Jumaat, 5 April 2013

MEMPERKASAKAN KEPENGARANGAN KARYAWAN MUDA SARAWAK

oleh: Ja’afar Haji Hamdan

 
1.0         PENGENALAN

Melahirkan karyawan baru, khususnya karyawan muda memerlukan perancangan yang rapi. Perancangan yang penuh strategik ke arah kesesuaian dengan tuntutan zaman. Perancangan yang mampu memugar semula kefahaman mereka terhadap peranan dan tanggungjawab dalam pengkaryaan, serta perancangan yang mampu membina pemikiran selaras dengan perkembangan dan perubahan semasa untuk dituangkan dalam karya.

Kecenderungan generasi muda kini, sering kali memihak kepada kebendaan, keseronokan dan kepopularan sebagai situasi yang memberi nilai kebanggaan buat mereka. Justeru, pengkaryaan bukanlah bidang yang popular, sensasi dan menjanjikan pada tanggapan mereka. Bidang pengkaryaan bagi mereka tidak mampu meletakkan mereka dalam kelompok yang boleh disensasikan. Tanggapan ini menyebabkan aspek kepentingan membaca dengan penilaian, menelaah setiap kejadian dan meneliti keadaan semakin terpinggir. Mereka lebih gemar mendapatkan  bahan yang bersifat popular dan sensasi sama ada melalui filem, internat atau majalah.

Namun, perkembangan semasa membuktikan tanggapan demikian tidak begitu tepat, khususnya dalam pengkaryaan novel. Karyawan yang menulis  novel kini menikmati hasil pengkaryaan mereka, dan terbukti dengan lambakan novel popular di pasaran. Di samping, adaptasi novel ke filem, drama atau pementasan juga telah merancakkan lagi industri pengkaryaan bagi mereka. Maka, pengkaryaan sebenarnya menampakkan kesan terhadap nilainya sebagai pendapatan.

Namun, dalam konteks perbincangan pada hari ini, skopnya lebih cenderung ke arah membina karyawan muda yang akan menitikberatkan nilai wibawa dalam pengkaryaan. Persoalannya, apakah nanti penegasan dan kecenderungan ke arah nilai wibawa karya dapat disatukan dengan kehendak sensasi dan popular itu sendiri?

Dalam hal ini, agak rumit merasionalkannya sebagai satu gabungan yang wajar, tetapi dalam pengertian lain, rasanya tidak mustahil terjadi. Justeru, usaha untuk memupuk minat dan bakat pengkaryaan dalam kalangan penulis muda harus sejajar dengan dasar kerajaan yang sedia ada. Paling jelas, dasar melahirkan modal insan berfikiran kelas pertama, bersahsiah tinggi dan menguasai maklumat. Asasnya adalah ilmu, yang boleh dimanfaatkan daripada pelbagai sumber, melalui pemikiran yang betul, benar dan baik.

Mungkin dalam konteks perbincangan kita pada hari ini juga, kita melihat apakah konsep karyawan muda yang kita hendak perkatakan? Apakah dari segi usia diri mereka atau usia kepengarangan mereka. Hal ini cukup penting bagi memaknakan perbincangan agar tumpuan sasaran dapat diperjelaskan, khususnya dari segi pelaksanaan kegiatan, pemikiran dan gerakan kumpulan.

 
2.0         KARYAWAN MUDA

Pengertian karyawan muda ini telah menjadi polemik cukup hangat pada tahun 2001 dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa (YIIB) melalui akhbar Utusan Sarawak. Beberapa rencana yang berkaitan telah diterbitkan dalam buku Getus Fikir Sastera Sarawak pada tahun 2004 dan telah diselenggarakan oleh Abang Haliman Abang Julai, selaku Ketua Unit Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

Menurut Abang Patdeli Abang Muhi dalam rencananya Prospek Penulis Muda Sarawak, menegaskan bahawa, masih belum diketemukan takrif yang benar-benar tuntas tentang siapakah penulis muda. Ada yang mengatakan bahawa penulis muda itu harus ditakrifkan dan diklasifikasikan mengikut usia, jika muda usianya, maka golongan penulis mudalah mereka itu. Juga ada yang menggolongkannya mengikut usia pengkaryaan mereka, yakni yang baharu sahaja menulis dan belum lagi mantap atau established diri dan karya mereka. Klasifikasi yang kedua itu, tampaknya lebih digemari.

Namun, dalam konteks hari ini, kita akan cuba melihat dalam dua keadaan, iaitu penulis berusia muda dan baru menulis dan penulis yang telah berusia yang juga baru menulis. Maka, secara mudahnya, skop karyawan muda yang kita bincangkan pada sesi ini adalah karyawan yang masih baharu dalam bidang penulisan. Tetapi konsep memperkasakan karyawan ini ditunjangi dengan beberapa persoalan.

Apakah penulis muda yang tampil bersama-sama dalam dunia pengkaryaan ini berkarya untuk memurnikan peradaban bangsanya? Atau sebagai satu keperluan material? Atau masih seperti dulu-dulu, untuk keseronokan dan kepuasan semata-mata? Atau sememangnya telah tertanam dalam diri mereka visi dan misi yang unggul untuk menjana pemikiran bangsa? Kekhuatiran yang timbul melalui persoalan ini selaras dengan keadaan negara dan dunia yang semakin diratah oleh modenisasi tanpa prinsip yang jelas.

Pertamanya, kesan pembangunan yang pesat, gelora dunia yang mendesak dan kehidupan yang rakus dibina atas kebendaan, menganjak banyak hal, sama ada hala tuju kepengarangan atau keupayaan memanusiakan manusia. Kedua, bidang kepengarangan menjadi semakin sempit dengan pengertian semasa yang mementingkan pembangunan fizikal tanpa memahami pembangunan minda.

            Ketiga, tumpuan dan hala tuju kepengarangan semakin terkeliru dengan kehendak dan permintaan, sehingga keutamaan dan pendirian semakin dibezakan, dan permasalahan tersebut dipinggirkan dengan alasan, yang penting kita hanya perlu berkarya!. Namun, dalam menentukan peradaban bangsa, persuratan akan menjadi saksi dan bukti sejarah masa depan. Sejarah yang memintal segala apa yang kita lakukan sekarang sebagai rujukan cucu cicit kita.


3.0         MEMPERKASAKAN KEPENGARANGAN KARYAWAN MUDA

Sememangnya, dalam keadaan biasa, usaha memperkasakan karyawan muda telah sekian lama dilakukan dan dilaksanakan. Khususnya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Begitu juga oleh persatuan penulis. Bahkan di peringkat sekolah pun usaha melahirkan pelajar yang mampu menghasilkan karya turut diadakan.

Justeru, usaha pelbagai pihak ini dalam memperkasakan kepengarangan karyawan muda telah berlaku dengan momentum yang sama. Maka, perbincangan kita ini nanti, diharap dapat mencetuskan resolusi yang bakal menganjak usaha memperkasakan karyawan muda ini. Antara kegiatan yang telah dilaksanakan tetapi memerlukan penambahbaikan adalah seperti berikut;


3.1         Bengkel Penulisan

Bengkel penulisan merupakan ruang yang paling berkesan untuk memperkasakan kepengarangan karyawan muda. Melalui bengkel, perkongsian idea, teknik dan gaya dapat diberi nafas baharu dengan penyesuaian fenomena dunia penulisan. Namun, kaedah lama selalunya menekankan keupayaan menghasilkan karya secara umum. Bukan dilunaskan dengan pendirian yang sebenarnya.

Justeru, bengkel penulisan menjadi ruang untuk mereka dibimbing dengan ilmu asas penulisan. Diperkenalkan dengan teknik penulisan. Di samping didedahkan dengan gaya penulisan yang berkesan. Walaupun demikian, bengkel penulisan yang hendak diadakan perlu menepati sasarannya dengan modul yang khusus dan terancang. Ketepatan memilih peserta dengan tujuan bengkel harus memenuhi kategori serta tahap kemampuannya terutama dalam meneliti kecenderungan genre yang mereka ceburi.

Sebagai contoh, peserta bengkel akan dilingkari dengan konsep penulisan yang berpandukan kaedah formalisme dan juga berstruktur. Secara umumnya, kaedah tersebut amat wajar kerana menjadi langkah pertama untuk memulakan perjalanan penulisannya. Namun, dalam keadaan dunia yang cukup pantas dari segi kitaran maklumat, ada kewajaran memberi kebebasan untuk karyawan muda melakukan transformasi gaya penulisannya.

Hal ini penting untuk membina keperibadian dirinya dalam pengkaryaan. Mungkin kita sering beranggapan bahawa menulis itu memerlukan proses yang semestinya diikuti. Namun dalam era sekarang ini, sesuatu proses bukan hanya diikuti tetapi juga perlu difahami dengan sentiasa memikirkan penambahbaikan kaedah atau cara yang terbaik. Begitu juga halnya dengan penulisan.

Pemupukan minat terhadap penulisan khususnya untuk penulis muda tidak sukar. Namun untuk memugar semula minat yang telah terpadam amatlah rumit. Kerana pemupukan bermula daripada asas, iaitu pengenalan tentang teknik penulisan. Justeru, elemen-elemen dorongan dan motivasi masih boleh digambarkan. Berbeza dengan memugar semula minat yang telah hilang, pendekatan dan kaedahnya memerlukan proses penjanaan pemikiran dan spiritual yang diselaraskan dengan kehendak semasa.

Untuk proses memugar semula minat penulisan, satu pendekatan yang mampu membuka ruang bagi penulis muda ini mempertingkatkan daya fikir dalam soal isu semasa, memberi pandangan dan mencetuskan idea baharu selaras dengan perkembangan semasa wajar diberi perhatian. Di samping, mereka perlu dijinakkan untuk mementingkan penggunaan bahasa Malaysia yang baik, betul dan bermutu. Melalui proses pemugaran pemikiran itu, penulis muda dapat menikmati keupayaan tuntutan kepengarangan secara lebih menyeluruh.
 

3.2         Aktiviti Bahasa atau Sastera

Karyawan muda perlu diketengahkan bukan sahaja penampilan dirinya tetapi juga karyanya.  Maka, dalam hal ini, karyawan muda perlu dan harus mengikuti pelbagai aktiviti bahasa dan sastera. Keterlibatan mereka penting untuk menambah pengetahuan, menukar paradigma berfikir, sentiasa peka dengan perubahan dan mendepani sebarang kecelaruan, khususnya dalam konteks keilmuan.

Sebagai contoh, Minggu Penulis Remaja, wajar menjadi projek rintis ke arah mencetuskan idea-idea baharu dalam kalangan karyawan muda. Program seperti itu, tidak lagi hanya menekankan proses penciptaan, tetapi juga perlu menegaskan kecenderungan melakukan daya upaya kepengarangan yang lebih maju untuk ke depan, agar karya berkualiti dan sesuai dengan keperluan zaman.

Minggu Penulis Remaja sebagai wahana dan  usaha pembinaan, penataran dan mempertemukan penulis muda dengan penulis sedia mapan dalam sesuatu genre bagi menilai semula kebertanggungjawaban terhadap penulisan. Juga sebagai satu wadah antara pihak berwajib dan karyawan muda untuk berbincang atau bertukar idea secara bersemuka dalam usaha memantapkan pengkaryaan agar dapat menerobos kesusasteraan ke peringkat kebangsaan.

Di samping, mewujudkan budaya kritikal penuh kreatif serta inovatif dalam pemikiran terhadap bahasa, sastera dan budaya. Dan juga mengusahakan kaedah terbaik bagi memperkatakan, membincangkan dan mengutarakan impak dan kesan terhadap  nilai pengkaryaan serta pemikiran, dengan harapan untuk menyatukan kesefahaman antara penganjur, karyawan dan peminat sastera dalam usaha memperkembangkan serta mempergiatkan penulisan.


3.3       Ruangan Berkarya

Sebagai seorang karyawan muda, ruangan bagi menerbitkan dan menyiarkan karya mereka wajar diberi perhatian. Sifat berkarya memerlukan karya disiarkan. Apatah lagi untuk seseorang karyawan muda. Keperluan ini bukan disandarkan dengan material tetapi sebagai asas membuktikan keberhasilan mereka menghasilkan karya.

Ini terbukti melalui ruangan Wadah Bahasa dan Sastera yang tersiar dalam akhbar Utusan Sarawak pada setiap hari Rabu. Ruangan ini cukup berperanan membina keperibadian diri karyawan muda. Sekalipun, karya yang dihasilkan masih banyak kekurangannya, namun, proses pertama ini akan membina keyakinan untuk karyawan muda lebih berani menuangkan ideanya dengan gaya atau teknik penulisan yang lebih berwibawa sifatnya.

Ruangan ini sememangnya disediakan khas untuk penulis muda dan baru. Karya yang tersiar tidak diedit. Setiap karya yang tersiar akan dibuat ulasan oleh penulis sedia mapan pada minggu berikutnya selepas karya tersebut disiarkan. Konsep ini merupakan bimbingan melalui akhbar yang memungkinkan juga boleh dimanfaatkan oleh pembaca lain.


3.4       Peraduan Penulisan

Kadang-kadang, untuk meletakkan karyawan muda berada dalam persada penulisan memerlukan satu peluang yang di kecapi melalui sesuatu kejayaan. Kerana persaingan mendepani penulis sedia mapan amat sukar, sekiranya karyawan baru hanya menulis dalam konteks yang biasa-biasa sahaja.

Namun, sekiranya karyawan muda memenangi sesuatu peraduan penulisan walaupun hanya menerima hadiah sagu hati, ini dapat dijadikan batu loncatan untuk berada bersama-sama penulis yang sedia dikenali. Maka, dalam hal ini, karyawan muda memerlukan peraduan penulisan sebagai pembuktian tentang keupayaan mereka.

Apatah lagi seandainya, dalam sesuatu peraduan tersebut, karyawan muda berhasil menempatkan diri dalam hadiah utama, pasti akan menjadi landasan untuk karyawan muda menekuni pengkaryaan dengan lebih baik. Antaranya ialah Hadiah Penulisan Kreatif dan Penerbitan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak.

Hadiah Penulisan dan Penerbitan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak bermula sejak tahun 1997. Antara kategori yang dinilai adalah genre cerpen, sajak dan esei. Saban tahun akan muncul penerima hadiah, 5 orang untuk cerpen, 5 orang untuk sajak dan 5 orang untuk esei. Kalau dikira secara mudah, bermula tahun 1997 sehingga tahun 2012, melalui hadiah tersebut telah melahirkan  75 orang cerpenis muda, 75 orang penyair muda dan 75 orang penulis esei.


3.5      Gerakan Berkumpulan

Karyawan muda memerlukan kumpulan sebagai gerakan bersama ke arah mencetuskan daya upaya kepengarangan mereka. Gerakan berkumpulan ini, bukan sahaja dijadikan medan untuk bertukar-tukar fikiran tetapi juga menjadi ruang untuk mereka merencana kegiatan yang difikirkan wajar dan sesuai buat mereka. Gerakan sebegini seharusnya mempunyai fokus yang jelas dan bukan hanya diwujudkan sebagai ruang bertanya khabar.

Dengan kepesatan maklumat dan kecanggihan teknologi, gerakan berkumpulan, khususnya untuk karyawan menjadi amat mudah, cepat dan praktikal. Maka, keberadaan karyawan muda dalam merangsang, mendorong dan mendesak sesama mereka akan menzahirkan satu gerakan yang cukup dominan ke arah merealisasikan hasrat dan cita-cita mereka dalam kepengarangan.


3.6      Bersinergi Dengan Pelbagai Pihak

Sekiranya karyawan muda mempunyai gerakan berkumpulan yang terurus dengan baik, maka usaha seterusnya adalah bersinergi dengan pelbagai pihak untuk melaksanakan pelbagai kegiatan ke arah peningkatan pengetahuan. Tentu sahaja, pihak berwajib dan pihak yang berkaitan akan bersedia membantu. Dalam konteks ini, gerakan karyawan muda harus melihat skop ini dalam konsep yang luas.

Ilmu bantu sebagai pendukung keupayaan karya amat memerlukan kepelbagaian pemahaman konteks kejadian sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat. Kerana sebagai seseorang penulis, setiap peristiwa merupakan makna yang perlu di tafsir dan dikongsi nilainya. Sekiranya hal ini difahami oleh setiap karyawan muda, maka penghasilan karya mereka nanti pasti memberi impak yang luar biasa.


4.0         Karyawan Muda Sarawak

Kelompok karyawan muda di Sarawak sebenarnya telah berubah dari segi pola pengkaryaan mereka. Ada yang sudah bersifat penulis tersohor dan memenangi pengiktirafan di peringkat kebangsaan. Antaranya saudara Roslan Jomel, cikgu Mohd Ali Salim dan saudara Muhammad Justin. Pola perubahan ini terjadi berdasarkan beberapa elemen yang telah kita perkatakan tadi.

Sebagai contoh, saudara Roslan Jomel tampil dengan satu gaya penulisan yang cukup menarik dan unik. Bahkan judul karyanya sama ada cerpen atau puisi sudah cukup menggambarkan keunikan karyanya. Antaranya, kumpulan cerpennya yang berjudul “Namaku Epal Kuning”. Begitu juga dengan cerpen “Lelaki Romantik yang Datang pada Pukul 10.00 Malam” yang telah menerima HPPS bagi tahun 2010/2011. Sebenarnya, Roslan Jomel antara penulis muda negeri Sarawak yang cukup versatil dan produktif dalam pengkaryaan. Beliau menulis cerpen, sajak, dan esei kritikan. Mula menulis sejak 1990.

Namun akhir-akhir ini beliau menonjol dengan keperibadian dalam pengkaryaannya apabila memenangi beberapa hadiah, termasuk Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS) dan juga Peraduan Menulis Esei Kritikan 2011 bagi peringkat negeri Sarawak. Maka, dalam keupayaan yang sedemikian, rasanya Roslan Jomel bukan lagi dalam kelompok karyawan muda tetapi sudah tercatat sebagai penulis yang cukup mapan di negeri Sarawak ini.

Begitu juga dengan cikgu Mohd Ali Salim. Beliau merupakan guru. Kerjayanya sebagai guru banyak membantu dirinya membina nilai pengkaryaan dalam karyanya. Selain menulis cerpen, Mohd. Ali Salim agak giat menulis rencana. Namun, cerpen-cerpen yang dihasilkannya amat baik sama ada dari segi pengutaraan pemikiran mahupun teknik. Cerpen berjudul “Haji Belom” yang tersiar dalam YIIB pada 22 November 2010 telah menerima HPPS bagi tahun 2010. Cerpennya berjudul “Periaku Untuk Ibu Pertiwi” yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010. Kini nama beliau telah terpahat sebagai penerima hadiah sastera perdana. Rasanya tidak wajar beliau dikaitkan lagi sebagai karyawan muda.

Muhammad Justin yang terbina melalui bimbingan Bengkel Wadah Bahasa dan Sastera yang kemudiannya mengikuti Minggu Penulis Remaja muncul dengan karya-karya sajaknya yang penuh sinis selaras dengan isu semasa. Dua buah puisinya yang mendapat pengiktirafan HPPS 2009 dan 2010 ialah “Terima Kasih Pembunuh” yang tersiar dalam akhbar Berita Harian pada 24 Januari 2009 dan “Kita Adalah Penipu” yang tersiar dalam ruangan YIIB, Utusan Borneo pada 25 Oktober 2010.

Beberapa orang penulis baru yang penuh karisma dan giat dalam pengkaryaan. Antaranya, Arbi Suhadat, Zubaidah Gapor, Sharifah Haniffah, Siti Rossikin, Yusuf Jalli, Mohd. Nazrin, Azilah Abdul Rahman dan beberapa orang lagi yang semakin giat berkarya. Selain itu juga, kemunculan penulis muda di Sarawak melalui peraduan atau keberanian mereka mengetengahkan diri melalui karya mereka di persada sastera nasional. Antaranya Mohd. Faizal Jamil, Maslina Mahbu, Shamsul Idzam Jamil dan Siti Nur Hidayah Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama).


5.0         PENUTUP

 
Kesinambungan pewaris terhadap perkembangan kepengarangan di Sarawak terletak pada tanggungjawab setiap karyawan yang telah memilih untuk berada dalam dunia penulisan ini. Justeru, mengenal pasti dan meneruskan tradisi ini harus dilakukan oleh semua pihak, sama ada pihak berwajib, pihak NGO mahupun karyawan itu sendiri.



RUJUKAN

A.   Aziz Deraman, 2005, Intelektualisme Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

 Abang Haliman Abang Julai, 2004, Getus Fikir Sastera Sarawak, DBP Cawangan Sarawak, Sarawak.

Abdul Latiff Abu Bakar, 2012, Kgemilangan Dan Cabaran Peradapan Melayu, GAPENA, Kuala Lumpur.

Haji Hamzah Hamdani, 2004, Pertumbuhan dan Perkembangan Sastera Melayu di Sarawak, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

 Ungku Maimunah Mohd. Tahir, 2009, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan