Mahkota di Payang Puri”:

  Payang Puri satu-satunya hotel yang menjadi mercu tanda

bandar itu yang menyimpan seribu kenangan antara dia dengan Leha. Leha juga pernah bermalam di Payang Puri bersama-samanya. Sampai sekarang Wan masih mengagumi iman serta kesungguhan Leha mempertahankan mahkotanya. Jinak-jinak lalat, lantaran itu Wan semakin tertambat untuk memiliki Leha menjadi isteri yang sah dan membawanya balik ke Malaya. Sayangnya orang tua Leha tidak merestui perhubungan itu”

(Mawar Magenta, 2010 : 73)

“Ya Allah, Kau Maha Melihat, Maha Mengetahui dan Maha Mendengar. Aku bersyukur ya Allah atas keimanan yang Kau berikan, dan jika dia Kau jadikan pasanganku satu hari nanti, berilah dia peluang menghormatiku sebagai seorang wanita beriman yang tahu menjaga kewanitaannya” (Mawar Magenta, 2010: 79)

Daripada contoh di atas ternyata bahawa keimanan yang tinggi dalam diri Leha yang menyebabkan dia berani bermalam di Payang Puri bersama-sama Leftenan Wan meskipun ramai yang melihat mereka dengan curiga sebaik sahaja mereka keluar dari bilik hotel. Perhatikan kecurigaan yang tergambar pada wajah rakan-rakan Wan di bawah ini:

“Mejar Rahmat mengulum senyum apabila Leftenan Wan dan

 Leha melangkah keluar dari Payang Puri.Prebet lain melemparkan pandangan yang aneh. Leha mengandai korupsi fikiran dan kebobrokan telah menguasai minda mereka. Ia amat menyakitkan hati. Leha teringin menjerit kepada semua,”Hoi, tak ada apa yang berlakulah!” Namun apalah guna” (Mawar Magenta, 2010 : 79)

Intelektualiti yang tersirat di sebalik kisah tersebut ialah  kaum wanita perlu berani dan tidak perlu berasa takut, bersalah atau malu dengan  tanggapan masyarakat jika mereka tidak melakukan sebarang dosa atau kesalahan.  Malah dalam cerpen “Mimpi Hadarah” juga tersirat amanat ini apabila Waheeda memberitahu kepada ibunya bahawa dia tidak perlu takut kepada sesiapa jika dia tidak bersalah. Berikut kata-kata Waheeda yang lebih dikenali sebagai Eda kepada ibunya Raidah:

“ Jika Eda lurus, Eda tak perlu risau. Jika Eda lurus, luruslah! (Mawar Magenta, 2010: 204).

Dalam cerpen “Mimpi Hadarah” Waheeda  dengan berani  telah pergi ke bilik  Chalet untuk bertemu dengan pelanggannya Dawood, seorang ahli perniagaan dari Dubai atas urusan perniagaan. Apabila suaminya mencurigainya maka Waheeda bermonolog  dalam hatinya. Buktinya tertera di bawah ini:
 
“ Waheeda terkedu. “Eda tak pernah bersikap berlebih-lebihan dengan mana-mana lelaki,” akui hatinya. Tulus. Sedih Waheeda menerima kritikan mengenai sikapnya” (Mawar Magenta, 2010: 203).

Cerpen Menunggu Mawar Magenta yang sebahagian daripada judulnya dipilih sebagai judul kumpulan cerpen ini juga mendedahkan keberanian seorang wanita bernama Mawar Magenta yang berani menaiki pesawat tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri. Akibatnya, beliau ditahan oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan dibenarkan keluar dengan syarat keluarganya mengirim salinan kad pengenalan Mawar Magenta  melalui pos ekspres kepada pegawai imigresen. Bukti akan keberanian Mawar Magenta tertera di bawah ini:

“Mawar Magenta ditahan imigresen kerana tidak membawa kad pengenalan atau sebarang dokumen identiti diri”(Mawar Magenta, 2010 : 123). 
 
Daripada contoh petikan yang dipetik daripada Kumpulan Cerpen Mawar Magenta,terbukti bahawa Beb Sabariah memiliki intelektualiti dan kreativiti  dalam mengolah semula  kisah benar dan menyampaikannya semula kepada khalayak secara kreatif dan inovatif  dalam bentuk forum, surat, mimpi,pesanan dan alam siber.

 

4.0              Kesimpulan

 
            Menelusuri Kumpulan Cerpen Mawar Magenta, karya Beb Sabariah, dikenal pasti sasterawan wanita dari Bumi Kenyalang ini memanfaatkan cerpen sebagai wahana atau saluran untuk mendedahkan kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki oleh kaum Hawa. Sebagai sasterawan wanita dan mantan pendidik,adalah wajar bagi beliau untuk menilai sesuatu peristiwa daripada kaca mata feminisme. Banyak perkara yang terlepas pandang daripada perhatian atau pengamatan lelaki  diketengahkan oleh beliau dalam cerpen-cerpennya. Antaranya ialah perjuangan wanita sebagai pejuang keamanan, pejuang ketidakadilan, pejuang kemanusiaan, dan personaliti wanita sebagai insan yang tabah, berani, berfikiran positif  dan beriman. Amanat ini tersirat melalui pemilihan nama watak yang memiliki makna  yang berlapis-lapis. Misteri atau rahsia di sebalik pemilihan nama watak wajar diselongkar untuk menyingkap mesej yang tersirat.

            Malah pemilihan nama “Mawar Magenta”sebagai judul buku juga memiliki  konotasi  tersendiri. Mawar diasosiasikan dengan anak dara atau gadis sunti dan warna magenta melambangkan keberanian, dinamik dan intelek. Justeru, Mawar Magenta boleh dianalogikan sebagai gadis yang berani, dinamik dan memiliki daya intelektualiti yang tinggi. Kumpulan Cerpen Mawar Magenta pula membawa makna kisah atau cerita yang mendedahkan perjuangan dan personaliti gadis  kontemporari yang berani, tabah, berfikiran positif dan beriman.

Salah satu kelebihan yang ditemukan dalam kumpulan cerpen ini ialah penggunaan frasa simbolik  yang sarat dengan  nilai  falsafah  yang tinggi seperti penggunaan frasa “anak bertuah” yang melambangkan anak yang memang bertuah kerana penderitaannya  disingkatkan atau diselamatkan oleh Yang Maha Esa  kerana  kedua-dua suami Nusaibah bukan insan yang baik.  Suami pertamanya seorang penagih dadah manakala suami keduanya pula  seorang ustaz yang gemar menipu.

Manakala “Rumah Hitam” pula merujuk  kepada “Rumah Putih” yang ternoda dengan air mata, darah dan mayat warga dunia. Kegagalan Amerika Syarikat dalam mengembalikan keamanan dunia menyebabkan rumah Presiden Amerika Syarikat dianggap sebagai “Rumah Hitam” oleh pengarang. Muslihat dan dendam yang menghuni di rumah ini.

Dalam  Kumpulan Cerpen Mawar Magenta juga ditemukan kata-kata hikmat seperti “Politik itu Puisi” yang mengundang pembaca untuk berfikir akan mesej yang ingin diketengahkan oleh pengarang. Politik dianggap sebagai puisi oleh pengarang kerana jika ingin berjaya dalam mandala politik maka seseorang  perlu bijak bermain dengan kata-kata yang boleh membangkitkan emosi dan perasaan pendengar.

Beb Sabariah juga memiliki kecenderungan untuk mengemukakan pertanyaan retoris kerana beliau ingin menarik perhatian pembaca kepada kalimat yang digunakan dalam cerpen beliau. Dengan perkataan lain, beliau ingin pembaca menilai semula akan penggunaan kalimat tersebut dalam konteks tertentu
 
Konklusinya, kumpulan cerpen Mawar Magenta karya Beb Sabariah dianyam dengan teliti dengan menggandingkan intelektualiti dan kreativiti untuk membuka mata hati  dan mata fikir pembaca agar mereka mengambil iktibar daripada kisah yang dihidangkan dan mengharungi kehidupan di alam fana ini dengan penuh keimanan.Mawar Magenta, teks yang wajar dibaca oleh setiap individu untuk mengetahui, memahami dan merasai permasalahan yang melingkari kehidupan wanita  daripada perspektif seorang sasterawan wanita.
 

TAMAT

                                                                                                                                                           
BIBLIOGRAFI

Ali Ahmad. (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
 
Beb Sabariah. (2010). Kumpulan Cerpen Mawar Magenta. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chandler, Daniel. (2007). Semiotics : The Basics.New York : Routledge.

Khalid M. Hussain (1979). Kamus Dwibahasa. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shahnon Ahmad. (1994). Literature as a Seismograph of Life.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

S. Othman Kelantan. (1997). Pemikiran Satira dalam Novel Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Hussein al-Attas. (1977). Intellectuals in Developing Societies. London: Frank Cass Company Ltd.

Umar Junus. (1988). Karya Sebagai Sumber Makna: Pengantar Strukturalisme. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Akhbar

Mohammad Kamal. 2013. “ Hugo Chavez Pejuang Sebenar”,  dlm.Sinar Harian, 25 Februari
2013.


Laman Sesawang / Internet


 

BIODATA PEMAKALAH
 

Raja Rajeswari Seetha Raman dilahirkan pada 19 Ogos 1961 di Kuala Kurau, Perak, Malaysia. Menerima Ijazah Bacelor Sastera dengan kepujian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1998, Ijazah Sarjana Sastera dengan tesis dari UPM pada tahun 2005. Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dalam bidang Kesusasteraan Melayu. Beliau memiliki sebuah Kumpulan Puisi Persendirian  berjudul Mekar Bunga serta 30 antologi puisi bersama-sama penyair lain. Dua buah puisi beliau berjudul “Menanti Sebuah Subuh Megah” dan “Bicara Sukma Palestina Kepada Warga Buana” telah diterjemah ke bahasa Inggeris oleh ITNM dan National Arts Council Singapore  manakala puisi berjudul  “Angin Iman” dan “Dari Jendela Manusiawi” telah diterjemah ke bahasa Jerman oleh ITNM dan Goethe InstitutMalaysia.  Puisi beliau berjudul “Seni Jarum” telah dijadikan lagu puisi oleh Kumpulan Kopratasa dan puisi “Monolog Buana Palestina” telah dijadikan lagu puisi oleh DBP Cawangan Sabah. Beliau pernah menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia untuk Kategori Puisi, Anugerah Penyair Alam Siber dan Hadiah Pertama Sayembara Mengarang Puisi Ramadan melalui talian anjuran esastera com. Raja Rajeswari juga merupakan pendeklamator puisi, penterjemah puisi dan penterjemah teks ucapan untuk majlis rasmi dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu dan dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Selain menyumbang dalam bidang kreatif dan deskriptif, Raja Rajeswari juga membentang kertas kerja untuk seminar, simposium dan kolokium peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kini, beliau menjawat jawatan sebagai pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan