Jumaat, 5 April 2013

Pemugaran Intelektualiti Penulis Wanita Sarawak


Mohamad Saleeh Rahamad


Pengenalan

Kesusasteraan Malaysia terbina daripada kepelbagaian ideologi, budaya, gender, etnik, aliran, dan malah matlamat. Semua itu memperkaya kesusasteraan sama ada dari segi kualiti mahupun kuantiti. Oleh itu, hasilnya tidak monotonus, sebaliknya mempamerkan kerencaman subjek, gaya penulisan dan kecenderungan arah. Dari satu segi, hal ini memang berlaku jika diukur dari segi keseluruhannya. Di Malaysia dapat ditemukan karya yang memperkatakan masyarakat Melayu, India, Cina, Kadazan, Dusun, Penan, Iban, Kedayan, Siam, Orang Asli, dengan perspektif yang tersendiri. Dengan ini proses komunikasi silang budaya dapat berlangsung secara lunak (andainya karya sastera itu dibaca).

            Demikian juga halnya dengan Sarawak; negeri yang memiliki kekayaan dari segi budaya etnik ini tentu sahaja menawarkan potensi yang luar biasa untuk meluaskan dan menyuburkan kesusasteraan Malaysia. Selama ini, indeks kemajuan sastera Malaysia banyak sekali dibantu oleh penulis dari Sarawak, khususnya penulis lelaki, bermula daripada Ahmad Rakawi Yusof sehinggalah pengarang mutakhir seperti Adi Badiozaman Tuah, Awangku Merali Pg. Mohamed, Jong Chian Lai, Jaya Ramba, Dahiri Saini, Abizai, Poul Nanggang, Saiee Driss, Abdillah SM, Hazami Jahari, Zaini Ozea, dan lain-lain.  Di peringkat nasional, mereka telah mencipta legasi tersendiri dan menjejeri barisan pengarang penting Malaysia. Oleh itu, pengarang lelaki Sarawak diakui telah mendominasi jagat sastera, bukan sahaja di Sarawak malah di peringkat nasional.

Namun begitu, wujud ketidakseimbangan pencapaian antara penulis lelaki dengan wanita. Berdasarkan rekod pencapaian, pengarang wanita Sarawak (malahan di peringkat nasional sekalipun) tidak sejajar dengan pencapaian penulis lelaki. Terlepas daripada tujuan melampiaskan maksud bias gender, di peringkat nasional, walaupun penulis wanita sudah ramai yang menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara, sejak 30 tahun lalu (1982), Anugerah Sastera Negara masih belum digapai penulis wanita. Beberapa nama sering disebut-sebut sebagai layak tetapi semua itu hanya bersifat provokatif untuk membela gender semata-mata. Di Sarawak, penulis wanita muncul silih berganti, datang dan pergi, tetapi sehingga kini belum ada yang dapat menandingi penulis lelaki, khususnya dalam bidang prosa, seperti Jong Chian Lai dan Awangku Merali. Dalam bidang penulisan puisi juga nama Adi Badiozaman Tuah dan Abizai terus menduduki persada.

Pemaparan situasi semasa ini tidak sama sekali bertujuan merendah-rendahkan penulis wanita kerana pencapaian seseorang dalam dunia sastera tanah air dibentuk oleh pelbagai faktor. Pemenang sayembara atau anugerah penghargaan hanya bersifat persepsi daripada sebilangan pakar. Hakikat kebagusan karya hanya teruji oleh masa. Kadang-kadang ada karya atau penulis yang tidak dianugerahi gelaran kebesaran dalam sastera tetapi ujian masa dan khalayak umum telah memberikan nilai yang besar kepadanya. Oleh itu, ketiadaan anugerah atau hadiah tidaklah menjadi kayu ukur utama dalam penentuan nilai karya.

            Bagi melunakkan perbincangan, perspektif sebegitu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kekecewaan sebilangan penulis. Namun begitu, bagi tujuan memudahkan penakatan nilai, pencapaian penulis dalam sebarang sayembara dan anugerah masih relevan digunakan. Penilaian pula, lazimnya bergerak daripada kriteria yang dibina khusus bagi satu-satu pemilihan walaupun tidak semuanya terpakai secara sempurna. Kayu ukur penilaian cuma menjadi dasar semasa pemilihan dibuat, tetapi secara praktisnya pemilihan itu dibuat berdasarkan persepsi penilai yang memikul sarat pengalaman, selera, ideologi dan tahap kecerdikan masing-masing. Misalnya, dalam pemilihan Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Awards) markah dihisab melalui pencapaian pengarangnya dalam sayembara mahupun anugerah di peringkat antarabangsa, serantau, nasional. Jika seseorang penulis hanya dikenali hebat di peringkat nasional kerana penglibatannya yang bersifat merakyat dan popular sedangkan tidak ada satu pun anugerah pernah diterimanya, maka peluangnya untuk terpilih tentulah tipis. Di sini berlaku proses yang sangat kalkulatif dan seolah-olah sempurna.

            Namun begitu, sejauh mana kesempurnaan itu tercapai? Barangkali ada penulis lain yang tidak memiliki rekod anugerah dan sayembara disebabkan mereka tidak memasuki sayembara dan ketewasan mereka dalam pemilihan anugerah sebelum itu disebabkan cara pemilihannya yang tidak sempurna juga. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, semua penilaian amat subjektif sifatnya dan kembali kepada persepsi penilai yang pelbagai citarasa.

            Anugerah Sastera Negara juga tidak kurang percekcokannya selepas keputusan diumumkan kerana pasti ada persepsi dan perspektif yang berbeza daripada “panel” bebas di luar lingkungan panel sebenar kerana menggunakan kriteria yang berbeza. Mohd. Affandi Hassan adalah antara yang berani melontarkan pandangan berlawanannya dengan hujah yang berpaksikan Persuratan Baru. Beberapa nama Sasterawan Negara menjadi sasarannya. Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan juga tidak sunyi daripada wacana antithesis daripada khalayak lain. Walaupun tidak semua pandangan itu terpapar dalam media massa, jumlah rungutannya kadang-kadang besar tetapi hanya belegar di warung kopi.

            Semua pandangan itu tidak mencemarkan dunia sastera sebenarnya malahan berupaya menghidupkan sastera jika ditangani dengan hujah juga. Polemik, selagi tidak mencetuskan sentimen yang sangat besar, adalah penting untuk menyuburkan wacana. Masalah orang kita ialah tidak tahan menerima kecaman dan tidak tahu atau tidak mahu membalasnya semula. Budaya berhujah belum subur dalam dunia akademia kita, apatah lagi dalam kalangan masyarakat umum. Akibatnya, segala kritikan, komentar, dan teguran dianggap sebagai akibat daripada dengki dan mahu membunuh masa depan pengarang.

            Sensitiviti pada jiwa orang kita ini terus berakar kerana sifat malu sudah menjadi traits budaya: malu ditegur, dan malu untuk menegur. Begitulah yang dialami oleh Abdullah Munshi apabila kritikannya terhadap kelaziman orang Melayu dan raja-raja Melayu sering dianggap sebagai berniat jahat, lalu dia dilabelkan sebagai manusia anglophile. Sentimen mengatasi kewarasan menyebabkan analisis terbantut. Sebenarnya, jika ditelusuri dengan rinci, Abdullah Munshi bukanlah anglophile sejati, malahan dia juga turut mengecam orang Barat apabila tiba pada titik kritikannya.

            Dalam usaha kita hendak menyuburkan sastera kebangsaan dan memugar potensi peribadi, kritikan dan teguran mesti diraikan dengan pertimbangan, muhasabah, dan mencari hikmahnya. Tidak rugi untuk kita mendengar komentar orang lain, dan tidak akan mati karya kita yang telah diterbitkan. Karya kita begitu juga sifatnya, tidak berubah walau satu titik pun, walaupun kritikan keras kita terima. Bukankah untuk melihat wajah sendiri maka diperlukan mata orang lain atau sebingkai cermin yang tidak menipu? Jika mata orang lain tidak sempurna penglihatannya sekalipun, karya kita akan terus hidup, diperkatakan, digunakan, dan dihargai jika benar mutunya ada. Jika tidak sekarang, masa depan akan memberikan laluannya.

            Berasaskan pandangan begitu, maka pandangan yang akan dilontarkan melalui makalah ini juga tidak seharusnya dilihat sebagai “pembunuh” bakat atau pembuli sastera. Tidak perlu ada rasa rendah diri apabila makalah ini menyatakan bahawa penulis wanita masih perlu lebih bijaksana melihat alam, mentafsirkannya, mencernakannya, dan seterusnya menghasilkan karya yang bijaksana atau intelektual sifatnya.

 

Intelektualiti sebagai Tanda Aras Karya Bermutu: Cabaran kepada Penulis Wanita Sarawak

 

Di Sarawak, karya Almarhumah Sarimah Alit, Beb Sabariah, dan Radzemah Bolhassan adalah antara yang telah memberikan wajah kepengarangan wanitanya. Ternyata jumlah pengarang wanita dalam bidang prosa, khususnya novel, begitu terbatas berbanding puisi dan cerpen. Jumlah ini sepatutnya lebih besar kerana Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak bersedia membantu dari segi penyuburan bakat dan peluang penerbitan. Di samping itu, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang bekerjasama dengan PENA turut membuka ruang yang luas kepada pengarang negeri ini untuk menerbitkan karya. Namun begitu, sehingga kini ITBM dan PENA tidak didekati oleh pengarang dari Sarawak, baik lelaki mahupun wanita sedangkan kehadiran mereka begitu diharapkan agar peluang penerbitan dapat disbarluaskan.

Dalam hubungan ini, tentu sahaja potensi yang telah diperlihatkan oleh Hajijah Jais, Hajijah Mainol, Husna Sait, Sriwati Labot, dan lain-lain wajar terus digilap bagi mewujudkan persaingan sihat antara sesama mereka. Kini persaingan itu tidak kelihatan, seolah-olah banyak sangat kekangannya dalam menerbitkan karya. Sementara penulis lelaki giat berkarya, penulis wanita bergerak terlalu perlahan. Yang giat menulis memang ketara seperti Beb Sabariah dan Radzemah Bolhassan, tetapi yang lain-lain hanya selesa bersaing di peringkat tempatan atau tidak menulis langsung selepas menghasilkan karya bagi penerbitan khas.

Pengarang wanita wajar memikirkan matlamat yang lebih tinggi, bukan hanya bersaing di peringkat tempatan tetapi sekurang-kurangnya berpencak di peringkat nasional. Di peringkat nasional sekalipun pengarang wanita masih tidak ramai yang mampu memperlihatkan keupayaan kreatif yang tinggi. Dalam banyak persaingan, penulis lelaki masih mendominasi ruang dan kedudukan. Kerap penulis lelaki menjuarai sayembara mahupun anugerah tahunan walaupun penulis wanita begitu ramai berkarya. Tetapi tidak semua penulis lelaki mampu menghasilkan karya yang kuat dan bertenaga dari segi substance.

Persoalan tentang mutu karya sangat subjektif, bergantung pada zaman, tempat, dan sudut penilaian. Begitupun, dalam konteks kesusasteraan Malaysia masa kini, penilaian karya sastera lazimnya dibuat melalui tiga aspek, iaitu subjek/persoalan; nilai (emosi/imaginasi/intelektualiti/ideologi); dan teknik/sarana sastera. Sebenarnya, semua aspek ini berjerait antara satu sama lain. Subjek akan menentukan kekuatan nilai, dan kedua-dua muatan itu dikuatkan pula oleh sarana sastera. Teknik pula menjadi kuat apabila disokong oleh nilai intelektualiti dan ideologi yang menjadi landas pengkaryaan. Pengarang intelektual akan mampu menghasilkan karya yang bernilai dari segi substance, subjek, dan olahannya.

Aspek subjek atau persoalan dan teknik pembinaan naratif barangkali tidak menjadi masalah besar pada sebahagian besar penulis wanita kerana rata-rata mereka telah menghasilkan cerita yang ada cerita dan ada gayanya, yang mungkin mempesonakan khalayak tertentu. Tetapi seyogia diingat bahawa karya sastera yang besar memiliki tenaga yang lebih daripada aspek cerita dan teknik; sastera yang besar memiliki nilai intelektualiti. Oleh itu, penulisnya perlu menjadi intelektual bagi menghasilkan karya yang bernilai intelektual.

Apakah ciri intelektual? Dalam merumuskan konsep intelektual, Syed Hussein Alatas dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun (2009: 21) membandingkan orang bukan intelektual dengan orang intelektual. Ciri utama golongan bukan intelektual ialah tidak mahu berfikir dan tidak mampu melihat akibat. Sebaliknya, golongan intelektual tidak hanya mempunyai pengetahuan yang lebih banyak, tetapi juga mempunyai kemampuan dan kemahuan berfikir, dan mengetahui segala akibat daripada setiap tindakan. Kalau hanya sekadar berbicara dan menulis tanpa usaha keras, usaha itu tidak boleh dianggap sebagai kegiatan intelektual sekalipun topiknya berunsur intelektual. Orang intelektual akan membaca atau menanggapi sesuatu dengan usaha keras untuk mencari pengertiannya, melampaui pokok perbahasannya.

Syed Hussein juga membezakan usaha keras intelektual dengan kegiatan yang hanya mengambil kembali idea orang lain. Orang biasa tidak mampu memahami sesuatu tetapi hanya melihat hasil terakhir, lalu dia akan terdedah kepada kesesatan. Sebaliknya, golongan intelektual dapat menemukan kesalahannya, menelanjangi kepalsuannya, dengan melihat idea, penjelasan atau sintesis yang asli dalam pendekatannya, atau penaakulannya sama ada mempunyai dasar yang logik atau tidak. Sebagai contoh, Anwar Ridhwan dapat digolongkan sebagai penulis intelektual dalam novelnya, baik Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Arus, Di Negeri Belalang, Naratif Ogonshoto (juga tergolong sebagai kumpulan cerpen), dan Penyeberang Sempadan.

Anwar tidak hanya merakam peristiwa dan menambah solekan serta aksesori dengan strategi bahasa atau binaan naratif yang kompleks. Anwar pergi jauh daripada rakaman peristiwa, melihat di sebalik peristiwa, mencari sebab musabab yang mungkin tidak dilihat orang lain lalu memberikan tafsirannya yang intelektual. Dalam Naratif Ogonshoto, intelektualiti Anwar terserlah melalui pentafsiran, pemaknaan, pencerahan, dan pencerakinan idea dengan struktur naratifnya yang multitafsir. Anwar juga berupaya mengkonkritkan idea yang mujarad sehingga ke lapisan rahsia tentang permainan politik kotor penguasa yang autokratik dan lihai.

Awangku Merali dengan karya simbolismenya, cerpen “Tanjung”, mempamerkan hasil ketekunannya berfikir untuk menganalisis bentuk negara bangsa yang bebas daripada hegemoni Barat. Imaginasinya dikerah untuk merepresentasikan sebuah negara idaman melalui simbol taman yang secara konseptualnya membentuk wacana oksidentalisme yang bernuansa dekolonisasi rohani. Matlamat dekolonisasi rohaninya masih dapat difahami walaupun dia bermain-main dengan imej nyata seperti taman, bunga, herba, dan watak pelbagai bangsa.

Membaca cerpen itu akan merangsangkan daya taakulan pembaca demi memperoleh maknanya kerana pengarangnya juga berfikir keras untuk membina naratif. Dia tidak hanya menggunakan daya imaginasi dan keupayaan memanipulasi sarana sastera tetapi menggerakkan daya taakulannya untuk mengkonkritkan idea yang abstrak. Beginilah bentuk karya bernilai intelektualiti yang sewajarnya menjadi tanda aras sastera kita.

Ini bertepatan dengan ciri intelektual kerana menurut Syed Hussein, intelektualiti juga akhirnya ditentukan dengan cara peragaan. Dalam konteks penghasilan karya kreatif, maksudnya intelektualiti ditentukan oleh cara pengisahannya, teknik penceritaannya, dan strategi naratifnya. Ini berkaitan dengan teknik sesebuah cerita dibina̶ plotnya, perwatakannya, pelatarannya, bahasanya, dan yang tidak kurang pentingnya ialah aspek simbolisme. Dalam naratif itu tiada insiden yang remeh menyesakkan alur cerita, tiada trivia yang memualkan, tiada pembaziran dalam dialog; sebaliknya, semua unsur dikemaspadatkan sehingga tidak membenarkan sebarang pemotongan, pengubahan letak duduk peristiwa atau subplot, mahupun penstrukturan semula ayatnya. Semua yang telah ditulis perlu dikekalkan begitu sahaja bagi menjaga intelektualiti dalam teknik pengisahannya.

Kekuatan tersebut mungkin sukar ditemukan dalam karya, tetapi sekiranya penulis          telah melakukan proses penyaringan dengan ketat dan sentiasa berfikir dalam skala intelektualiti, dia tidak akan sanggup membenarkan karyanya sarat dengan pembaziran dan pembodohan pembaca. Bukan sahaja Anwar Ridhwan atau Awangku Merali malahan Zaen Kasturi, SM Zakir pun, dalam cerpen mereka sukar ditemukan ayat yang perlu dipangkas oleh editor. Dalam penulisan artikel, Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain memperlihatkan kekemasan idea dan penyajiannya. Mereka sangat cermat memilih kata dan memadankannya dengan subjek agar timbul kesan keharmonian antara kedua-duanya. Di samping kekemasan wacana, intelektualiti idea juga menjadi tanda aras kepengarangan mereka. Retorik penghujahan mereka indah dan kukuh.

Dalam sebilangan karya pengarang lain, kebijaksanaan dan kedalaman pentafsiran sedemikian sukar ditemukan. Walaupun subjek ceritanya kelihatan serius, bernilai intelektual, kebanyakannya hanya memaparkan kisah politik pada lapisan pertama, bercorak presentasi yang polos, tetapi disasterakan dengan plot yang dramatik, sekadar menyalin peristiwa di sekitarnya. Gaya sedemikian tidak intelektual, malahan tidak imaginatif, tetapi sekadar menampilkan busana artistik. Benarlah subjeknya besar, yakni tentang politik yang menjadi rencah perbincangan intelektual, tetapi yang ditampilkan cuma kesan pandangan luaran, bukannya menerobos ke dalam relung-relung rahsia sebagaimana kelicikan Anwar Ridhwan.

Lebih mengecewakan apabila teknik berceritanya disaluti gaya pengisahan popular. Gaya pengisahan popular bermaksud corak penceritaan yang melayan selera pembaca awam yang tidak mahu berfikir tetapi hanya mahu mengetahui cerita. Menikmati cerita merupakan terapi diri kerana kehidupan mereka memerlukan perkongsian pengalaman zahiri dengan orang lain. Penceritaan yang digemari golongan khalayak ini ialah rakaman semula kehidupan, termasuklah merakam segala perkara yang tidak penting dari segi nilai kesasteraan (literariness). Oleh itu, terbitlah pengucapan dialog yang berjela-jela dan remeh-temeh, pengisahan insiden yang lazim berlaku dalam kehidupan tanpa nilai pemikirannya.

            Sesebuah cerita akan menyeronokkan pembaca apabila memuatkan sentuhan peribadi yang bersamaan dengan hidupnya. Pembaca awam tidak perlu dan tidak mahu berfikir semasa membaca kerana berfikir merupakan proses mental yang merumitkan. Naratif sebegini kekallah sebagai karya yang mediocre, tidak membawa pembaharuan dan tidak mencerminkan pencapaian intelektualiti. Yang kita mahu ialah karya yang bernilai intelektual dan gubahan naratifnya bersifat simbolik.

            Aspek simbolisme dalam naratif bukan seperti metafora dalam puisi. Simbolisme dalam naratif prosa bermaksud, setiap entiti yang membina struktur naratifnya merupakan wakil kepada entiti yang lebih besar; melambangkan makna lain yang lebih mujarad; dan boleh ditanggapi oleh pembaca dari benua lain sekalipun kerana sifatnya yang universal. Begitulah yang terpamer dalam Naratif Ogonshoto dan Penyeberang Sempadan. Penyeberang Sempadan menggunakan latar tempat yang luas, dan pergerakan watak utama dari sebuah negara ke negara lain membayangkan makna pergerakan pemikiran atau batinnya juga. Maka itu, berlakulah pergerakan plot berkembar, yakni gerakan fizikal dan gerakan batiniah. Mengikuti jalur pelarian Kuay seperti menuruti perubahan pemikirannya daripada seorang nasionalis, komunis, sehingga akhirnya kembali kepada Islam. Novel ini menjadi besar kerana sarat dengan makna dan falsafah, bukannya kerana cerita dan fakta sejarahnya. Kalau fakta sejarah negara sahaja diutamakan, karya tersebut hanya menjadi salinan realiti yang tidak intelektual sifatnya.

            Pengarang akan menjadi besar kerana kelainannya dan kelainan hanya akan diperoleh dengan keberanian menyanggah konvensionaliti. Penghasilan karya akan lebih bermanfaat apabila wujud pembaharuan kerana sastera hidup dinamik dengan pemabahruan demi pembaharuan. Oleh itu, pengarang wanita wajar berubah daripada gaya penceritaan sendiri mahupun orang lain tetapi masih mempertimbangkan aspek asas karya besar, seperti intelektualiti, ideologi, dan idea.

 

Kesimpulan

 

Pengarang wanita perlu membaca dan memahami strategi naratif serta nilai yang dikendong oleh karya yang bermutu, dan kebetulan karya penulis lelaki. Untuk mencapai mutu karya yang diperakukan oleh “penentu” nilai sastera, perlulah dicontohi karya yang telah diangkat dan diuji. Persaingan yang sihat bukannya hanya berlegar di tempat sendiri yang terlalu terbatas ruang dan cabarannya tetapi perlu melangkaui sempadan. Cabaran ini besar untuk ditangani tetapi tidak mustahil untuk dikuasai.



Bibliografi

Abdullah bin Abdul Kadir Munshi. 1966. Hikayat Abdullah, Jilid Kedua. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.

Abdullah bin Abdul Kadir Munshi. 1981. Kisah Pelayaran Abdullah. Diselenggarakan oleh Kassim Ahmad. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Anwar Ridhwan. 2012. Penyeberang Sempadan. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.

Awangku Merali Pengiran Mohamed. 2001. “Tanjung” dlm. Cerita dari Sebuah Taman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beb Sabariah. 2008. Tirani. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sarimah Alit. 2008. Cinta Qatrunnada. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Hussein Alatas. 2009. Intelektual Masyarakat Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan